Kerjaya Cat_Farish

Ruffedge

Rencana utama: Ruffedge
Cat (dua dari kiri) bersama Ruffedge.

Cat Farish merupakan salah seorang daripada anggota asal kumpulan Ruffedge sewaktu penubuhannya pada 1998, bersama-sama dengan tiga ahlinya yang lain termasuk Azan Addin, Zain Hamid dan Mode. Beliau bersama rakan-rakan Ruffedge muncul dalam lagu nyanyian kumpulan Too Phat, "Too Phat Baby" yang dimuatkan dalam album sulung Too Phat, Whuttadilly?! (1999) serta lagu "Tell Shorty" (turut menampilkan kumpulan VE) dari album ketiga kumpulan itu, 360° (2003).

Pada 2002, mereka bersama kumpulan VE melancarkan album Extreme Pleasure yang diterbitkan oleh The Promise Clan dan Positive Tone dan diedarkan oleh EMI Music Malaysia, Ruffedge diperkenalkan menerusi single sulung mereka "Tiada Lagi Cinta" menampilkan kumpulan hip hop Singapura, Urban Xchange. Pada 2003, album Extreme Pleasure Extra dikeluarkan dengan penambahan beberapa lagu baru termasuk "Saat Bahagia" dan "Khayalan" (dipopularkan oleh kumpulan Black Dog Bone). Amer Munawer menyertai Ruffedge pada tahun yang sama.

Selepas pemisahan antara VE dan Ruffedge, Ruffedge membawa haluan sendiri dengan melancarkan album pertama mereka Defined pada Mac 2004. Cat mencipta dan menulis kebanyakan lagu nyanyian Ruffedge di dalam album Defined, lagu "Tipah Tertipu" dikeluarkan pada single pertama. Antara lagu-lagu Ruffedge yang menampilkan nyanyian rap oleh Cat termasuk "Tipah Tertipu", "Aura", "Kerna" dan "Da’ Bomb". Pada 2005, album kedua kumpulan ini, Ruffera dikeluarkan dengan kemasukan Syed Hussein sebagai ahli baru menggantikan Mode yang mengundurkan diri kerana komitmennya pada keluarga dan kerjayanya.

Pada April 2006, Cat mengumumkan pengundurannya daripada Ruffedge kerana komitmen lain dan situasi di luar kawalannya.

Pada Mei 2015, beliau dilaporkan bakal menghidupkan semula Rufedge dengan menyatukan semua barisan ahli asal kumpulan ini termasuk beliau sendiri.[2]

Cat kemudiannya menyatakan keterujaannya kembali bersama Ruffedge.[3]

The Fabulous Cats

Lihat juga: The Fabulous Cats

Selepas meninggalkan Ruffedge, Cat menubuhkan kumpulan muzik barunya yang diberi nama The Fabulous Cats (TFC) yang pada awalnya menjadi projek solonya, bagaimanapun ia menjadi sebuah kumpulan muzik tetap, bagi melengkapkan ahli kumpulan ini, Cat mengambil Adeep (bekas ahli kumpulan 2D dan Aikanika, kini bersama kumpulan The Muhibbain), DJ Sumo (Luqman Nur Hakim Sulaiman) dan Ellie (Shenthy Feliziana, kini bersama kumpulan Dynda).

Single pertama mereka, "Papa Jahat" menerima putaran meluas di stesen radio seluruh negara dan menduduki tangga teratas di Carta Hot FM 30, bagaimanapun, lagu ini ‘digam’ oleh stesen penyiaran milik kerajaan, RTM berikutan liriknya yang menyindir kaum bapa, malah turut dibincangkan di parlimen.[4]

Kumpulan ini turut berdepan dengan pertukaran ahli sebanyak beberapa kali, terutamanya ahli wanita. Sepanjang tempoh aktif di industri muzik Malaysia, Cat dan TFC menerbitkan 3 album – Fantastik (2007), Hyperkosmik (2008) dan Fabulousity (2013). Pada 2010, kumpulan ini membuat kemunculan filem cetera mereka menerusi filem drama romantik Cuti-Cuti Cinta arahan Ahmad Idham lakonan Nora Danish dan Farid Kamil.[5]

Pada awal 2015, Cat mengumumkan pembubaran TFC. "Sebulatnya" menjadi rakaman terakhir kumpulan ini yang dikeluarkan dua tahun sebelumnya.

Tiga Swagger

Pada 2014, Cat mengasaskan bersama kumpulan Tiga Swagger yang dianggotai oleh empat anak didiknya – Izham Azmi (Beeru), Norasyifa Diana Ahmad Fauzi (Syifa), Eddie dan Rangga.[6] Mereka muncul bersama Zizan Razak menerusi single sulung mereka yang berjudul "Opss! Aku Dah Ter". Selain itu mereka juga merupakan Ikon Suara Generasiku.[7][8]

Bidang lakonan

Semasa masih bersama Ruffedge, Cat bersama kumpulannya ketika itu membuat kemunculan filem cetera pertama menerusi filem 2005, Tipah Tertipu The Movie yang bertemakan filem jalanan arahan Ahmad Idham dengan lakonlayar oleh Mamat Khalid dan turut dibintangi oleh Intan Ladyana.[9][10]

Pada 2006, Cat sekali lagi bekerja di bawah arahan Idham, kali ini tanpa Ruffedge. Beliau diberikan peranan sebagai Macha dalam filem aksi perlumbaan motosikal Remp-It yang dibintangi oleh Farid Kamil, Zul Huzaimy dan Aqasha.[11] Pada Jun 2007, beliau membintangi sebagai Loyai bersama Awal Ashaari, Opie Zami dan Yatt dalam filem Impak Maksima.[12][13]

Pada 2008, beliau membuat kemunculan khas dalam filem I'm Not Single arahan Pierre Andre lakonan Farid Kamil dan Lisa Surihani. Juga pada tahun yang sama, beliau membintangi bersama Haliza Misbun dalam telefilem Kembalikan Amanda yang diilhamkan daripada kisah sebenar kes kehilangan kanak-kanak berumur 10 tahun, Sharlinie Mohd Nashar. Beliau juga melakonkan watak pembantu dalam filem Selamat Pagi Cinta arahan sulung Yana Samsudin dan juga drama Ezora. Pada 2009, beliau membintangi bersama Lan Pet Pet dan Shaheizy Sam dalam filem komedi seram, Jangan Pandang Belakang Congkak[14] arahan Ahmad Idham dan kesinambungannya pada 2010,[15] Cat memegang watak sebagai Asmat yang bekerja sebagai tukang cuci di studio rakaman.

Cat dan kumpulan The Fabulous Cats membintangi filem komedi romantik Cuti-Cuti Cinta (2010) arahan Ahmad Idham lakonan Farid Kamil dan Nora Danish.[16] Beliau sekali lagi bekerja bersama Idham bagi menjayakan watak undangan dalam filem drama romantik gabungan Malaysia-Indonesia, Gerimis Mengundang (2012) lakonan Kamal Adli dan Olivia Lubis Jensen.

Cat muncul bersama Pekin Ibrahim dalam filem Coverina (2015) arahan Khalid Nadzri. Pada 2016, beliau seterusnya menjayakan watak sebagai peniaga dalam siri drama kepolisan RTM, Gerak Khas episod "Aktivis" dan telefilem Alien Janda Baik arahan Yusry KRU untuk slot Karya 12 di Astro Citra.

Cabang muzik lain

Pada 2017, Cat mengeluarkan single terbaru iaitu Seram Dik Seram bergandingan dengan Eddie G. Lagu ini juga dijadikan runut bunyi untuk Drama Misteri Wan Peah yang bersiaran di TV3. Beliau juga akan menjadi pelakon pembantu dalam drama ini sebagai anak Wan Peah.[17][18]

Rujukan

WikiPedia: Cat_Farish http://www.budiey.com/sekitar-prebiu-filem-cuti-cu... http://www.filemkita.com/filem/t/tipah_tertipu_01.... http://www.gempak.com/artikel/801/terlalu-pentingk... http://www.imdb.com/name/nm3603389/ http://malaysiandigest.com/hiburan/658489-cat-fari... http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita... http://saintanthony.webs.com http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=01... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201...