Kurt_Student
Kurt_Student

Kurt_Student

Kurt Student (12 Mei 1890 – 1 Julai 1978) adalah seorang pemimpin Askar Payung Terjun Jerman semasa Perang Dunia II. Kurt Student dilahirkan di Birkhonz, Jerman pada 12 Mei 1890. dia menyertai Tentera Darat Imperial Jerman dan ditauliahkan sebagai pegawai dalam tahun 1912. Dalam tahun 1913, dia berpindah khidmat ke Perkhidmatan Udara Tentera Jerman dan menerbangkan pesawat peninjau dan pesawat pengebom. Selepas tamat Perang Dunia I, Kurt student terus berkhidmat dalam pasukan tentera. Dia menjadi salah seorang penasihat utama pembangunan semula Tentera Udara Jerman. Dalam tahun 1938, Kurt Student dinaikkan pangkat menjadi Mejar Jeneral dan diberikan tanggungjawab menubuhkan pasukan askar payung terjun. Pasukan Divisyen Ke-7 Payung Terjun tidak digunakan dalam tahun 1939 semasa penaklukan Poland kerana Adolf Hitler mahu merahsiakan kewujudan pasukan tersebut sehingga serangan ke atas negara-negara Barat.Askar payung terjun pimpinan Kurt Student digunakan dengan berkesan dan mencapai kejayaan cemerlang dalam penaklukan Norway, Belgium dan negeri Belanda. 4,000 orang askar payung terjun digugurkan ke atas The Hague dan Rotterdam. Semasa operasi ini, Kurt Student terkena tembakan di kepala dan tidak dapat bertugas sehingga bulan Januari 1941.Kurt Student bersama-sama Adolf Hitler membuat perancangan Operasi Sealion untuk menakluk Britain, tetapi akhirnya perancangan menggunakan askar payung terjun untuk penaklukan Britain dibatalkan. Rancangan untuk penaklukan Gibraltar menggunakan askar payung terjun juga dibatalkan setelah Jerman gagal mendapatkan kebenaran General Francisco Franco untuk pesawat pengangkut Jerman terbang melalui ruang udara Sepanyol. Penaklukan Crete di antara 20 Mei dan 1 Jun 1941 mencapai kejayaan tetapi melibatkan kerugian nyawa yang besar. Lebih dari 4,000 orang askar payung terjun Jerman terbunuh, Adolf Hitler terkejut dengan kos nyawa yang tinggi dan memutuskan bahawa operasi askar payung terjun pada skala besar mesti dihentikan. Penaklukan Malta dibatalkan. Askar-askar payung terjun digunakan sebagai pasukan infantri biasa. Dalam tahun 1943, Kurt Student merancangkan ‘’Unternehmen Eiche’’, serangan mengejut untuk menyelamatkan Benito Mussolini dengan pasukan yang diketuai Otto Skorzeny. Askar payung terjun di bawah perintah Kurt Student digunakan sebagai infantri biasa di Itali, Belgium, Perancis dan Negeri Belanda. Selepas D-Day, askar payung terjun berusaha menghalang kemaraan tentera pimpinan Fil Marsyal Bernard Montgomery menuju ke Sungai Rhine. Kurt Student sendiri ditawan oleh askar Tentera British di Schleswig-Holstein dalam bulan April 1945. Selepas perang, Kurt Student didakwa atas tuduhan jenayah perang atas perlakuan askarnya di Crete dan dipenjarakan untuk tempoh 5 tahun. Tetapi dia dibebaskan selepas dua tahun dalam tahanan. Dia dibebaskan dalam tahun 1948. Kurt Student meninggal dunia dalam tahun 1978.

Kurt_Student