Perhimpunan Himpunan_Kebangkitan_Rakyat_2013

Anwar Ibrahim sedang berucap pada KL112Nurul Izzah Anwar sedang berucap pada KL112

Walaupun perhimpunan rasmi di stadium hanya bermula pada jam 2 petang, orang ramai sudah mula hadir di ibu kota seawal pagi. Ribuan orang hadir Solat Subuh di Masjid Negara.[9]

Para peserta kemudian berkumpul di beberapa lokasi di sekitar ibu negara sebelum bergerak beramai-ramai menuju Stadium Merdeka. Tiada sebarang sekatan dijalankan polis. Selain Masjid Negara, tempat berkumpul termasuklah Amcorp Mall PJ, Masjid Arrahman UM, Brickfields, KLCC, Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Pasar Seni dan Jalan Sultan.[10] Para peserta memakai baju dengan berbagai-bagai warna mengikut tema yang dipilih atau isu yang disokong.[11] Empat warna tema utama ialah kuning (BERSIH), hijau (anti Lynas), oren (ANAK FELDA) dan merah (royalti minyak).[12]

Di stadium, peserta yang tiba awal menunaikan solat Zohor di tengah padang. Selepas nyanyian Lagu Negaraku, perhimpunan rasmi bermula dengan ucapan beberapa wakil NGO diikuti pimpinan PR. Antaranya wakil GMI, orang asal, BERSIH 2.0, ANAK, SMM dan Himpunan Hijau. Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyampaikan sajak bertajuk "Di atas padang sejarah". Seterusnya Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu merangkap pengarah HKR berucap. Beliau diikuti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Acara seterusnya ialah bacaan ikrar 'deklarasi rakyat' yang dipimpin Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan bacaan doa yang dipimpin Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Laungan azan Asar dan nyanyian Lagu Negaraku menjadi penutup kepada himpunan bersejarah ini.[13]

Para peserta yang tidak dapat masuk ke stadium kerana penuh mendengar ucapan dari luar stadium. Peniaga yang membuka gerai di perkarangan stadium dilaporkan mencatatkan untung besar.[14][15] Kebanyakan premis restoran dan warung tepi jalan turut laku.[16]

Polis pada awalnya menganggarkan seramai 80,000 orang hadir ke stadium, namun kemudian mengubahnya kepada 45,000 orang sahaja. Badan Peguam Malaysia pula menganggarkan jumlah orang yang terlibat ialah antara 70,000 hingga 100,000 orang.[1] Manakala para penganjur mendakwa jumlah semua peserta yang turun ke Kuala Lumpur mencapai 500,000 orang.[17]

Kronologi

Berikut adalah kronologi Himpunan Kebangkitan Rakyat (KL112) yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada petang Sabtu 12 Januari 2013.[18] (Susunan paparan kronologi bermula dari bawah ke atas)

  • 4.50 petang: Perhimpunan tamat dengan nyanyian lagu Negaraku. Peserta Himpunan yang beragama Islam menunaikan solat Asar berjamaah.
  • 4.15 petang: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan. Anwar menutup ucapan dengan laungan "Merdeka" dan disambut "Rakyat" sebanyak tujuh kali mengulangi sejarah perisytiharan merdeka di tempat sama pada tanggal 31 Ogos 1957 dahulu.[19]
  • 3.35 petang: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi ucapan.
  • 3.13 petang: Sasterawan negara, Datuk A. Samad Said tampil membacakan puisi bertajuk 'Di atas Padang Sejarah'.
  • 3.06 petang: Vokalis kumpulan Blues Gang, Ito tampil menyanyikan lagu bertajuk 'Ubah Sekarang'.
  • 2.38 petang: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Stadium Merdeka.
  • 2.11 petang: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tiba di Stadium Merdeka.
  • 1.51 petang: Ratus ribu peserta KL112 membanjiri Stadium Merdeka. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memulakan ucapan.
  • Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku.
  • 1.24 petang: Azan Zohor berkumandang di Stadium Merdeka. Sebahagian peserta yang beragama Islam, menunaikan solat Zohor berjamaah. Separuh stadium sudah dipenuhi dengan para peserta KL112.
  • 1.17 petang: Peserta dari Jalan Sultan meneruskan perjalanan ke Stadium Merdeka.
  • 1.14 petang: Fuziah Salleh berucap di hadapan peserta di depan Stadium Bola Keranjang. Dalam ucapannya, beliau berkata, perhimpunan itu dianjurkan bertujuan untuk menuntut sistem pentadbiran kerajaan yang adil. Ini termasuk tuntutan agar kerajaan menghentikan projek Lynas, di Gebeng, Kuantan, selain memberi royalti minyak dan memastikan sistem pilihan raya yang bersih dan adil. Beliau turut menggesa agar semua rakyat turun mengundi pada PRU-13 nanti jika menginginkan perubahan.
  • 1.00 petang: Peserta KL112 diminta duduk di jalan berhadapan dengan Stadium Bola Keranjang.
  • 12.52 tengah hari: Kumpulan peserta KL112 mula bergerak ke Stadium Merdeka.
  • 12.45 tengah hari: Pemimpin pembangkang dan NGO berucap di hadapan peserta KL112 di Jalan Sultan sebelum bergerak ke Stadium Merdeka.
  • 12.20 tengah hari: Hujan renyai-renyai di Jalan Tun Sambathan. Peserta tetap meneruskan perjalanan ke Stadium Merdeka.
  • 12.15 tengah hari: Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw tiba menyertai peserta di Jalan Sultan.
  • Peserta berkumpul di jalan menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Sultan.
  • 12.10 tengah hari: Unit Amal PAS menunggu di Little India, Brickfields untuk bergabung dengan kumpulan peserta dari Amcorp Mall sebelum menuju ke Stadium Merdeka. Keadaan trafik sesak.
  • 12.08 tengah hari: Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Teck berucap menggunakan pembesar suara di hadapan peserta yang berkumpul di Jalan Sultan.
  • 12.02 tengah hari: Peserta KL112 yang berkumpul di Jalan Sultan menyanyikan lagu 'Rasa Sayang' beramai-ramai.
  • 11.50 pagi: Jumlah penyokong bertambah dan membanjiri Jalan Sultan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
  • 11.14 pagi: Kumpulan peserta melepasi Dataran Maybank, Bangsar. Polis trafik mengawal lalu lintas.
  • 11.25 pagi: Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh tiba di Jalan Sultan. Menurut beliau, kumpulan penyokong KL112 di Jalan Sultan akan bergerak menuju ke Stadium Merdeka kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
  • 11.00 pagi: Kumpulan peserta KL112 semakin ramai di sepanjang Jalan Bangsar. Mereka bergerak menuju ke Brickfields. Kumpulan mahasiswa turut kelihatan. Trafik sedikit sesak namun masih terkawal. Kelihatan juga pegawai pemerhati daripada Majlis Peguam ditempatkan.
  • 10.35 pagi: Kumpulan peserta KL112 dari Amcorp Mall bergabung dengan kumpulan peserta yang berkumpul di Universiti Malaya.
  • 10.20 pagi: Kumpulan peserta mula memasuki Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka berjalan di lorong kecemasan. Keadaan trafik lancar.
  • 10.05 pagi: Pasukan Unit Amal PAS mula membuat kawalan di sekitar Jalan Sultan. Jumlah peserta himpunan semakin bertambah.
  • 10.05 pagi: Peserta mula berjalan menuju ke Universiti Malaya (UM) secara berpasangan. Keadaan terkawal.
  • 10.00 pagi: Jumlah penyokong KL112 di Jalan Sultan semakin bertambah. Suasana sekitar kawasan bising dengan tiupan "vuvuzela".
  • 9.00 pagi: Peserta perhimpunan berkumpul di Amcorp Mall, Petaling Jaya untuk berarak ke Stadium Merdeka pada pukul 10 pagi. Peserta terdiri daripada anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan orang awam, antara yang berjalan bersama kumpulan ini termasuk Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
  • 8.45 pagi: Sekumpulan penyokong KL112 dari Johor mula berkumpul di Jalan Sultan berhadapan dengan Kompleks Selangor.

Rujukan

WikiPedia: Himpunan_Kebangkitan_Rakyat_2013 http://www.aljazeera.com/news/asia-pacific/2013/01... http://web6.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?i... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.keadilandaily.com/hkr-peniaga-untung-ma... http://www.malaysia-chronicle.com/index.php?option... http://www.malaysiakini.com/news/218621 http://www.malaysiakini.com/news/218623 http://www.malaysiakini.com/news/218670 http://www.malaysiakini.com/news/218699