Pakaian Akatsuki_(Naruto)

Pakaian anggota Akatsuki

Ahli Akatsuki memiliki persamaan dari segi pemakaian mereka, di mana mereka akan mudah dikenali apabila muncul di sesuatu tempat. Ahli Akatsuki memakai jubah panjang berwarna hitam dengan bahagian dalamnya berwarna merah, memiliki corak berbentuk awan berwarna merah di luarnya dan kolar tinggi yang berparas hingga ke dagu (pada satu ketika, Madara dilihat memakai jubah yang memiliki penutup dan tidak mempunyai lengan baju. Ke semua ahli mengenakan pewarna kuku yang berlainan warna pada kuku di tangan dan kaki. Mereka turut membawa topi jerami yang mempunyai bebola kecil dan kain putih tergantung di sekeliling topi tersebut sebagai pelindung muka dan angin. Topi itu juga boleh digunakan sebagai pelindung untuk bergerak di kawasan terbuka dan ketika dalam keadaan cuaca yang memerlukannya [14]. Sesetengah ahli Akatsuki suka memakai dirah dahi yang telah ditanda dengan garis melintang di tengah-tengah simbol kampung mereka untuk menunjukkan mereka sudah tidak mempunyai kaitan dengan kampung mereka, manakala sesetengah daripada mereka tidak memakainya demi sesuatu sebab. Setiap ahli juga memakai sebentuk cincin yang memiliki tulisan kanji pada kedudukan berbeza bagi setiap ahli yang memilikinya.

Cincin Akatsuki dan kedudukan

Fail:Kedudukan Cincin Akatsuki.jpgKedudukan cincin anggota dalam organisasi Akatsuki

Pemakaian cincin adalah sangat diutamakan oleh setiap ahli Akatsuki. Keseluruhannya, sepuluh cincin telah diberikan kepada setiap seorang ahli Akatsuki. Kepentingan cincin tersebut dilihat sebagai satu tanda keahlian dan dari kedudukan cincinnya. Kepentingan ini dapat dilihat setelah pemergian Orochimaru, di mana dia telah membawa bersama cincin yang dipakainya[15] dan ianya tidak pernah digantikan[16]. Tujuan sebenar pemakaian cincin tersebut masih tidak diketahui.

Berikut adalah senarai cincin-cincin berjenaan[17]:


  • Ibu jari kanan: 零 (rei, "kosong"); dipakai oleh Pain,
  • Jari telunjuk kanan: 青 (Aoi, shō, "biru", "hijau"); dipakai oleh Deidara.
  • Jari hantu kanan: 白 (bya, "putih"); dipakai oleh Konan.
  • Jari manis kanan: 朱 (shu, "oren kemerah-merahan", "merah hati"); dipakai oleh Itachi Uchiha.
  • Jari kelingking kanan: 亥 (gai, "simbol khinzir"); dipakai oleh Zetsu.
  • Jari kelingking kiri: 空 (kū, "langit", "ketiadaan"); dipakai oleh Orochimaru.
  • Jari manis kiri: 南 (nan, "selatan"); dipakai oleh Kisame Hoshigaki.
  • Jari hantu kiri: 北 (hoku, "utara"); dipakai oleh Kakuzu.
  • Jari telunjuk kiri: 三 (san, "tiga"); dipakai oleh Hidan.
  • Ibu jari kiri: 玉 (gyoku, "permata", "bola", buah "raja" dalam permainan shogi); dipakai oleh Sasori dan kemudiannya dipakai oleh Tobi.


Lapan daripada sepuluh tulisan kanji yang terdapat pada cincin tersebut diambil daripada "Kuji-in" (九字印, Sembilan Kombinasi Postur Tangan): koleksi sembilan postur tangan yang digunakan dalam meditasi Buddha. Kuji-in ini dianggap sebagai sejenis "sihir" dalam dunia ninja. Cincin berukir "rei" milik Pain dan "gai" milik Zetsu tidak terkandung di dalam senarai Kuji-in ini. Bagaimana pun, hanya 玄 (gen, "misteri") daripada senarai Kuji-in yang tidak digunakan memiliki persamaan yang kuat dengan "gai" milik Zetsu yang mana ia mungkin merupakan suatu bentuk kesilapan teknikal. Bagaimana pun, oleh kerana perkataan kanji "gai" ini telah digunakan banyak kali pada kemunculan cincin tersebut, sama ada di dalam manga atau buku data Naruto berkemungkinan menjadikannya "kesilapan" yang kekal.

Di dalam Bahagian II, Pasukan Taka telah menjadi sekutu kepada Akatsuki. Mereka memakai seragam Akatsuki yang memiliki penutup kepala. Namun, mereka tidak memakai atau memiliki dirah dahi, kuku yang diwarnakan atau pun cincin; menunjukkan bahawa mereka tidak dianggap sebagai anggota rasmi Akatsuki. Hubungan dalaman di antara Akatsuki dan Taka dilihat agak goyah. Ini terbukti apabila Sasuke menyatakan bahawa dia hanya mempergunakan Akatsuki untuk kepentingannya. Sebagai ganti, Madara telah mengancam untuk membunuh mereka sekiranya mereka cuba untuk membelot.