Sejarah Bundestag

Bangunan Reichstag yang menempatkan parlimen Jerman di Berlin.

Bundestag juga merupakan nama panggilan sebuah badan yang mentadbir Konfederasi Jerman dari tahun 1815 hingga 1866 (secara rasmi dipanggil Bundesversammlung, Dewan Perhimpunan Persekutuan). Badan ini bertemu di Frankfurt dan diselia oleh sebuah delegasi dari Austria. Badan ini terlibat dalam usaha-usaha mengekang demokrasi dan semangat kebangsaan di Jerman pada waktu itu sekaligus menyebabkannya dibubarkan sewaktu Revolusi Liberal tahun 1848 tetapi bersidang semula pada tahun 1850. Nama badan ini kemudiannya digunakan untuk parlimen Jerman yang ada ketika ini. Berbanding dengan parlimen sekarang yang dipilih oleh rakyat, keanggotaan Bundestag sewaktu Konfederasi Jerman adalah melalui lantikan yang dibuat oleh putera-putera dan juga kerajaan bandar-bandar bebas.

Berikutan pembubaran Konfederasi Jerman pada tahun 1866 dan pembentukan Empayar Jerman (Deutsches Reich) pada tahun 1871, Reichstag (Dewan Undangan Empayar) telah ditubuhkan sebagai Parlimen Jerman dan bersidang di Berlin. Dua dekad berikutnya bangunan parlimen sekarang telah dibina. Anggota-anggota Reichstag dipilih melaui pengundian secara langsung oleh pengundi-pengundi lelaki yang memiliki kesaksamaan (dan bukannya sistem pengundian tiga kelas seperti yang diamalkan di Prussia sehingga tahun 1918). Dewan ini tidak terlibat dalam pemilihan canselor sehingga perubahan-perubahan kuasa parlimen pada bulan Oktober 1918. Setelah Revolusi pada November 1918 dan penubuhan Perlembagaan Weimar, wanita diberi hak untuk mengundi dan diundi dalam pemilihan ke Reichstag dan parlimen boleh menggunakan undi tidak percaya untuk memaksa canselor atau menteri-menteri kabinetnya yang lain meletak jawatan. Pada Mac 1933, sebulan selepas satu kebakaran di bangunan Reichstag, parlimen melepaskan kuasanya kepada kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Canselor Adolf Hitler. Selepas itu, parlimen bersidang sekali-sekala sahaja bagi meluluskan keputusan-keputusan yang diambil oleh kerajaan Hitler. Parlimen ini bersidang buat kali terakhir pada 26 April 1942.

Bundestag pernah bersidang di dalam bekas bangunan loji pembekalan air yang terletak di Bonn ini dari 1986-1992.

Melalui perlembagaan yang baru pada tahun 1949 (dan penubuhan Republik Persekutuan Jerman (atau Jerman Barat)), Bundestag telah ditubuhkan sebagai parlimen Jerman (Barat) yang baru. Oleh kerana Berlin Barat tidak terletak di bawah pentadbiran perlembagaan baru itu dan juga situasi perang dingin ketika itu, badan ini bersidang di Bonn di beberapa bangunan, termasuk di sebuah loji pembekalan air. Bangunan lama Reichstag turut pernah digunakan beberapa kali sebagai tempat bersidangnya badan ini dan juga jawatankuasanya selain persidangan Bundesversammlung, badan baru yang melantik Presiden Persekutuan Jerman. Namun, pihak Soviet membantah keras penggunaan bangunan tersebut oleh institusi-institusi dari Jerman Barat dan berusaha berulang-kali mengganggu persidangan dengan menerbangkan jet pejuang supersoniknya rapat dengan bangunan tersebut.

Sejak tahun 1999, parlimen Jerman telah bersidang semula di Berlin di bangunan asal Reichstag yang berasal dari tahun 1890-an dan menjalani kerja-kerja membaik-pulih dan pengubahsuaian yang diketuai oleh seorang arkitek dari Britain, Sir Norman Foster.

Pada tahun 2005, sebuah pesawat ringan terhempas berdekatan dengan bangunan parlimen. Insiden ini membawa kepada larangan terhadap penerbangan peribadi di ruang udara Berlin Tengah.