Sejarah Askar_payung_terjun

Askar payung terjun pertama kali digunakan secara besar-besaran oleh tentera Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Askar di bawah perintah Jeneral Kurt Student dikenali dengan nama Fallschirmjäger bertindak cemerlang semasa fasa Blitzkrieg perang di Eropah semasa penaklukan Belanda, Belgium dan Perancis.

Mereka digunakan untuk menubuhkan satu tumpuan udara (airhead) di kawasan-kawasan strategik yang boleh ditawan dan dipertahankan sementara menunggu kemaraan pasukan darat. Penggunaan Fallschirmjäger menimbulkan huru hara kepada pasukan tentera yang bertahan, dan membawa kepada tewasnya pasukan tentera Belanda dan Belgium dengan begitu cepat sekali. Pasukan Fallschirmjäger mengalami kemalangan jiwa yang besar semasa penaklukan Crete yang membantutkan perkembangan pasukan Fallschirmjäger sebagai satu pasukan yang viable untuk tentera Jerman.

Pada masa ini, askar payung terjun masih menggunakan payung terjun bulat seperti yang digunakan oleh askar payung terjun semasa Perang Dunia Kedua, dan terbuka setelah direntap oleh tali statik semasa melakukan penerjunan statik, tetapi payung terjun moden telah diubahsuai dan lebih ringan dan kuat, dan boleh dikendalikan oleh anggota payung terjun dengan cara menarik tali riser payung terjun tersebut. Askar payung terjun dilatih untuk bertindak secara automatik untuk memastikan tidak ada masa diluangkan sekiranya mereka perlu menggunakan payung terjun simpanan.

Tentera Amerika Syarikat mempunyai dua divisyen askar payung terjun yang menjalankan penerjunan semasa D-Day pada 6 Jun 1944. Divisyen Ke-82 Airborne dan Divisyen 101 Airborne mengambil peranan penting mengelirukan pasukan Jerman dan mempertahankan laluan-laluan penting untuk mematahkan serangan balas tentera Jerman dan membolehkan tentera Amerika Syarikat mara keluar daripada tumpuan pantai (beachhead) mereka di Pantai Omaha dan Pantai Utah.