Kontroversi Mahathir_bin_Mohamad

Krisis perlembagaan

Pada tahun 1983 dan 1993, Mahathir berdepan dengan pihak Raja dan Sultan dengan membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka dari dihukum. Sebelum pindaan ini, setiap Bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Agung. Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari tanpa mendapat persetujuan Agung. Bagaimanapun, perkara ini hanya untuk undang-undang sekular dan Sultan masih berkuasa dalam undang-undang Islam yang berada di bawah bidang kuasa mereka.

Pemecatan Anwar Ibrahim

Pada tahun 1998, kerajaan di bawah pimpinan Mahathir mendakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim atas kesalahan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa. Anwar pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Anwar mendakwa bahawa beliau dizalimi kerana beliau membawa isu korupsi dan nepotisme dan Mahathir serta orang-orangnya adalah sasaran bagi tuduhan tersebut. Penyokong Mahathir pula percaya bahawa Anwar sebenarnya korupsi dan nepotisme dan cuba untuk menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas melihat kejatuhan Presiden Suharto di Indonesia atas isu yang sama.

Krisis Anwar membawa kepada protes besar-besaran yang dikenali sebagai "Gerakan Reformasi" dan tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999. Namun begitu, PKR hanya memenangi lima kerusi Parlimen pada pilihan raya tersebut dan hampir pupus pada Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh yang dimenangi oleh isteri Anwar, Dr Wan Azizah. Parti tersebut walau bagaimanapun berjaya mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 dengan memenangi 31 kerusi Parlimen, jumlah terbesar antara semua parti pembangkang di Malaysia.

Keluar UMNO

Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti UMNO.[107] Beliau mendakwa bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini. Beliau turut menyatakan sebab bahawa UMNO kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden UMNO dan mengutamakan kepentingan keluarganya sehingga membelakangkan negara di samping beberapa lagi sebab lain. Pengumuman keluar UMNO ini dibuat ketika beliau berucap di hadapan 1,000 orang di Alor Star, Kedah.

Sesetengah pemerhati politik berpendapat tindakan keluar UMNO berkait rapat dengan cubaan gagal Dr Mahathir untuk mendesak Abdullah turun dari jawatan sebagai presiden UMNO. Menurut sebuah tabloid The Malaysian Insider, Dr Mahathir mengadakan perjumpaan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 18 Mei 2008. Perjumpaan itu berkemungkinan tidak berhasil memujuk Najib menentang Abdullah menyebabkan Mahathir tidak mempunyai pilihan lain selain keluar dari UMNO[108].

Mengulas pengumuman Mahathir keluar dari UMNO, bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam di dalam tabloid dilaporkan berkata 'duri dalam daging sudahpun terkeluar' dan pucuk pimpinan UMNO pula harus menerima realiti bahawa UMNO tidak sekuat dahulu dan konsep 'Mahathirisme' sudah berlalu[109].

Sehari selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dr. Mahathir bersama-sama isterinya, Dr. Siti Hasmah dan anak mereka, Datuk Mokhzani telah menyerahkan borang untuk menjadi ahli UMNO semula. Upacara tersebut berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.[110] Bertitik tolak kemasukan inilah UMNO menjadi kuat semula dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara yang diterajui UMNO semakin dipulihkan.[perlu rujukan]

Malaysia "Darul Penyangak"

Pada 24 Oktober 2017, Tun Dr. Mahathir dikritik banyak pihak termasuk di kalangan menteri kabinet berhubung tindakan beliau menggelar Malaysia sebagai "Darul Penyangak" di dalam catatan blog beliau berhubung isu yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Tindakan beliau dianggap satu penghinaan terhadap negara sendiri. Antara yang mengktitik ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang berkata jika marah dengan kerajaan hari ini, beliau tidak sewajarnya menghina negara sendiri.[111][112][113][114][115][116]

Kenyataan mengenai bangsa Bugis

Semasa perhimpunan 'Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi' di Petaling Jaya pada 14 Oktober 2017, Tun Dr. Mahathir telah mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan orang Bugis dengan lanun. Susulan pernyataan tersebut, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengkritik Tun Dr. Mahathir mengenai tuduhan beliau terhadap orang Bugis lantaran salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal daripada bangsa Bugis. Baginda mengatakan fakta sejarah telah membuktikan Kesultanan Selangor yang berketurunan Bugis telah memperjuangkan dan mempertahankan kedamaian di seluruh kepulauan Nusantara.[117][118] Kenyataan beliau yang menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin berasal daripada lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis itu telah menyebabkan Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PPRBMM) yang diketuai Timbalan Presiden PPRBMM, Tasman Matto, mengadakan perhimpunan membantah secara aman di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 18 Oktober 2017.[119] Tun Dr. Mahathir telah menidakkan penghinaan keseluruhan keturunan Bugis dalam ucapannya ketika perhimpunan anti-Kleptokrasi pada malam 20 Oktober 2017. Beliau mendakwa kenyataan yang dibuatnya hanya merujuk kepada “perompak yang mencuri wang rakyat”.[120] Tun Dr. Mahathir juga dilaporkan mengatakan bahawa bukan semua orang Bugis ialah lanun dan kenyataan tersebut hanyalah ditujukan kepada "penjahat yang mencuri wang".[121][122]

Pada 7 Disember 2017, Tun Dr. Mahathir dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah telah memulangkan dua buah pingat yang diterima mereka daripada Sultan Selangor. Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Rais Hussin pula enggan memberitahu alasan sebenar pemulangan pingat-pingat berkenaan dengan berkias bahawa alasan tersebut sudah diketahui. Pingat yang dikembalikan Dr Siti Hasmah itu ialah anugerah yang diterimanya daripada Sultan Selangor pada 1983 dan 1994. iaitu Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.[123] Darjah kebesaran yang telah diserahkan oleh Tun Dr. Mahathir ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Selangor (DK) dan Darjah Kelas Pertama Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri.[124][125]

Pada 8 Februari 2018, Tun Dr. Mahathir telah ditarik balik pingat yang diterima daripada Sultan Kelantan. Pingat yang dikembalikan itu ialah anugerah tertinggi yang diterimanya daripada Sultan Kelantan pada 2002 iaitu Darjah Kerabat Al-Yunusi (DK Kelantan).[126]