Sejarah Karachi

Karachi diasaskan sebagai petempatan Kolachi pada 1729 oleh pihak etnik Baloch, Talpur Mils. Petempatan itu ditadbir olehnya hingga dijajah oleh pihak British pada Februari 1839.

Syarikat Hindia Timur Inggeris menangkap Karachi pada 3 Februari 1839 apabila kapal HMS Wellesley menyerang dan memusnahkan kubu tanah liat Manora dengan mudah.[6] Bandar itu kemudian dimasukkan ke dalam India British pada 1843. Sebahagian besar kawasan Sindh ditangkap oleh Charles James Napier selepas kejayaan dalam Pertempuran Miani dan Karachi dijadikan sebagai ibu kota provinsi Sindh yang baharu.

Pelabuhan Karachi pula dibina pada 1854. Karachi menjadi pengeksport gandum terbesar di Timur pada 1899. Pembangunan Karachi juga menarik imigran dari pelbagai latar belakang seperti pihak Marathi, Anglo-British, Parsi dan Yahudi.[7] Pada akhir abad ke-19, penduduk Karachi dianggarkan sebanyak 105,000 orang.[8]

Ketika kemerdekaan Pakistan pada 1947, Karachi menjadi bandar terbesar Sindh dengan jumlah penduduk sebanyak 400,000 orang.[9] Pada masa ini, keadaan Karachi adalah aman secara relatif dengan bandar-bandar di utara yang terkesan dengan keganasan antara India dan Pakistan.[10] Hal ini menyebabkan Karachi menjadi pilihan orang Muhajir yang berpindah dari India dan menyebabkan ledakan dalam perkembangan penduduk bandar. Imigrasi ini berlaku hingga 60-an.[11]