Elemen_(Euclid)
Elemen_(Euclid)

Elemen_(Euclid)

Elemen (Greek: Στοιχεῖα Stoicheia) ialah karya matematik dan geometri yang terdiri daripada 13 buku yang ditulis oleh ahli matematik Greek, Euclid di Iskandariah, Mesir pada 300 SM. Ia merupakan satu koleksi definisi, postulat (aksiom), proposisi (teorem) dan pembinaan, dan bukti matematik untuk proposisi. Kesemua 13 buku menerangkan geometri Euclid dan teori nombor yang asas versi Yunani purba. Selain karya Autolycus Tentang Sfera Bergerak (On the Moving Sphere), Elemen merupakan salah satu karya tertua Matematik Greek yang masih wujud[1] dan ia juga karya yang tertua menggunakan deduktif aksiom dalam matematik. Elemen telah memberi sumbangan yang sangat besar dalam pembangunan logik dan sains moden.Elemen dianggap sebagai buku yang paling berjaya[2][3] dan berpengaruh[4] pernah ditulis. Dengan versi modennya pertama kali dicetak di Venice pada 1482, ia merupakan antara karya matematik yang terawal dicetak selepas penciptaan mesin cetak dan dianggarkan oleh Carl Benjamin Boyer berada di tempat kedua selepas Injil berdasarkan jumlah edisi yang diterbitkan,[4] iaitu melebihi seribu edisi.[5] Selama beberapa ratus tahun, apabila kuadrivium dimasukkan ke dalam kurikulum universiti, pengetahuan tentang sekurang-kurangnya sebahagian dari Elemen diwajibkan ke atas semua pelajar. Sehingga kurun ke-20, isinya telah diajar secara universal melalui buku teks sekolah, dan ia dianggap sebagai sesuatu yang dibaca oleh semua orang terpelajar.