Biografi Norodom_Monineath

Norodom Monineath dilahirkan pada 18 Jun 1936, di Saigon, Indochina Perancis. Baginda dilahirkan sebagai Paule-Monique Izzi.[1] Ayahandanya, Jean-François Izzi, merupakan seorang pengurus bank berketurunan Corsica, Perancis dan Itali [2] yang terbunuh semasa Perang Dunia Kedua. Bondanya, Pomme Peang, merupakan seorang wanita Khmer dari Phnom Penh.[3]Monineath menuntut di Sekolah Rendah Norodom, Sekolah Menengah Sisowath,dan Lycée René Descartes.

Norodom Monineath semasa lawatan rasmi ke Republik Sosialis Romania pada 1972.

Monineath berkenalan dengan Norodom Sihanouk pada 1951 apabila baginda memenangi tempat pertama dalam sebuah peraduan ratu cantik. Pasangan ini berumahtangga secara sulit pada 1952 dan kemudiannya secara rasmi pada 1955. Monineath sering dianggap sebagai teman hidup paling rapat kepada Raja Sihanouk. [4]

Pada 1955, Sihanok meninggalkan takhta namun masih memegang tampuk kuasa kerajaannya. Pada 1960, Sihanok menjadi ketua negara sekali lagi tetapi kini dikenali sebagai Perdana Menteri dengan pangkat 'putera'. Puteri Monique, panggilannya pada masa itu, sering mendapat kritikan daripada rejim Khmer Rouge. Antara tuduhan-tuduah tersebut termasuk menyalahkan baginda kerana memburukkan hubungan Sihanouk dengan bondanya, Ratu Sisowath Kossamak. Menurut mereka, Monineath telah menasihati Sihanouk untuk membuka sebuah kasino yang pada masa itu dianggap sebagai sesuatu hal yang mencemar budaya negara. [5]

Setelah kejadian kudeta pada 1970, Monineath dan Sihanok telah dibuang negeri pada mulanya ke Beijing, China dan kemudian ke Korea Utara. Sebagai tetamu diktator negara itu, sebuah istana dengan 60 buah bilik telah dijadikan tempat kediaman mereka berdua.[6] Pada 1973, Norodom Sihanouk bersekutu dengan Khmer Rouge untuk menentang musuh mereka, Lon Nol.

Setelah kota Phnom Penh jatuh ke tangan rejim Khmer Rouge pada April 1975, Monineath kembali ke istana bersama Sihanok yang telah dilantik sebagai ketua negara yang berkuasa nominal. Sejak 1976, pasangan diraja ini telah ditahan di rumah oleh Khmer Rouge. Mereka juga terpaksa menjalani program pendidikan semula. Selain itu, 18 ahli keluarga diraja yang lain telah dibunuh oleh Khmer Rouge.[7] Sebenarnya, Khmer Rouge menginginkan pasangan ini untuk dibunuh tetapi hal ini dihalang oleh China dan Korea Utara.[8]

Pada Januari 1979, Pol Pot mengizinkan mereka berdua untuk meninggalkan Kemboja dengan bantuan China.[9] Norodom Monineath menghabiskan masanya di negara itu dan juga di Korea Utara sebagai tetamu negara. Baginda juga telah memainkan peranan dalam rundingan damai antara Sihanouk dan Hun Sen pada 1987 dan 1988.[10]

Pada 1991, Monineath kembali ke Kemboja dengan Sihanouk. Pada 22 Februari 1992, baginda dinaikkan ke pangkat Samdech Preah Cheayea oleh Sihanouk. Hal ini disusuli dengan pangkat Samdech Preah Mohèsey Norodom Monineath pada 24 September 1993, dan Samdech Preah Reach Akka Mohèsey Norodom Monineath pada 2 Januari 1996.

Sihanouk dilaporkan telah mencadangkan pemindaan ke atas perlembagaan yang membolehkan isterinya untuk menjadi regen supaya dapat menggantikannya sebagai raja. Namun hal ini tidak diluluskan dan Sihanouk memilih untuk meninggalkan takhta supaya anakandanya, Sihamoni dapat menjadi raja. [11]

Norodom Monineath boleh bertutur dalam bahasa Khmer, Perancis dan Inggeris.[12]

Baginda merupakan Presiden Kehormat Persatuan Palang Merah Kemboja.

Rujukan

WikiPedia: Norodom_Monineath http://info.club-corsica.com/index.php?art=53soc00... http://www.casadei.fr/en/pageLibre0001020e.html http://www.norodomsihanouk.info/new/index.php?page... http://www.cambodia.gov.kh/unisql1/egov/english/ki... http://www.cambodia.gov.kh/unisql2/egov/english/ki... http://www.istiadat.gov.my/v8/images/stories/1963.... http://www.1stopcambodia.net/articles/queens_birth... http://www.royalark.net/Cambodia/camboa19.htm http://www.omsa.org/files/jomsa_arch/Splits/1988/1...