Kegunaan Kalsium_klorida

Pengering

Tiub pengering selalunya dipenuhi dengan kalsium klorida. Kelp dikeringkan dengan kalsium klorida untuk menghasilkan natrium karbonat. Penambahan kalsium klorida pepejal ke dalam cecair boleh mengeluarkan air yang terlarut. Kalsium klorida kontang telah disahkan oleh FDA sebagai alat bantu pembungkusan untuk memastikan kekeringan bahan yang dibungkus (CPG 7117.02).

Sifat higroskopik ini juga digunakan untuk mengekalkan satu lapisan cecair di atas permukaan jalan raya untuk memerangkap habuk.

Nyahais dan penurunan tahap beku

Dengan menurunkan tahap beku air, kalsium klorida digunakan untuk menghalang pembentukan ais dan untuk menyahais. Ini sangat berguna bagi permukaan jalan. Penguraian kalsium klorida bersifat eksotermik (melepaskan haba), dan sebatian ini agak tidak merbahaya kepada tumbuhan dan tanih; namun, pemerhatian terkini di negeri Washington menunjukkan bahawa ia mungkin berbahaya bagi tumbuh-tumbuhan malar hijau di tepi jalan. Kalsium klorida juga lebih berkesan pada suhu yang lebih rendah berbanding natrium klorida. Apabila diedarkan untuk kegunaan, kalsium klorida biasanya berbentuk bebola kecil berwarna putih berdiameter beberapa milimeter. Larutan kalsium klorida boleh menghalang pembekuan pada suhu serendah −52 °C (−62 °F).

Sumber ion kalsium

Kalsium klorida digunakan untuk meningkatkan keliatan air dalam kolam renang. Ini mengurangkan hakisan konkrit kolam tersebut. Berdasarkan prinsip Le Chatelier dan kesan ion serupa, dengan meningkatkan penumpuan kalsium dalam air, penguraian sebatian kalsium dalam struktur konkrit dapat dikurangkan.

Dalam akuarium marin, kalsium klorida ditambah untuk menyediakan kalsium bagi haiwan-haiwan bercangkerang kalsium karbonat seperti moluska dan knidaria. Kalsium hidroksida atau reaktor kalsium juga boleh digunakan untuk menyediakan kalsium, namun penambahan kalsium klorida ialah cara yang paling pantas dan tidak memberi kesan yang besar terhadap paras pH.

Makanan

Sebagai bahan masakan, kalsium klorida dikelaskan di dalam Kesatuan Eropah sebagai bahan tambahan makanan yang dibenarkan untuk digunakan sebagai sekuestran dan agen pengental dengan nombor E E509. Ia dianggap sebagai "diiktiraf selamat secara umum (GRAS)" oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan A.S. dan juga terdapat di dalam Senarai Bahan-bahan yang Dibenarkan dan Diharamkan Kebangsaan Program Organik Kebangsaan A.S.. Pengambilan purata kalsium klorida sebagai bahan tambahan makanan dianggarkan sekitar 160 hingga 345 mg/hari bagi setiap individu.

Sebagai agen pengental, kalsium klorida digunakan dalam sayur tin, dalam penghasilan tauhu daripada kacang soya dan dalam pembuatan pengganti kaviar daripada jus buah-buahan atau sayur-sayuran. Ia biasanya digunakan sebagai elektrolit dalam minuman tenaga dan minuman-minuman lain termasuklah air botol. Rasa kalsium klorida yang sangat masam digunakan untuk membuat jeruk sementara tidak meningkatkan kandungan natriumnya. Sifat menurunkan tahap beku yang dimiliki kalsium klorida digunakan untuk memperlahankan pembekuan karamel di dalam bar coklat berisi karamel.

Dalam proses pembruan bir, kalsium klorida kadang kala digunakan untuk membetulkan kekurangan mineral dalam air bruan. Ia memberi kesan dan tindak balas kimia sewaktu proses pembruan, dan boleh juga memberi kesan kepada fungsi yis sewaktu penapaian. Kalsium klorida kadang kala ditambah dalam susu yang diproses untuk mengembalikan keseimbangan semulajadi antara kalsium dan protin dalam kasein bagi tujuan penghasilan keju seperti Brie, Pélardon dan Stilton. Ia juga kerap ditambah pada epal yang dipotong untuk mengekalkan tekstur.

Ubat-ubatan

CaCl2 boleh digunakan untuk merawat keracunan magnesium. Suntikan kalsium klorida boleh melawan keracunan kardiak seperti yang diukur oleh elektrokardiogram. Ia boleh membantu melindungi miokardium daripada paras kalium serum yang terlalu tinggi dalam hiperkalemia. Kalsium klorida boleh digunakan untuk merawat keracunan penghalang saluran kalsium dengan pantas, daripada kesan sampingan ubat-ubatan seperti diltiazem (Cardizem), lantas mengelakkan kemungkinan serangan jantung.[2]

Kalsium klorida akueus digunakan dalam transformasi genetik sel-sel dengan meningkatkan ketelapan membran sel, lalu mencetuskan kecekapan bagi pengambilan DNA (membenarkan cebisan DNA memasuki sel dengan lebih mudah).

Ada beberapa kesan sampingan akibat pengambilan kalsium klorida dengan cara menelan atau secara intravena dan seseorang tidak disarankan mengambil kalsium klorida sekiranya dia mengalami sebarang masalah berikut:

  • alergik (hipersensitif) terhadap garam kalsium
  • mengambil sebarang ubat-ubatan bagi masalah jantung (misalnya digitalis)
  • mempunyai paras kalsium rendah akibat masalah ginjal
  • mempunyai terlalu banyak kalsium sama ada dalam darah atau urin
  • mempunyai masalah pernafasan

Seseorang perlu lebih berjaga-jaga jika menggunakan Infusi Intravena Kalsium Klorida sekiranya dia:

  • mengalami masalah ginjal
  • mengalami masalah jantung
  • mengalami gangguan radang yang dikenali sebagai sarkoidosis[3]