Struktur Fail_perduaan

Tidak seperti fail teks, tiada sebarang aksara khas dalam fail mod perduaan untuk menandakan tamat fail. Fail mod perduaan menjejak tamat fail menerusi jumlah aksara yang hadir dalam kemasukan kamus fail berkenaan. Fail perduaan biasanya ditakrifkan sebagai suatu jujukan bait, bermakna digit perduaannya (bit) dikumpulkan lapan setiap satu. Fail perduaan selalunya berisi bait yang sepatutnya ditakrifkan berlainan daripada aksara. Atur cara komputer terkompil merupakan contoh biasa; aplikasi terkompil (fail objek) kadang kala dipanggil—khususnya oleh pengatur cara—perduaan (binary dalam bahasa Inggeris). Tetapi fail perduaan juga boleh mengandungi imej, bunyi, versi termampat fail lain, dsb., secara ringkas, apa saja jenis kandungan fail.

Sesetengah fail perduaan mengandungi pengepala; blok-blok metadata yang digunakan oleh atur cara komputer untuk mentafsir data dalam fail berkenaan. Sebagai contoh, fail GIF mungkin berisi lebih daripada satu imej, dan pengepala digunakan untuk mengenal pasti dan memerihalkan setiap blok bagi data imej. Jika sesebuah fail perduaan tidak mengandungi sebarang pengepala, ia bolehlah dipanggil fail perduaan rata.