Tugas Bundestag

Bersama-sama dengan Bundesrat, Bundestag adalah badan penggubal undang-undang dalam sistem politik di Jerman.

Sesi Perbahasan di Bundestag di Berlin.

Walaupun kebanyakan undang-undang dibawa oleh badan eksekutif, Bundestag menganggap peranan perundangan sebagai tanggungjawabnya yang paling penting. Badan ini menumpukan banyak tenaga menilai dan meminda program perundangan yang dibawa oleh badan eksekutif. Jawatankuasa parlimen memainkan peranan utama dalam proses sebegini. Sesi perbahasan memberi peluang kepada anggota-anggota parlimen melibatkan diri dalam debat umum terhadap isu-isu perundangan di hadapan mereka, namun hanya menyaksikan kehadiran penuh ketika undang-undang penting dipertimbangkan.

Anggota-anggota badan ini merupakan satu-satunya pegawai peringkat persekutuan yang dipilih secara langsung oleh rakyat umum. Badan ini kemudiannya melantik canselor dan memainkan peranan mengawas dan menyelia tindak-tanduk badan eksekutif dalam isu-isu berkaitan dasar-dasar penting dan juga rutin pentadbiran. Kuasa mengawas eksekutif ini seringkali digunakan melalui perundangan, debat-debat awam ke atas dasar kerajaan, penyiasatan dan soalan-soalan secara langsung yang diajukan kepada canselor dan ahli-ahli kabinetnya. Sebagai contoh, Bundestag boleh melaksanakan sesi soal jawab yang menyaksikan wakil-wakil kerajaan menjawab soalan-soalan yang telah diajukan secara bertulis oleh anggota-anggota parlimen. Ahli-ahli lainnya kemudian berpeluang mengajukan soalan-soalan berkaitan secara lisan. Soalan-soalan yang ditanya adalah berkaitan dengan banyak perkara seperti yang berkaitan dengan isu dasar yang utama sehinggalah kepada masalah kawasan-kawasan tertentu. Pengunaan sesi soal jawab ini telah meningkat secara mendadak sejak akhir-akhir ini dan parti-parti pembangkang menggunakan peluang ini secara aktif untuk menyiasat tindak-tanduk kerajaan.

Satu perbezaan ketara jika membandingkan Bundestag dengan Dewan Rakyat di Malaysia ialah kurangnya masa yang digunakan untuk berkhidmat di kawasan-kawasan parlimen di Jerman. Hal ini berlaku kerana 50 peratus anggota badan ini dilantik untuk mewakili kawasan-kawasan parlimen manakala separuh yang lainnya mewakili parti-parti politik. Maka, parti-parti politik memainkan peranan yang lebih penting di dalam sistem pilihan raya di Jerman dan pengundi-pengundi sering tidak memandang calon-calon yang bertanding sebagai individu tetapi sebagai agen parti. Satu kekangan praktikal terhadap pengembangan perkhidmatan di kawasan parlimen adalah kakitangan peribadi anggota-anggota parlimen yang terhad. Walaupun begitu, anggota-anggota yang dilantik secara terus selalunya berusaha keras mengekalkan hubungan dengan pengundi-pengundi di kawasannya dan turut berusaha membantu masalah mereka, terutamanya yang berkaitan dengan dasar-dasar dan agensi-agensi persekutuan.

Perkhidmatan kawasan parlimen turut dilaksanakan dalam bentuk Jawatankuasa Petisyen. Pada tahun 2004, jawatankuasa ini telah menerima lebih 18,000 aduan daripada warganegara dan telah berjaya merundingkan lebih separuh kes melalui penyelesaian yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat.