Kerjaya Alejandro_González_Iñárritu

Iñárritu memulakan kerjaya beliau pada tahun 1984 sebagai seorang pengacara radio di WFM. Beliau kemudiannya menjadi penerbit termuda untuk Televisa. Dari tahun 1987 sehingga 1989, beliau mencipta muzik untuk enam filem Mexico. Semasa tempoh ini, Iñárritu mengenali penulis Mexico, Guillermo Arriaga sekaligus memulakan kerjasama penulisan skrip.

Pada awal era 1990an, Iñárritu mencipta Z films, sebuah syarikat produksi bersama Raul Olvera di Mexico.[1] Di bawah Z Films, beliau mula menulis, menerbit dan mengarah filem pendek serta iklan. Pada tahun 1995, Iñárritu menulis dan mengarah rancangan TV pertamanya untuk Z Films, bertajuk Detras del dinero atau Behind the Money, dibintangi Miguel Bosé.[1] Z Films kemudiannya menjadi salah satu syarikat produksi filem terbesar di Mexico.

2000–2006: Amores perros, 21 Grams, Babel

Pada tahun 2000, Iñárritu mengarah filem pertamanya, Amores perros, menulis skrip bersama Guillermo Arriaga. Pada tahun 2000, Amores perros ditayangkan di Festival Filem Cannes dan memenangi Hadiah Utama Minggu Pengkritik.[2] Ia merupakan penampilan filem sulung untuk pelakon, Gael García Bernal yang kemudiannya muncul dalam Babel dan Rudo y Cursi. Amores perros dicalonkan untuk Anugerah Akademi bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.[3]

Selepas kejayaan Amores Perros, Iñárritu mengarah filem keduanya, 21 Grams (2003). Filem ini dibintangi Benicio del Toro, Naomi Watts dan Sean Penn. Di Anugerah Akademi ke-76, Del Toro dan Watts menerima pencalonan untuk lakonan mereka.[4]

Iñárritu mengarah filem ketiganya, Babel (2006), menulis skrip bersama Arriaga.[5][6] Filem ini dibintangi Brad Pitt, Cate Blanchett, Adriana Barraza, Gael Garcia Bernal, Rinko Kikuchi dan Kōji Yakusho.[7] Filem ini bertanding di Festival Filem Cannes 2006 dimana Iñárritu menerima Anugerah Pengarah Terbaik (Prix de la mise en scène),[8] menjadikan beliau pengarah kelahiran Mexico pertama untuk memenangi anugerah ini.[9]

Babel menerima tujuh pencalonan di Anugerah Akademi ke-79 termasuk untuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Komposer filem ini, Gustavo Santaolalla, memenangi kategori Muzik Asal Terbaik.[10] Filem ini memenangi Anugerah Golden Globe bagi kategori Filem Terbaik – Drama pada tahun 2007.[11] Iñárritu menjadi pengarah Mexico pertama untuk dicalonkan Anugerah Akademi bagi kategori Pengarah Terbaik.[12][13]

2010–2014: Biutiful, Birdman

Pada tahun 2010, Iñárritu mengarah dan menerbit Biutiful, dibintangi Javier Bardem, ditulis oleh Iñárritu, Armando Bó, Jr. dan Nicolás Giacobone.[14] Filem ini ditayangkan di Festival Filem Cannes pada bulan Mei 2010.[15] Bardem memenangi Pelakon Lelaki Terbaik (berkongsi bersama Elio Germano untuk filem La nostra vita) di Cannes.[16] Filem ini dicalonkan di Anugerah Golden Globe 2011 bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik dan di Anugerah BAFTA bagi kategori Filem Terbaik bukan dalam Bahasa Inggeris dan Pelakon Lelaki Terbaik.[17][18]

Pada tahun 2014, Iñárritu mengarah, menerbit dan menulis filem komedi pertamanya, Birdman or (The Unexpected Virtue of Ignorance) dibintangi Michael Keaton, Edward Norton, Emma Stone, Naomi Watts, Zach Galifianakis dan Andrea Riseborough. Filem ini dan Iñárritu memenangi Anugerah Golden Globe bagi kategori Skrip Terbaik serta Anugerah Akademi bagi kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Skrip Asal Terbaik.[19][20]

2015–sekarang: The Revenant

Filem Iñárritu seterusnya sebagai seorang pengarah adalah The Revenant, dimana beliau dan Mark L. Smith mengadaptasi dari novel Michael Punke dengan nama yang sama.[21][22] Filem ini dibintangi Leonardo DiCaprio, Tom Hardy, Domhnall Gleeson dan Will Poulter.[23] Filem ini menerima ulasan positif[24] dan dicalonkan untuk 12 Anugerah Akademi termasuk kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.[25] Ia juga dicalonkan untuk empat Anugerah Golden Globe, memenangi tiga[26] dan menerima sembilan pencalonan Anugerah Filem Pilihan Pengkritik.[27]

Filem pendek dan iklan

Dari tahun 2001 sehingga 2011, Iñárritu mengarah beberapa filem pendek. Pada tahun 2001, beliau mengarah segmen filem 11 minit untuk 11'09"01 September 11. Pada tahun 2007, beliau mengarahkan ANNA, sebahagian daripada filem antologi Perancis, Chacun son cinéma yang ditayangkan di Festival Filem Cannes 2007. Pada tahun 2012, Iñárritu mengarahkan filem pendek, Naran Ja: One Act Orange Dance[28]

Pada tahun 2002, Iñárritu mengarahkan "Powder Keg", sebuah episod untuk siri filem pendek BMW, The Hire, dibintangi Clive Owen dan Stellan Skarsgård. Pada tahun 2010, Alejandro G. Iñárritu mengarahkan "Write the Future", sebuah iklan bertemakan bola sepak untuk Nike menjelang Piala Dunia FIFA 2010.[29] Pada tahun 2012, beliau mengarahkan komersial Procter & Gamble "Best Job" untuk pembukaan Sukan Olimpik 2012.

Pada Oktober 4, 2012, Facebook mengeluarkan filem arahan Iñárritu bertajuk "The Things That Connect Us" untuk meraikan pencapaian laman sosial itu yang mencapai satu bilion pengguna.[30]

Rujukan

WikiPedia: Alejandro_González_Iñárritu http://www.cbc.ca/news/arts/babel-dreamgirls-take-... http://www.allmovie.com/cg/avg.dll?p=avg&sql=29741... http://www.biosstars-mx.com/a/alejandro_gonzalez_i... http://www.broadwayworld.com/article/BIRDMANs-Alej... http://deadline.com/2010/12/2011-golden-globe-nomi... http://www.deadline.com/2014/04/leonardo-dicaprio-... http://www.fastcompany.com/1760926/anatomy-cannes-... http://www.hollywoodreporter.com/news/alejandro-go... http://www.hollywoodreporter.com/news/golden-globe... http://www.hollywoodreporter.com/news/oscar-nomina...