Kerjaya Amar_Baharin

Meskipun berkelulusan dalam Kejuruteraan Elektrik di UiTM, Amar Baharin memutuskan untuk memulakan kerjaya sebagai pelakon sepenuh masa. Pada tahun 2008, beliau memulakan kerjaya lakonan profesional menerusi peranan kecil dalam siri drama Sofea Zahra yang bersiaran di Astro Ria.

Pada tahun 2009, Amar menyertai rancangan realiti TV Astro Ria, Anak Wayang di mana beliau merupakan salah seorang pesertanya, menerusi rancangan inilah beliau mengenali Dayana Roza, Feeya Iskandar, Hairi Safwan, Lan Siro, Afzan A. Rahman, Hafiz Halim dan Alex Yanz yang menjadi peserta rancangan itu. Sepanjang bersama Anak Wayang, Amar terpilih membintangi drama Kecuali Cintamu di mana beliau memegang watak sebagai seorang mekanik.

Pada tahun yang sama, Amar melakonkan peranan Ashraf dalam siri drama Kau dan Aku yang diadaptasi dari telenovela Velenzuela, Somos Tu y Yo dan dibintangi oleh bintang Akademi Fantasia, beliau melakonkan kembali peranannya dalam musim kedua siri itu.

Pada tahun 2011, Amar membintangi telefilem pertamanya, Prebet Jamilah 2 yang merupakan kesinambungan daripada telefilem 2010 dengan judul sama yang dibintangi oleh Scha Al-Yahya, juga pada tahun yang sama, beliau bekerja sekali lagi dengan Scha menerusi drama Kelaaas Kau Maria!! dan telefilem Mimi Mencari Cinta.

Amar melakonkan peranan pembantu sebagai Rosman dalam siri drama seram Khurafat The Series yang diadaptasi dari filem Khurafat: Perjanjian Syaitan (2011) arahan Syamsul Yusof, drama itu dibintangi oleh Zahiril Adzim dan Nora Danish.[6] Beliau juga muncul dalam telefilem Patah Seribu yang dibintangi oleh Shila Amzah dan Sharnaaz Ahmad.

Beliau membintangi dalam telefilem untuk siaran Astro First Eksklusif bertajuk Anugerah Dendam Yang Terindah (2013) arahan Mohd Feroz Abd Kadir dan dibintangi oleh Aaron Aziz dan Nadiya Nisaa, Amar melakonkan watak sebagai adik bongsu kepada Azman yang bernama Aril, yang menuruti kehendak ibunya, dan kemudiannya ditunangkan dengan Izatul hingga terbabit dalam nahas jalan raya dan lumpuh.

Juga pada 2013, beliau membuat penampilan filem pertamanya menerusi filem sejarah patriotik arahan Shuhaimi Baba bertajuk Tanda Putera yang mana beliau memegang watak sebagai Tengku Razaleigh Hamzah. Ia merupakan satu-satunya filem lakonan beliau di dalam kerjaya lakonannya.

Pada 2014, Amar diberi peranan sebagai Tajul Razin dalam siri drama waktu perdana TV3, Kerana Terpaksa Aku Relakan yang dibintangi bersama Izreen Azminda, diadaptasi daripada novel dengan judul sama karya Umie Nadzimah. Beliau juga muncul dalam beberapa drama lain termasuk Kristal Maya dan Bila Hati Telah Hitam.

Pada tahun berikutnya, Amar terlibat dalam pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang diadaptasi daripada novel 1938 dengan judul sama karya sasterawan Indonesia, Hamka. Juga pada 2015, beliau membintangi drama Tersuka Tanpa Sengaja bersama teman wanitanya ketika itu, Amyra Rosli (kini menjadi isterinya), Emma Maembong dan Hafreez Adam, yang diadaptasi daripada novel 2014 dengan judul sama nukilan Pena Kayu.

Beliau bergandingan bersama Siti Elizad dalam siri drama waktu perdana Astro Ria, Si Kolot Suamiku yang mana beliau memegang watak sebagai Tengku Ehsan. Bagaimanapun, lakonan mesra antara Amar dan Elizad didalam drama itu telah mengundang rasa kurang senang sesetengah penonton kerana status Elizad sebagai isteri orang.

Bermula 2 April 2018, Amar memegang watak utama bersama Mawar Rashid dalam siri drama waktu perdana Kalis Kasih untuk siaran di Slot Samarinda di TV3.

Beliau berlakon di samping isterinya, Amyra dalam drama Cemburu Seorang Perempuan dengan memegang watak sebagai Zikri. Ini merupakan drama pertama lakonan bersama Amar dan Amyra sejak perkahwinan mereka. Beliau memegang watak sebagai Romi, seorang pemuda yang bersikap negatif dalam telefilem Jangan Disalahkan Takdir di TV3 lakonan bersama Amar Asyraf yang memegang watak Muhammad, seorang pemuda yang bersikap positif.

Rujukan

WikiPedia: Amar_Baharin http://www.budiey.com/senarai-nama-25-peserta-anak... http://www.imdb.com/name/nm6645536/ http://www.melvister.com/2014/05/biodata-amar-baha... http://era.fm/Mobile/Zon-Interaktif/Interaktif/Gos... http://www.hmetro.com.my/articles/Rezekilakonanmel... http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Teaterca... http://www.hmetro.com.my/node/102705 http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt... https://www.facebook.com/pages/Amar-Baharin-Offici...