Perdagangan Ekonomi_Thailand

Amerika Syarikat ialah pasaran eksport terbesar serta pembekal kedua terbesar selepas Jepun bagi Thailand. Sedangkan pasaran-pasaran tradisionalnya yang utama ialah Amerika Utara, Jepun, dan Eropah, pemulihan ekonomi rakan-rakan perdagangan berjirannya telah membantu pertumbuhan eksport Thailand yang mencapai pertumbuhan sebanyak 5.8% pada tahun 2002. Pemulihan ekonomi Thailand daripada krisis kewangan amat bergantung kepada eksport ke negara-negara Asia yang lain serta Amerika Syarikat. Sejak dari tahun 2005, pertumbuhan eksport kereta jenis Jepun (khususnya Toyota, Nissan, dan Isuzu) yang pesat telah membantu memperbaik imbangan perdagangan Thailand secara dramatik, dengan melebihi sejuta buah kereta dikeluarkan pada tahun yang lalu. Oleh itu, Thailand mendapat tempat sebagai salah satu daripada sepuluh pengeksport kereta yang terbesar di dunia.  Pada bulan Januari 1983, Duta Besar Jepun ke Thailand, Motoo Ogiso menyatakan Jepun menganggap Thailand sebagai sebuah negara strategik barisan hadapan dalam menentang ancaman komunis di Asia Tenggara. Atas sebab itulah Jepun memberi bantuan lebih besar kepada Thailand berbanding negara-negara lain di rantau ini.[1]

Jentera dan barang ganti, kereta, litar bersepadu elektronik, bahan kimia, minyak mentah dan bahan api, serta besi dan keluli adalah antara import-import Thailand yang utama. Kenaikan tingkat import yang baru-baru ini (4.6% pada tahun 2002) membayangkan keperluan untuk merangsangkan pengeluaran kereta serta barang-barang teknologi tinggi.

Thailand ialah salah satu ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Kumpulan Cairns (pertubuhan antarabangsa untuk pengeksport pertanian), serta Pertubuhan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Selain itu, Thailand giat mengejar perjanjian-perjanjian perdagangan bebas. Perjanjian Perdagangan Bebas China-Thailand yang bermula pada bulan Oktober 2003 terhad kepada keluaran-keluaran pertanian, dengan perjanjian yang lebih menyeluruh disetujui menjelang tahun 2010. Mulai dari tahun 2003, Thailand juga mengikat sebuah Perjanjian Perdagangan Bebas yang terhad dengan India,, dengan sebuah Perjanjian Perdagangan Bebas Australia-Thailand yang menyeluruh dikuatkuasakan pada 1 Januari 2005. Thailand memulakan perundingan-perundingan perdagangan bebas dengan Jepun pada bulan Februari 2004, dan sebuah perjanjian pada dasarnya disetujui pada bulan September 2005. Perundingan-perundingan untuk sebuah Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat-Thailand kini juga diadakan, dengan mesyuarat pusingan kelima diadakan pada bulan November 2005.

Pelancongan memberikan sumbangan yang penting kepada ekonomi Thailand, dengan industri tersebut dimanfaatkan oleh susutan nilai baht Thailand dan kestabilan negara. Ketibaan pelancong pada tahun 2002 sebanyak 10.9 juta orang membayangkan suatu kenaikan sebanyak 7.3% berbanding dengan tahun yang lalu (10.1 juta orang).

Bangkok dan kawasan-kawasan persekitarannya merupakan kawasan Thailand yang paling makmur, dengan kawasan timur laut yang tandus merupakan kawasan yang termiskin. Tumpuan utama kerajaan-kerajaan Thailand yang berturut-turut, khususnya kerajaan Thaksin yang telah digulingkan, adalah untuk mengurangkan perbezaan pendapatan antara kawasan-kawasan tersebut yang telah bertambah buruk, akibat krisis kewangan serta pertumbuhan ekonomi yang pesat di Bangkok dan kawasan-kawasan persekitarannya. Kerajaan Thailand sedang mencuba merangsangkan pertumbuhan ekonomi provinsi dengan rancangan-rancangan seperti projek Hadap Laut Timur serta pembinaan pelabuhan laut dalam yang alternatif di semenanjung selatan Thailand. Thailand juga sedang mengadakan perbincangan-perbincangan dengan Malaysia untuk memberikan tumpuan pembangunan ekonomi di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia.

Walaupun ekonomi Thailand telah menunjukkan pertumbuhan yang sederhana sejak tahun 1999, prestasi pada masa hadapan akan bergantung kepada pembaharuan yang berterusan kepada sektor kewangan, penyusunan semula hutang korporat, penarikan pelaburan asing, serta peningkatan eksport. Telekomunikasi, jalan raya, penjanaan kuasa elektrik, serta pelabuhan-pelabuhan Thailand menghadapi tekanan yang hebat pada sepanjang tempoh pertumbuhan ekonomi yang berkekalan dan mungkin akan menimbulkan masalah pada masa hadapan. Kekurangan jurutera serta juruteknik yang mahir mungkin juga akan mengehadkan daya cipta serta daya pengeluaran teknologi masa hadapan.