Belanjawan Bundestag

Hak pembelanjawan secara tradisinya merupakan salah satu hak penting parlimen. Menerusi hak ini, parlimen berkuasa menggariskan sektor-sektor yang harus diberi keutamaan yang perlu dipatuhi oleh kerajaan persekutuan. Namun begitu, pembelanjawan tidak dilihat sebagai serupa dengan penggubalan undang-undang dalam pengertian perundangan yang sebenar. Hal ini kerana parlimen boleh menjalankan hak pembelanjawannya ini dengan hanya meluluskan Akta Parlimen. Namun, pada kebiasaannya belanjawan kerajaan dikendalikan dalam bentuk undang-undang tanpa perlu mendapat persetujuan Bundesrat.

Hak demokratik menentukan belanjawan ini secara tradisinya tidak digunakan dengan bersungguh-sungguh oleh Bundestag, walaupun tergolong di dalam hak-hak parlimen yang dibangunkan sepanjang demokrasi diamalkan sebagaimana yang ditekankan dan dipraktikkan di Dewan Rakyat British. Sebaliknya, sewaktu pentadbiran Otto von Bismarck, kerajaan memiliki kuasa mutlak dalam menentukan belanjawan dan sekaligus menyaksikan kelemahan parlimen pada waktu itu tanpa kawalan belanjawan berbanding dengan hak dan pengaruh yang diberikan kepadanya pada masa kini.

Di dalam perbahasan berkenaan Belanjawan Pejabat Canselor ini, kadangkala disertai dengan perdebatan menyeluruh terhadap dasar dan halatuju kerajaan persekutuan seterusnya sewaktu bacaan pertama mahupun kedua. Pihak pembangkang menggunakan peluang ini menonjolkan kelemahan-kelemahan yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk perhatian masyarakat umum, manakala kerajaan akan cuba membidas ataupun menyerang polisi yang cuba dibawakan oleh kumpulan pembangkang.