Sejarah Islam_di_Jepun

Antara 1877 dan Perang Dunia II

Hubungan Islam dengan Jepun adalah agak baru berbanding dengan hubungan agama ini dengan negara-negara yang lain di seluruh dunia.

Tidak terdapat sebarang rekod yang nyata tentang hubungan-hubungan antara agama Islam dengan Jepun atau sebarang kesan sejarah tentang Islam di Jepun melalui penyebaran agama, kecuali beberapa hubungan terpencil antara penduduk-penduduk Jepun dengan orang-orang Muslim dari negara lain sebelum tahun 1868.

Agama Islam diketahui buat pertama kali oleh penduduk-penduduk Jepun pada tahun 1877 sebagai sebahagian pemikiran agama barat dan pada sekitar tahun itu, kehidupan Nabi Muhammad diterjemahkan dalam bahasa Jepun. Ini membantu agama Islam menempatkan diri dalam pemikiran intelek orang Jepun, tetapi hanya sebagai satu pengetahuan dan sebahagian sejarah budaya-budaya.

Lagi satu hubungan yang penting dibuat pada tahun 1890 ketika Turki Uthmaniyyah menghantar sebuah kapal yang digelarkan "Ertugrul" ke Jepun untuk tujuan memulakan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara serta untuk saling memperkenalkan orang Muslim dan orang Jepun. Kapal itu yang membawa 609 orang penumpang dalam pelayaran pulang ke negara mereka tenggelam dengan 540 penumpang mati lemas.

Dua orang Jepun Muslim pertama yang diketahui ialah Mitsutaro Takaoka taro Takaoka yang memeluk Islam pada tahun 1909 dan mengambil nama Omar Yamaoka selepas menunaikan haji di Mekah, serta Bumpachiro Ariga yang pada masa yang lebih kurang sama telah pergi ke India untuk berniaga dan kemudian memeluk Islam di bawah pengaruh orang-orang Muslim tempatan di sana serta mengambil nama Ahmad Ariga. Bagaimanapun, kajian-kajian akhir-akhir ini telah mendedahkan bahawa lagi seorang Jepun yang dikenali sebagai Torajiro Yamada mungkin merupakan orang Jepun Muslim yang pertama ketika beliau melawat negara Turki disebabkan kasihan terhadap mereka yang maut dalam nahas kapal Ertugrul. Beliau mengambil nama Abdul Khalil dan mungkin pergi ke Mekah untuk naik haji.

Bagaimanapun, kehidupan komuniti Muslim yang benar tidak bermula sehingga ketibaan beratus-ratus pelarian Muslim Turki, Uzbek, Tajik, Kirghiz, Kazakh dan Tatar Turki yang lain dari Asia Tengah dan Rusia, ekoran daripada Revolusi Bolshevik semasa Perang Dunia I. Orang-orang Muslim ini yang diberikan perlindungan di Jepun menetap di beberapa bandar raya utama di sekitar Jepun dan menubuhkan komuniti-komuniti Muslim yang kecil. Sebilangan orang Jepun memeluk Islam melalui hubungan mereka dengan orang-orang Muslim ini.

Dengan pembentukan komuniti-komuniti Muslim yang kecil ini, beberapa buah masjid telah dibina. Yang paling penting antaranya ialah Masjid Kobe yang dibina pada tahun 1935 (masjid ini ialah masjid yang tunggal di Jepun pada hari ini) dan Masjid Tokyo yang dibina pada tahun 1938. Bagaimanapun, orang Jepun Muslim tidak mengambil berat tentang pembinaan masjid-masjid ini dan tidak terdapat sebarang orang Jepun yang pernah menjadi Imam.

Perang Dunia II dan selepas

Masjid Kobe di Kobe, Jepun

Semasa Perang Dunia II, satu "Ledakan Islam" telah dimulakan oleh kerajaan tentera di Jepun melalui penubuhan pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan untuk mengkaji Islam dan Dunia Muslim. Telah dikatakan bahawa pada tempoh ini, melebihi 100 buah buku dan jurnal mengenai Islam telah diterbitkan di Jepun. Bagaimanapun, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini sama sekali tidak dikuasai atau dikelolakan oleh orang-orang Muslim dan tujuannya bukan untuk penyebaran Islam. Tujuan yang sebenarnya adalah untuk melengkapkan tentera dengan pengetahuan yang diperlukan mengenai Islam dan orang Muslim kerana terdapat komuniti-komuniti Muslim yang besar di kawasan-kawasan yang diduduki oleh angkatan tentera Jepun di negara-negara China dan Asia Tenggara. Oleh itu, dengan penamatan perang pada tahun 1945, pertubuhan-pertubuhan dan pusat-pusat penyelidikan ini hilang sama sekali dengan begitu cepat.

Lagi satu "Ledakan Islam" dimulakan, kali ini selepas krisis minyak 1973. Massa media Jepun telah memberi publisiti yang besar tentang Dunia Muslim secara amnya, dan khususnya kepada Dunia Arab, selepas menyedari kepentingan negara-negara ini terhadap ekonomi Jepun. Dengan publisiti ini, banyak orang Jepun yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang Islam mempunyai peluang untuk menonton Haji di Mekah serta untuk mendengar panggilan Azan (panggilan Islam untuk bersembahyang) dan pembacaan al-Quran. Selain daripada banyak orang Jepun yang memeluk Islam dengan jujur ketika itu, terdapat juga banyak upacara pengislaman beramai-ramai yang terdiri daripada berpuluh-puluh ribu orang. Bagaimanapun, selepas kesan kejutan minyak bertamat, kebanyakan pemeluk Islam meninggalkan agama itu.

Orang-orang Turki merupakan komuniti Muslim yang terbesar di Jepun sehingga akhir-akhir ini. Jepun sebelum Perang Dunia II amat dikenali untuk kasihan dan sokongan terhadap orang-orang Muslim di Asia Tengah dan memperlihatkan mereka sebagai sekutu anti Soviet. Pada masa itu, sebilangan orang Jepun yang bertugas dalam lingkungan perisikan mempunyai hubungan dengan orang-orang Muslim itu. Sebilangan perisik Jepun itu kemudian memeluk Islam melalui hubungan-hubungan ini selepas akhir perang.

Juruterbang-juruterbang Jepun yang pergi ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia sebagai tentera semasa Perang Dunia II diajar mengungkapkan "La ilaha illa Allah" ketika pesawat-pesawat mereka ditembak jatuh di kawasan-kawasan ini supaya mereka tidak dibunuh. Sebuah pesawat Jepun telah dikatakan ditembak jatuh dan juruterbangnya ditangkap oleh penduduk-penduduk. Apabila juruterbang itu menjeritkan kata-kata "ajaib" itu, dia berasa hairan ketika penduduk-penduduk itu mengubahkan sikap-sikap mereka terhadapnya, dan memperlakukannya dengan baik.

Persatuan Muslim Jepun

Serangan Jepun terhadap China dan negara-negara Asia Tenggara semasa Perang Dunia II menghasilkan hubungan-hubungan antara orang-orang Jepun dengan orang-orang Muslim. Mereka yang memeluk agama Islam melalui hubungan-hubungan itu kemudian mengasaskan Persatuan Jepun Muslim di bawah pimpinan Allahyarham Sadiq Imaizumi pada tahun 1953. Persatuan tersebut ialah pertubuhan Jepun Muslim yang pertama. Bilangan ahlinya sebanyak 65 orang pada masa penubuhan persatuan ini bertambah dua kali ganda sebelum pemimpinnya meninggal dunia enam tahun kemudian.

Presiden kedua persatuan ini ialah Allahyarham Umar Mita. Mita merupakan orang Islam yang tipikal bagi generasi tuanya yang membelajari Islam di wilayah-wilayah yang diduduki oleh Empayar Jepun. Beliau bertugas dengan Syarikat Keretapi Manshu yang hampir menguasai semua kawasan Jepun di wilayah timur laut China ketika itu. Melalui hubungan-hubungannya dengan orang-orang Cina Muslim, beliau memeluk Islam di Beijing. Apabila Mita kembali ke Jepun selepas perang, beliau menunaikan haji, dan merupakan orang Jepun pertama selepas peperangan untuk berbuat demikian. Mita juga menterjemahkan maksud al-Quran dari sudut pandangan orang Muslim dalam bahasa Jepun buat pertama kali.

Oleh itu, hanya selepas Perang Dunia II baru terdapat sebuah komuniti di Jepun yang benar-benar boleh dipanggil "komuniti Jepun Muslim". Walaupun kejayaan permulaan agak memuaskan, perkembangan kemudian dari segi keahlian amat perlahan, dan walaupun terdapat banyak pertubuhan yang diasaskan sejak masa itu, setiap pertubuhan itu hanya mempunyai beberapa ahli yang aktif.