Sinopsis Hikayat_Seribu_Satu_Malam

Gambaran Khalifah Harun ar-Rashid yang disebut dalam Hikayat Seribu Satu Malam.

Hikayat-hikayat itu berlaku pada zaman Empayar Sasan dan bermula dengan Shahryar, seorang maharaja Parsi. Maharaja itu memerintah sebuah pulau yang tidak dinamakan "antara India dengan China" (dalam edisi-edisi moden berdasarkan transkrip-transkrip Arab, baginda ialah maharaja India dan China). Terperanjat dengan kecurangan isterinya, Shahryar membunuhnya. Menganggap bahawa semua wanita juga curang, baginda memerintahkan wazirnya untuk mendapatkan isteri yang baru setiap malam (dalam beberapa versi, setiap tiga malam). Selepas menghabiskan satu malam dengan isterinya, baginda akan menjalankan hukuman mati ke atasnya pada waktu subuh. Amalan ini berterusan agak lama, sehingga Sheherazad, seorang anak perempuan wazir yang bijak, membentuk rancangan dan secara sukarela menjadi isteri Shahrayar.

Dengan bantuan adik perempuannya, Dunyazad, Sheherazad menghabiskan berjam-jam setiap malam selepas perkahwinannya dengan maharaja itu, untuk menceritakan hikayat-hikayat kepada baginda. Setiap kali sewaktu subuh, Sheherazad akan berhenti pada bahagian saspens supaya baginda akan menangguhkan hukuman mati ke atasnya kerana ingin mengetahui akhir cerita. Akhirnya, Sheherazad mengurniakan baginda dengan tiga anak lelaki. Oleh sebab baginda telah diyakinkan olehnya akan kesetiaan seorang isteri, maka dekri itu dimansuhkan.

Hikayat-hikayat itu berbeza-beza secara meluas dan merangkumi cerpen sejarah, cerpen cinta, tragedi, komedi, sajak, burlesk, serta legenda agama Islam. Sebilangan hikayat masyhur yang diceritakan oleh Shahrazad kini diterjemahkan dalam banyak bahasa Barat, termasuknya:

Bagaimanapun, hikayat "Aladdin" dan "Ali Baba" sebenarnya hanya dimasukkan oleh Antoine Galland, seorang orientalis Perancis, pada abad ke-18. Galland mendakwa bahawa beliau memperoleh cerpen-cerpen dalam bentuk lisan daripada seorang pencerita Maronite (ahli Gereja Katolik Timur) yang berasal dari Aleppo, Syria. Banyak hikayat menggambarkan jin, ahli sihir, dan tempat-tempat lagenda, yang sering dicampurkan dengan masyarakat dan geografi yang sebenar; umpamanya, kalifah sejarah, Harun al-Rashid, yang merupakan protagonis yang biasa, bersama-sama dengan pemuisi istana, Abu Nawas, dan wazirnya, Ja'far al-Barmaki. Kadang-kala, satu watak dalam hikayat Scheherazad akan bermula dengan menceritakan kepada watak-watak yang lain tentang sesuatu kisah, dan kisah itu mungkin mengandungi lagi satu kisah di dalamnya yang diceritakan. Teknik ini menghasilkan jalinan karangan yang kaya dengan berbilang lapisan atau dikenali sebagai 'cerita berbingkai' (cerita dalam cerita).