Pemilihan Durian

Seorang pelanggan menghidu durian sebelum membelinya

Menurut Larousse Gastronomique, durian boleh dimakan apabila kulitnya mula merekah.[40] Bagaimanapun, waktu paling sesuai memakan durian masak itu berbeza-beza mengikut kawasan di Asia Tenggara dan spesies. Sesetengah spesies tumbuh tinggi dan hanya boleh dikutip apabila buahnya jatuh sendiri ke tanah, manakala kebanyakan kultivar D. zibethinus dipotong daripada pokoknya dan dibiarkan masak sementara menanti dijual. Sesetengah orang di selatan Thailand sukakan durian yang lebih muda ketika tekstur isinya masih rangup dan baunya tidak begitu kuat. Sementara itu di utara Thailand, lebih ramai orang sukakan buah yang lembut dan harum. Di Malaysia dan Singapura pula, kebanyakan pelanggan mahukan buah yang benar-benar masak dan beraroma dan malah mungkin membiarkan durian itu terus masak selepas kulitnya telah merekah. Dalam keadaan ini, isinya menjadi penuh berkrim dan sedikit memabukkan,[31] manakala aromanya begitu ketara dan rasanya sangat kompleks.

Bagi penggemar yang selalu memakan durian, mereka lazimnya mempunyai cara tersendiri untuk memilih buah terbaik. Namun kepelbagaian pilihan terhadap kemasakan durian menjadikannya sukar membuat ungkapan am tentang ciri-ciri durian yang "baik". Buah yang jatuh dari pokok akan terus masak selama dua hingga empat hari, namun selepas lima atau enam hari ia akan dianggap terlebih ranum dan tidak lagi sedap.[41] Nasihat biasa bagi seorang pembeli durian yang membeli di pasar ialah untuk memeriksa kualiti tangkai atau gagang yang akan mulai kering selepas terpisah dari pokok: tangkai yang besar dan pejal ialah satu tanda kesegaran.[42] Ada pekedai yang tidak bermoral yang akan cuba membalut atau mengecat tangkai untuk menghalang pengesanan mudah. Pekedai yang kurang pintar mungkin juga membuang tangkai durian. Disebabkan kepopularan Kan Yao, penjual jalanan kadangkala menjual jenis kurang elok dengan tangkai panjang kepada pelanggan yang tidak menyangka.[42] Satu lagi nasihat lazim bagi peminat yang menggemari buah yang isinya kering dan matang ialah menggoncang buah tersebut dan memasang telinga bagi bunyi atau getaran biji bergerak. Isi durian yang lembap melekat pada kulit buah. Isi durian yang kering cenderung untuk berpisah dari dinding buah.[43]

Selain itu, ada beberapa lagi panduan yang boleh dipakai:[43][44]

  1. Pilihlah durian yang memiliki duri yang jarang, besar dan agak tumpul kerana lazimnya durian jenis ini memiliki isi yang kering dan manis. Selain itu, duri yang tumpul juga memudahkan durian dibuka.
  2. Durian yang matang akan mengeluarkan aroma yang kuat dan harum. Sebelum membeli durian, baunya dengan merapatkan durian ke hidung. Jika kurang berbau, ini bermakna durian tersebut tidak sempurna matangnya dan berkemungkinan telah diperam.
  3. Durian mungkin diserang oleh perosak yang bertelur di dalam buah yang berkembang menjadi larva seperti ulat. Penting ketika membeli buah durian untuk mengelakkan membeli buah yang mempunyai sebarang lubang pada kulitnya kerana ini sering kali menunjukkan kemasukan "ulat" ke dalam buah.
  4. Buah durian biasanya mempunyai 5 pangsa. Cari garisan pangsa. Garisan pangsa itu akan jelas kelihatan pada kulit buah apabila sudah matang.

Memilih buah yang tepat amat penting apabila penjual menjual buah "seperti itu" tanpa dibuka. Masa kini ialah lumrah untuk penjual membuka buah dan menjual bahagian dalam yang boleh dimakan. Dengan sebegini, melihat atau merasa bahagian boleh dimakan telah menjadikan teknik pemilihan kurang penting.[45]

Pemilihan durian di ladang adalah mudah. Buah dari pohon yang sama secara umumnya mempunyai ciri-ciri yang serupa. Lazimnya buah di ladang masak dan jatuh dari pokok, jadi kemasakan buah bukanlah sesuatu pekara yang dibimbangkan.[46][45]

Membuka

Durian yang telah dibuka

Secara umumnya, membuka buah durian agak sukar, terutamanya yang belum cukup masak.[47][48] Akan tetapi, kebanyakan penjual akan membuka buah sebagai satu perkhidmatan apabila pembeli telah bersetuju membelinya. Sebaliknya, buah durian yang telah dibuka siap-siap dan diletakkan dalam bungkusan boleh dibeli di pasar raya. Bagaimanapun, buah durian yang dibuka perlu dimakan dalam tempoh waktu beberapa jam sahaja kerana buah yang dibuka tidak tahan lama. Apabila isi telah mula berair, buah durian kehilangan rasanya dan tidak lagi sedap. Supaya tahan lama, isi durian perlu disimpan di dalam peti sejuk.[49][50]

Buah durian boleh dibuka secara berhati-hati dengan menggunakan peralatan yang biasa terdapat di rumah, seperti pisau dan kain.[49] Pemeriksaan kulit luar buah akan mendedahkan "garis" di sepanjang permukaan di mana duri durian tersusun dalam baris lurus di sebalik duri lain yang kelihatan bertaburan secara rawak pada permukaan buah. Umumnya terdapat sehingga lima garis sepanjang permukaan buah durian, menunjukkan kewujudan lima pangsa.[49]

Bahagian tangkai durian sepatutnya diterbalikkan dan garisan urat sepatutnya tertumpu satu titik sekitar di bawah buah. Dengan perlahan, jolok hujung pisau ke dalam titik ini. Kemudian gelongsorkan sedikit mata pisau di sepanjang "garis" yang telah dikenal pasti sebelum ini dan ungkilkan. Gunakan sarung tangan atau kain buruk yang tebal untuk memegang buah durian dengan sebelah tangan, sementara sebelah yang lain melakukan tugasan ini.[49][51]

Apabila kulit buah durian telah pun terbuka kepada dua bahagian, isi di dalam boleh dimakan. Bahagian ruas selebihnya boleh ditolak dengan menggunakan tapak tangan untuk menolak pada bingkai kulit durian pada bahagian yang bertentangan. Ia boleh membantu untuk mengoyakkan hujung kulit durian sedikit pada sepanjang pusat titik tengah sebelum melakukan ini.[49][51]

Bagi durian untuk dieksport pula, lazimnya buah yang muda dan belum masak digunakan. Buah sebegini kulitnya keras dan pangsanya belum kelihatan. Oleh itu, mesin pemotong durian hidraulik boleh digunakan.[52]

Rujukan

WikiPedia: Durian http://www.proscitech.com.au/trop/d.htm http://etext.library.adelaide.edu.au/b/banfield/ej... http://aciar.gov.au/files/node/598/mn114-part1.pdf http://southeastasianfood.about.com/od/malaysianfr... http://travel.asiaone.com/Travel/News/Story/A1Stor... http://www.bigfootencounters.com/creatures/mawas.h... http://lipis-ismail.blogspot.com/2007/07/tanaman-d... http://www.drhatta.com/2012/Dis12/PanasDurian.html http://www.foodmarketexchange.com/datacenter/produ... http://www.genefitnutrition.com/durian.pdf