Gajah
Gajah

Gajah

Gajah merupakan mamalia besar daripada keluarga Elephantidae dan order Proboscidea. Secara tradisional, terdapat dua spesies yang diakui, iaitu gajah Afrika (Loxodonta africana) dan gajah Asia (Elephas maximus), walaupun beberapa bukti menunjukkan bahawa gajah semak Afrika dan gajah hutan Afrika merupakan spesies yang berbeza (L. africana dan L. cyclotis). Gajah tersebar di seluruh Afrika sub-Sahara, Asia Selatan, dan Asia Tenggara. Elephantidae adalah satu-satunya keluarga daripada order Proboscidea yang masih ada; keluarga lain yang kini sudah pupus termasuk mammoth dan mastodon. Gajah Afrika jantan merupakan haiwan darat terbesar dengan tinggi yang dapat mencapai 4 m (13 ka) dan jisim hingga 7,000 kg (15,000 lb). Gajah mempunyai ciri-ciri khusus, dengan yang paling mencolok adalah belalai yang digunakan untuk banyak perkara, terutamanya untuk bernafas, menyedut air, dan mengambil benda. Gigi kacipnya tumbuh menjadi gading yang dapat digunakan sebagai senjata dan alat untuk memindahkan benda atau menggali. Daun telinganya yang besar membantu mengatur suhu tubuhnya. Gajah Afrika mempunyai telinga yang lebih besar dan punggung yang cekung, sementara telinga gajah Asia lebih kecil dan punggungnya cembung.Gajah merupakan haiwan herbivor yang dapat ditemui di berbagai habitat, seperti savana, hutan, gurun, dan paya. Gajah cenderung berada di tepi air. Gajah dianggap sebagai spesies kunci kerana impaknya terhadap alam sekitar. Haiwan-haiwan lain cenderung menjaga jarak daripada gajah, dan pemangsa seperti singa, harimau. dubuk, dan anjing liar biasanya hanya menyerang gajah muda. Gajah betina cenderung hidup dalam kawanan keluarga, yang terdiri daripada satu betina dengan anak-anaknya atau beberapa betina yang berkerabat beserta anak-anaknya. kawanan ini dipimpin oleh individu gajah yang dipanggil matriark, yang biasanya merupakan betina tertua. Gajah mempunyai struktur kawanan pecah gabung (fission-fusion society), iaitu ketika kawanan-kawanan keluarga bertemu untuk bersosial. Gajah jantan meninggalkan kawanan keluarganya ketika telah mencapai zaman baligh, dan akan tinggal sendiri atau bersama jantan lain. Jantan dewasa biasanya berinteraksi dengan kawanan keluarga ketika sedang mencari pasangan dan memasuki tahap peningkatan testosteron dan agresi yang dipanggil musth, yang membantu jantan mencapai dominasi dan keupayaan membiak. Anak gajah merupakan pusat perhatian kawanan keluarga dan bergantung pada induknya selama lebih kurang tiga tahun. Gajah dapat hidup selama 70 tahun di alam bebas. Gajah berkomunikasi melalui sentuhan, penglihatan, menghidu, dan suara; gajah menggunakan komunikasi infrabunyi dan seismik untuk jarak jauh. Kecerdasan gajah telah dibandingkan dengan kecerdasan primat, ikan paus dan lumba-lumba. Gajah nampaknya mempunyai kesedaran diri dan menunjukkan empati kepada gajah lain yang hampir atau sudah mati.Gajah Afrika digolongkan sebagai spesies yang terjejas oleh IUCN, sementara gajah Asia diklasifikasikan sebagai spesies terancam. Salah satu ancaman utama bagi gajah adalah perdagangan gading yang mendorong kegiatan pemburuan haram. Ancaman lain adalah kehancuran habitat dan konflik dengan penduduk tempatan. Gajah digunakan sebagai haiwan pekerja di Asia. Dahulu gajah pernah digunakan untuk perang; kini, gajah seringkali dipertontonkan di zoo dan sarkas. Gajah mudah dikenali rupa bentuknya dan telah digambarkan dalam seni, cerita rakyat, agama, sastera, dan budaya popular.

Rujukan

WikiPedia: Gajah http://www.smh.com.au/articles/2006/02/16/11400642... http://arts.anu.edu.au/grovco/Loxodonta%20cyclotis... http://www.chinadaily.com.cn/english/doc/2005-07/1... //www.amazon.com/dp/B0007J8A7E http://www.asianelephantresearch.com/about-elephan... http://www.asianelephantresearch.com/about-elephan... http://regis.cubedeglace.com/wp-content/uploads/20... http://regis.cubedeglace.com/wp-content/uploads/20... http://www.dailyrecord.com/article/20090304/UPDATE... http://www.elephants.com/media/MSNBC_2_28_05.htm