Pilihanraya Bundestag

Anggota-anggota parlimen berkhidmat selama empat tahun bagi satu-satu penggal. Pilihanraya dijalankan setiap empat tahun melainkan dalam keadaan tertentu yang memaksa parlimen dibubarkan sebelum tamat tempoh penggal perkhidmatannya. Pembubaran parlimen hanya boleh dilakukan oleh presiden setelah mendapat nasihat daripada canselor apabila beliau tidak lagi memperoleh undi percaya di parlimen.[1] Perkara ini pernah berlaku sebanyak tiga kali sebelum ini: pada tahun 1972 di bawah pentadbiran Canselor Willy Brandt, pada tahun 1982 sewaktu kepimpinan Canselor Helmut Kohl dan yang terakhir pada tahun 2005 ketika kerajaan diterajui oleh Canselor Gerhard Schröder.

Kertas undi bagi kawasan parlimen 252, Würzburg. Undi untuk wakil rakyat secara langsung di sebelah kiri, undi untuk parti di sebelah kanan.

Semua calon-calon yang hendak bertanding perlulah berusia sekurang-kurangnya 18 tahun dan tiada had penggal perkhidmatan dikenakan. Pilihanraya dijalankan di semua 299 kawasan parlimen dalam keadaan yang terbuka, bebas, adil dan saksama. Setiap pengundi akan membuang dua undi. Undi pertama bagi memilih satu wakil rakyat secara langsung mengikut kawasan parlimen manakala undi kedua bagi menentukan jumlah perwakilan tambahan yang boleh dihantar oleh satu-satu parti politik ke parlimen.

Hanya parti-parti politik yang berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 5% daripada peratusan undi keseluruhan atau berjaya memenangi secara langsung sekurang-kurangnya tiga kerusi melalui undi pertama akan diberikan kerusi tambahan ini. Perkara ini disebut halangan 5% bagi mengelakkan kemasukan secara mudah parti-parti kecil yang akan mengganggugugat pembentukan kerajaan dengan majoriti stabil sepertimana yang berlaku ketika Perlembagaan Weimar. Sejak tahun 1961 hanya terdapat dua parti baru yang berjaya menghantar perwakilan ke parlimen iaitu Pakatan '90/Hijau dan Parti Kiri.

Pembahagian kerusi

Separuh daripada anggota-anggota Bundestag dipilih secara langsung daripada 299 kawasan parlimen berdasarkan sistem majoriti seperti yang diamalkan di Malaysia, manakala separuh yang lainnya dipilih berdasarkan senarai parti mengikut negeri.[2]

Jumlah kerusi yang sepatutnya diterima oleh setiap parti akan dikira berdasarkan peratusan keseluruhan undi kedua. Daripada jumlah ini, kerusi yang dimenangi oleh satu-satu parti melalui mandat secara langsung (undi pertama) akan ditolak. Baki kerusi akan diberikan berdasarkan keadaan-keadaan berikut:

  1. Jika sesebuah parti memperoleh kerusi melalui mandat secara langsung yang lebih sedikit daripada jumlah kerusi yang patut diterimanya berdasarkan peratusan undi popular, kerusi tambahan akan diberikan.
  2. Jika parti itu memperoleh jumlah kerusi melalui undi popular yang kurang daripada kerusi yang diperoleh melalui undi pertama, parti itu tidak akan diberi kerusi tambahan, tetapi boleh mengekalkan kerusi yang dimenanginya melalui undi secara langsung.
  3. Jika sesebuah parti memperoleh jumlah kerusi melalui undi popular yang sama dengan jumlah kerusi yang dimenanginya melalui undi pertama, parti itu tidak akan menerima kerusi tambahan.

Jika keadaan kedua berlaku, parlimen akan mempunyai kerusi berlebihan daripada yang ditetapkan oleh undang-undang pilihanraya iaitu sebanyak 598 kerusi. Jika anggota parlimen daripada parti yang mendapat kerusi berlebihan ini terpaksa meletak jawatan atau meninggal dunia, kerusinya tidak akan diberikan kepada calon lain.

Parlimen dikehendaki bersidang dengan kehadiran penuh ahli-ahlinya selewat-lewatnya 30 hari selepas pilihanraya diadakan.[3]