Taksonomi Gigantopithecus

Tinggalan Gigantopithecus pertama yang dihuraikan oleh ahli antropologi ditemui pada tahun 1935 oleh Ralph von Koenigswald di sebuah kedai ubat. Gigi dan tulang fosil sering dikisar jadi serbuk untuk digunakan dalam beberapa cabang perubatan tradisional Cina. [12] Von Koenigswald menamakan spesies yang diteorikan itu sebagai Gigantopithecus. [8]

Sejak itu, agak sedikit fosil Gigantopithecus yang ditemui. Selain daripada gigi-gigi geraham yang diperoleh dari kedai-kedai perubatan tradisional Cina, banyak contoh gigi dan tulang rahang Gigantopithecus blacki yang ditemui di Gua Liucheng di Liuzhou, China.[13] Tapak-tapak lain yang menghasilkan penemuan penting terletak di Vietnam dan India.[3][6] Penemuan ini menunjukkan bahawa taburan Gigantopithecus berada di Asia Tenggara. Terdapat tiga spesies bernama Gigantopithecus yang sudah pupus, iaitu G. blacki, G. bilaspurensis, dan G. giganteus.

Pada tahun 1955, 47 G. gigi blacki ditemui dalam hantaran "tulang naga" (juga dikenali sebagai "tulang nujum") di China. Pengesanan jejak gigi ini kepada sumbernya membuahkan penemuan lebih banyak gigi dan sebatang tulang rahang besar yang cukup lengkap. Menjelang tahun 1958, tiga batang tulang rahang dan lebih daripada 1,300 gigi telah pulih. Tinggalan Gigantopithecus didatangkan dari tapak-tapak di Hubei, Guangxi, dan Sichuan, dari gudang-gudang pengedaran produk perubatan Cina, dan juga dari mendapan gua. Bukan semua tinggalan China ditarikhkan pada zaman yang sama, malah fosil-fosil yang ditemui di Hubei nampaknya lebih lewat, apatah lagi lebih besar daripada tempat-tempat lain di China.[14]

Ahli antropologi fizikal dan paleoprimotologi Cina, Dong Tichen mengusulkan bahawa Gigantopithecus mempunyai beberapa ciri khas yang tersendiri. Oleh itu, ia merupakan cabang yang bebas sepenuhnya dalam salasilah prmat. Tichen menganggap Gigantopithecinae sebagai subkeluarga baru dengan Gigantopithecus sebagai genus jenisnya, yang secara logiknya tergolong dalam Pongidae dan bukan Hominidae.[15]

Gigantopithecus blacki (yang dinamakan sempena rakan sekerja von Koenigswald, Davidson Black[16]) hanya diketahui melalui fosil gigi dan tulang rahang yang terdapat di tapak gua di China Selatan dan Vietnam. Ia lebih besar daripada gigi dan tulang rahang gorila yang hidup, tetapi saiz dan struktur seluruh tubuh sukar ditentukan secara tepat kerana tiada penemuan tambahan. Kaedah penarikhan telah menunjukkan bahawa G. blacki wujud selama sekurang-kurangnya satu juta tahun sehingga ia pupus kira-kira 100,000 tahun yang lalu setelah hidup sezaman dengan manusia yang moden dari segi anatomi (Homo sapiens) selama puluhan ribu tahun, bahkan hidup bersama H. erectus yang mendahului kemunculan H. sapiens.[3] Pada tahun 2014, buat kali pertama, gigi fosil dan tulang rahang G. blacki ditemui di Indonesia.[17][18]

Sesetengah gua di mana gigi telah ditemui bukanlah gua tetapi hanya retakan ketika mawas purba ini masih ada. Diusulkan bahawa tulang Gigantopithecus dibawa ke tapak gua-gua tersebut oleh landak raksasa yang mengunyah tulang sebagai sumber kalsium. Ini mungkin dapat menjelaskan kekurangan penemuan tulang Gigantopithecus masa kini.[19][11]

Evolusi

Rahang G. bilaspurensis

Dahulunya, Gigantopithecus blacki dianggap bersaudara rapat dengan hominin terawal, terutamanya Australopithecus, berdasarkan bukti pada gigi geraham; ini kini dianggap sebagai hasil daripada evolusi konvergen.[20] Gigantopithecus kini ditempatkan dalam subkeluarga Ponginae bersama orang utan.[21]

Gigantopithecus bilaspurensis merupakan mawas fosil yang sangat besar yang dikenal pasti daripada beberapa tulang rahang dan gigi dari India. Spesies ini hidup sekitar 6 hingga 9 juta tahun yang lalu pada zaman Miosen. Walaupun bersaudara dengan G. blacki, tetapi ia dipindahkan ke dalam genusnya sendiri, Indopithecus giganteus, sekitar tahun 2013. Lama-kelamaan G. bilaspurensis ditukar namanya menjadi Gigantopithecus giganteus.[22]

Ditarikhkan pada kira-kira lima juta tahun sebelum G. blacki, diketahuinya spesies berasingan Gigantopithecus giganteus daripada sisa-sisa yang teramat berkecai dari utara India dan China. Di wilayah Guangxi, China, gigi spesies ini ditemui dalam bentukan batu kapur di Daxin dan Wuming, utara Nanning. G. giganteus dipercayai hanya mencapai kira-kira separuh saiz G. blacki.[5][6] Berdasarkan penemuan fosil yang jarang ini, G. giganteus merupakan haiwan maun yang besar, tinggal di tanah dan gemar makan buluh dan daun-daun.

Rujukan

WikiPedia: Gigantopithecus http://dailynews.mcmaster.ca/story.cfm?id=3637 http://news.nationalgeographic.com/2016/01/160106-... http://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S... http://www.thejakartapost.com/news/2014/12/01/foss... http://www.theprimata.com/taxonomy_primata.html http://surabaya.tribunnews.com/2014/12/01/kingkong... http://www.wynja.com/arch/gigantopithecus.html http://www.uiowa.edu/~bioanth/giganto.html http://www.uiowa.edu/~nathist/Site/giganto.html //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC39753