Asal-usul Minggu_tujuh_hari

Asal-usul minggu tujuh hari merupakan pengertian agama yang ditekankan pada hari ketujuh dalam budaya-budaya purbakala. Sumber-sumber kuno paling awal mencatatkan minggu tujuh hari di Babylon purba sebelum 600 SM.[1] Masyarakat Babylon menyambut suatu hari suci setiap tujuh hari mulai anak bulan, diikuti bulan sabit pertama, tetapi dilaraskannya bilangan hari dalam "minggu" terakhir supaya bulan-bulannya sentiasa bermula dengan anak bukan. (Minggu tujuh hari adalah hanya 23.7% daripada satu qamarian, maka kitaran tujuh minggu tanpa putus-putus boleh cepat hilang keserentakan dengan qamarian.)Kalendar Majusi menuruti kalendar Babylon dalam mengaitkan hari-hari ketujuh dan lebihan dalam sebulan kepada Ahura Mazda.[2] Orang Yahudi menyambut setiap hari ketujuh di dalam kitaran minggu tujuh hari tanpa putus sebagai hari suci untuk berehat dari kerja untuk memperingati minggu Penciptaan. Minggu tujuh hari sebagai kira-kira sesuku daripada qamarian pernah diusul-usulkan (contohnya oleh Friedrich Delitzsch) sebagai asal-usul astronomi tersirat bagi minggu tujuh hari, namun antara kepincangan pada hujah itu termasuk tiadanya keserentakan, perubahan antara satu persatu jangka masa fasa bulan, serta ketidakserasiannya dengan sistem-sistem angka perduabelasan dan perenampuluhan, iaitu asas-asas utama bagi unit-unit kronologi dan kalendar yang lain dalam sejarah. Contohnya, negara Cina sewaktu Dinasti Han (dari 206 SM) menggunakan kitaran lima hari dan sepuluh hari.

Timur Dekat Purba

Imago Mundi Babylon yang bertarikhkan abad ke-6 SM (Empayar Neo-Babylon).[3] Peta ini menunjukkan kedudukan Babylon di rantau Euphrates, dikelilingi oleh tanah berbentuk lingkaran yang turut memaparkan Assyria, Armenia dan beberapa buah kota, sama sekali dikelilingi oleh suatu "sungai pahit" (Oceanus) dengan tujuh buah pulau yang tersusun di kitarnya seakan-akan membentuk bintang pecah tujuh.
Lihat juga: Kalendar Babylon dan Shabbat

Berhitung mulai anak bulan, masyarakat Babylon menyambut hari-hari ke-7, ke-14, ke-21 dan ke-28 sebagai "hari suci" ataupun "hari durjana" (iaitu "tidak sesuai" untuk kegiatan terlarang). Pada hari-hari ini, para pegawai dilarang menyertai pelbagai kegiatan sementara rakyat jelata dilarang "berhajat", malah sekurang-kurangnya hari yang ke-28 merupakan "hari rehat".[4] Pada tiap-tiap hari itu, sembahan dilakukan terhadap satu-satu dewa atau dewi yang bersilih ganti. Batu-batu bersurat daripada abad ke-6 SM sewaktu pemerintahan Cyrus Agung dan Cambyses menandakan bahawa tarikh-tarikh ini kadang-kadang dianggarkan. Qamarian 29 ke 30 hari pokoknya mengandungi tiga minggu tujuh hari dan satu minggu terakhir dengan lapan ke sembilan hari, maka terputuslah kitaran tujuh hari tanpa putus.[4] Tambahan pula, orang Babylon menyambut hari ke-19 setiap bulan sebagai suatu "hari durjana" yang istimewa iaitu "hari kemarahan" kerana ianya lebih kurang hari ke-49 dalam bulan sebelumnya, melengkapi "seminggu minggu-minggu", juga dengan sembah korban dan pantang-larang.[4]

Kemusykilan dalam teori asal-usul Friedrich Delitzsch yang mengaitkan Shabbat Ibrani dengan kitaran bulan Babylon[5] termasuklah menyelaraskan perbezaan antara minggu tak pecah dengan minggu qamari serta menkelaskan ketiadaan teks-teks yang menamai minggu qamari itu sebagai Shabbat dalam sebarang bahasa.[6] Pencantuman semula batu bersurat yang pecah nampaknya mentakrifkan perkataan Akkad Babylon Sapattum atau Sabattum yang jarang-jarang diakui sebagai bulan purnama: perkataan ini merupakan seasal ataupun bergabung dengan Shabbat dalam bahasa Ibrani, tetapi berupa bulanan dan bukan mingguan. Ia dianggap sebagai sebentuk perkataan Sumer iaitu sa-bat ("tengah rehat") yang dibuktikan dalam bahasa Akkad sebagai um nuh libbi ("hari tengah rehat").[4] Kesimpulan ini merupakan pemulihan berasaskan konteks bagi catatan penciptaan Enûma Eliš yang sudah rosak, yang bertulis: "Sabat harus kausambut setiap pertengahan bulan".[4]

Minggu tujuh hari ini paling utama dikaitkan dengan agama Yahudi, di mana ia wujud dalam kisah Penciptaan dalam Kitab Kejadian dalam Alkitab Ibrani yang mana Elohim (Tuhan) mencipta angkasa dan bumi dalam enam hari dan berehat pada hari ketujuh (Genesis 1:1-2:3). Dalam Kitab Keluaran, yang keempat daripada Sepuluh Rukun adalah rehat pada hari ketujuh (Shabbat) yang boleh dikira sebagai membayangkan minggu tujuh hari yang diperkenalkan oleh masyarakat. Ramai yang menyambut Sabat Alkitab memperakuinya sebagai perjanjian abadi yang ditetapkan buat Bani Israel (Exodus 31:13-17) sebagai tanda memperingati dua peristiwa, iaitu hari rehat Tuhan setelah menyiapkan Penciptaan dalam enam hari (Exodus 20:8-11) dan pembebasan Bani Israel oleh Tuhan daripada minggu kerja tujuh hari Mesir (Deuteronomy 5:12-15).

Kepurbaan klasik

Frank C. Senn dalam bukunya Christian Liturgy: Catholic and Evangelical merujuk kepada data yang mengutarakan bukti akan penggunaan minggu tujuh hari tanpa putus pada zaman purba, iaitu oleh kaum Yahudi sewaktu dalam tawanan Babylon pada abad ke-6 SM,[7] selepas kemusnahan Haikal Sulaiman. Bangsa Rom purba pada mulanya menggunakan kitaran nundinal lapan hari, tetapi setelah menerima guna kalendar Julius pada zaman pemerintahan Augustus, digunakanlah minggu tujuh hari. Minggu tujuh hari digunakan seiring dengan kitaran nundinal itu buat seketika, tetapi ketika minggu itu diterima rasmi oleh Constantine pada 321 M[8] maka lupuslah kitaran nundinal.

Eropah Kristian

Kitaran minggu tujuh hari kekal tidak terputus di Eropah selama hampir dua alaf biarpun terdapat perubahan pada kalendar-kalendar Iskandariah, Julius, dan Gregory seperti yang ditunjukkan oleh susur-galur tarikh Ahad Easter melalui berbilang jadual komputus kepada sepucuk salinan Habsyah bagi sebuah jadual purba Iskandariah yang bermula dengan Easter 311 SM.[9]

Rujukan

WikiPedia: Minggu_tujuh_hari http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://www.fairchildsemi.com/support/packaging/top... http://books.google.com/books?id=Cd5ZjRsNj4sC http://books.google.com/books?id=Tn4PAAAAYAAJ&pg=P... http://books.google.com/books?id=g5c7C2rQzU0C http://books.google.com/books?id=qVNqXDz4CE8C http://www.henry-davis.com/MAPS/Ancient%20Web%20Pa...