Peristilahan Kari

Jalfrezi tikka ayam, nasi pilau, dan rhaita timun.

Istilah "curry" dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan bahasa Tamil yang merujuk kepada mana-mana satu hidangan sampingan yang dimakan bersama-sama dengan nasi. [1] Selain itu, daun kari yang dikenali dalam bahasa Tamil sebagai 'karuvapillai' (secara harfiahnya bermaksud "daun hitam") digunakan dalam berbagai-bagai hidangan umum di India Selatan yang diperbuat daripada sayur-sayuran atau daging dan biasanya, dimakan dengan nasi. [1]

Istilah curry (yang bermaksud "rendidih") wujud dalam bahasa Inggeris sebelum ketibaan pedagang-pedagang British ke subbenua India, dan mungkin dipergunakan oleh mereka untuk merujuk kepada sebarang hidangan yang dianggap mereka seolah-olah rendidih. Istilah ini kini digunakan dengan lebih longgar, khususnya di dunia Barat untuk merujuk kepada hampir semua hidangan berasaskan sos dan rempah yang dimasak dengan berbagai-bagai gaya Asia Selatan dan Asia Tenggara. Di Kerala, walaupun setiap kari mempunyai nama yang khusus, namun setiap hidangan sampingan masih dirujuk sebagai "kari" secara kelaziman sejarah.

Bukannya semua kari diperbuat daripada serbuk kari. Di India, perkataan "kari" sering digunakan bahasa-bahasa India Selatan seperti bahasa Tamil, tetapi istilah ini jarang digunakan di India Utara. Di bahagian-bahagian utara India, kebanyakan hidangan yang merangkumi lentil dipanggil dal, atau dirujuk dengan nama yang berkait dengan rempah yang dipergunakan untuk menyediakannya. Serupa juga, daging atau sayur diberikan nama-nama yang khusus yang menunjukkan cara memasaknya atau rempah-rempah yang digunakan. Terdapat satu hidangan masakan India Utara dan Pakistan yang diberikan nama "kari" atau khadi yang menggunakan yogurt, minyak sapi, dan besan. Secara ironi, hidangan ini tidak dikenali secara meluas di luar Pakistan dan India.

Hidangan-hidangan Bengal yang dikenali sebagai "Torkari" yang merupakan sayur-sayuran yang direndidh atau dikeringkan di dalam kuah merupakan lagi satu sumber yang mungkin untuk perkataan "curry" dalam bahasa Inggeris kerana pendudukan British di India bermula di Bengal sebelum Madras. Lagi satu teori adalah bahawa kata dasar untuk kari, iaitu "Kadahi" atau Karahi," merujuk kepada periuk yang digunakan di dalam dapur India.