Pemujaan Datuk_Gong

Tempat keramat

Pada dahulunya, tempat beradanya roh Datuk yang disembah sekadar mampu ditandakan dengan kain kuning yang diikat baik di busut atau batu tempat pujaan. Namun, patung mula dibina mengikut kehendak sezaman; patung-patung roh yang disembah ini digambarkan lengkap persalinan baju Melayu dengan songkok, kopiah atau tengkolok menyerupai seorang Melayu.[1][4] Tokong yang merumahkan roh disembah juga dibina menyerupai rumah tradisi orang Melayu atau bangunan berkubah seumpama masjid menunjukkan asal-usul roh.

Upacara

Pemujaan roh-roh datuk ini datangnya daripada kaitan asal datuk-datuk ini yang dipercayai merupakan roh orang Islam yang meninggal dunia. Maka, barangan yang dianggap haram dalam hukum Islam seperti babi dan arak tidak digunakan kerana dianggap tidak disukai oleh Datuk Haji Keramat.[6]

Para pemuja Na Du Gong biasanya mempersembahkan sepasang lilin putih, tiga batang setanggi serta kemenyan untuk sembahan seharian, Pada Khamis malam Jumaat yang dianggap waktu paling mulia pula, pemuja Na Du Gong memberikan barangan khas berupa daun sirih lengkap dengan kapur sirih, potongan buah pinang, tembakau, dan rokok daun serta buah-buahan. Keris juga dipersembahkan baik pada altar tokong mahupun diletakkan pada tangan patung-patung Datuk sembahan tertentu.[4]

Setiap Datuk ini memiliki "hari raya" tersendiri di mana para pemuja akan mengurniakan pemberian paling istimewa kepada roh-roh ini. Masyarakat pemuja di negeri-negeri utara Semenanjung Melayu (Perlis, Kedah, dan Penang biasanya menyembelih ayam, kambing atau lembu pada hari ini; dagingnya dimasak kari kemudian dipersembahkan kepada Datuk bersama dengan nasi kuning. Persembahan seperti ini juga dipersembahkan oleh pemuja yang permohonannya dikabulkan, misalnya menang loteri.[6]