Iban
Iban

Iban

pendudukIban atau Dayak Iban (dalam Bahasa Iban Iban bermaksud orang atau manusia), adalah salah satu rumpun Dayak yang terdapat di Sarawak, Kalimantan Barat, Brunei, Sabah dan Johor. Mengikut sejarah lisan, pembentukan dan perkembangan budaya sosial kaum Iban khasnya atau bangsa Dayak amnya terjadi semasa zaman kegemilangan Kerajaan Dayak di Tampun Juah, sebelum kaum Iban dan bangsa Dayak berpecah kepada beberapa subsuku-subsuku yang ada sekarang. Semasa zaman kolonial Inggeris di Sarawak dan Belanda di Kalimantan Barat, kaum Iban sebelumnya dikenal sebagai Dayak Laut dalam pengertian Bahasa Iban Laut bermaksud Melayu (merujuk kepada kaum Melayu). Jika diistilah secara betul Dayak Laut dalam Bahasa Iban bermaksud Dayak Melayu. Fakta ini juga disokong kerana ada satu lagi rumpun bangsa Dayak Laut iaitu Dayak Malayik atau Dayak Melayu yang tinggal di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah. Fakta ini disokong kerana bahasa Iban adalah bahasa yang paling dekat dengan Bahasa Melayu dan bahasa Iban sendiri berasal dari rumpun Malayic dan berparas rupa serta fizikal dari ras Malayoloid. Kekadang asal-usul maksud Dayak Laut ditafsirkan dalam bahasa Melayu dan diterjemah kepada Bahasa Inggeris bermaksud Sea Dayak sebagai menggenapi maksud Land Dayak yang digunapakai oleh kaum Bidayuh kerana dalam bangsa Dayak dibahagikan kepada 4 subbangsa iaitu Dayak Laut, Dayak Darat, Dayak Orang Ulu dan Dayak Barito.Sekarang (bancian 2016) kaum Iban dengan jumlah sebanyak 858,989 iaitu 50% daripada jumlah penduduk Sarawak. Kaum Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak dan kaum ketiga terbesar di Malaysia selepas kaum Melayu, dan Cina. Mereka mendiami setiap daerah, kabupaten dan bahagian di Sarawak, Brunei, Kalimantan Barat serta 6 daerah di Johor (Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai Jaya, Pontian, Kluang dan Batu Pahat) dan 2 bahagian di Sabah (Pedalaman dan Tawau), tetapi kepadatan kependudukan Iban tertumpu di 4 kabupaten iaitu Sanggau, Sekadau, Sintang dan Kapuas Hulu di Kalimantan Barat serta 9 bahagian iaitu Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri di Sarawak. Sekarang, kaum Iban telah tersebar besar hingga ke Brunei dan Sabah di utara Borneo serta Johor dan Selangor di Semenanjung Malaysia. Kebanyakan kaum Iban tinggal berkampung di rumah panjang yang kebiasaanya terletak di tebingan sungai dan di tepi jalan raya ini adalah bagi mempermudahkan aktiviti kerja, berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. Amalan cara hidup yang diamalkan adalah berlandaskan hukum adat, pantang-larang, tolak-ansur (tolenransi), dan berteraskan perhubungan persaudaraan yang erat antara satu sama lain. Kebanyakan masyarakat Iban pada hari ini menerima agama Kristian sebagai pegangan hidup, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai adat resam dan ciri-ciri kebudayaan yang menjadi lambang tradisi masyarakat Iban.