Mustaffa_Ahmad_Hidzir

Mustaffa Ahmad Hidzir, juga dikenali sebagai Tapa ialah seorang pengilustrasi dan pereka grafik Malaysia. Beliau terkenal menerusi hasil karyanya sebagai pereka kulit album penyanyi popular tanah air.[1][2] Antara artis-artis yang beliau membantu mereka bentuk kulit album ialah Carefree, Lefthanded, Jamal Abdillah, M. Nasir, Ramli Sarip, Sudirman, Francissca Peter, Sharifah Aini, Noryn Aziz dan Sheila Majid. Dikenali sebagai anak Melayu pertama yang bergiat aktif sebagai pereka kulit album, Tapa telah menghasilkan lebih daripada 300 rekaan kulit album.[1]Dilahirkan di Taiping, Perak, Tapa melanjutkan pelajarannya dalam rekaan grafik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), memperoleh Diploma Senilukis dan Senireka (Grafik). Selepas menamatkan pengajian di UiTM, beliau bekerja di syarikat rakaman EMI Music Malaysia yang mana bermula dari situ, beliau menerima pendedahan mengenai rekaan kulit album. Kulit album Kebebasan oleh Carefree yang diterbitkan pada 1979 merupakan hasil karya beliau yang pertama diterbitkan.[3]Selain itu, beliau juga bertanggungjawab mereka bentuk logo Anugerah Industri Muzik (AIM).[1] Pada tahun 2017, Tapa menerbitkan buku bertajuk 12X12 Album Cover Design by Tapa terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), yang menghimpunkan koleksi kulit album terbaik ciptaannya.[4][5]