Sejarah Orang_Cina_di_Afrika_Selatan

Sebelum Zaman Aparteid

Bukti perhubungan pertama di antara orang Cina dan Afika Selatan bermula pada tahun 1420 apabila seorang pelukis peta dari Venice, Fra Mauro melaporkan bahawa terdapat sebuah kapal daripada China mengelilingi Tanjung Harapan menuju ke selatan Lautan Atlantik. Beliau juga telah melakarkan gambar tongkang Cina tersebut di dalam petanya. Fra Mauro telah mengumpulkan peta-petanya untuk Don Pedro, abang penjelajah terkenal Henry the Navigator. Peta tersebut dilukis dengan tepat oleh Fra Mauro, 20 tahun sebelum Bartolomeu Dias menjadi orang Eropah pertama yang berjaya mengelilingi Tanjung Harapan tersebut. Ahli sejarawan percaya bahawa Fra Mauro telah merujuk kepada peta-peta orang Cina untuk melakarkan Tanjung Harapan dengan sungguh sempurna. [2]

Ahli arkeologi telah menemui bekas-bekas porselin di Mossel Bay yang terletak timur pantai Afrika Selatan yang membuktikan bahawa rombongan pelayaran Laksamana Cheng Ho telah sampai ke situ pada kurun ke-15. [3]

Orang Cina pertama yang berhijrah ke Afrika Selatan bernama Wan Cho yang tiba di Cape Town daripada Betawi, Jawa pada tahun 1660 dengan menaiki kapal Belanda Arnhem.[4]

Terdapat sedozen orang Cina yang membuka restoran-restoran dan menjual sayur-sayuran di Tanjung Harapan pada tahun 1740-an. [5]

Pada tahun 1870-an, kumpulan orang Cina yang pertama daripada Guangzhou, China berhijrah ke Afrika Selatan. Mereka inilah yang merupakan nenek-moyang orang Cina di Afrika Selatan. [6]

Orang Cina mula datang beramai-ramai ke Afrika Selatan pada tahun 1904 untuk bekerja di lombong-lombong emas yang terletak di Witwatersrand (sekarang dikenali sebagai Gauteng). Kebanyakkan daripada mereka telah dihantar pulang pada tahun 1910, akibat desakan kaum Kulit Putih yang menentang kewujudan orang-orang Cina di lombong-lombong emas tersebut.

Hanya sebilangan kecil sahaja yang kekal dan menetap di beberapa buah kawasan seperti Johannesburg dan Port Elizabeth, di antara hanya dua tempat yang terdapat orang Cina.

Zaman Aparteid

Pada permulaan zaman Aparteid, seperti golongan bukan Kulit Putih yang lain, orang Cina juga mengalami diskriminasi dari orang Kulit Putih. Pada zaman ini mereka dikategorikan sebagai golongan Kulit Berwarna (Coloured).

Apabila kerajaan Aparteid di bawah pimpinan orang Kulit Putih diiktiraf oleh negara Taiwan dengan ikatan diplomatik di antara kedua-dua buah negara, terdapat ramai orang Cina Taiwan yang mula berhijrah ke Afrika Selatan pada penghujung tahun 1970-an.

Ia merupakan satu situasi yang amat pelik kerana orang Cina di Afrika Selatan telah dikategorikan sebagai dua golongan. Orang Cina yang datang lebih awal daripada tanah besar China dikategorikan sebagai orang Kulit Berwarna, manakala orang Cina yang berasal daripada Taiwan pula dikategorikan sebagai orang Kulit Putih Terhormat (Honorary White).

Ketibaan pendatang-pendatang Cina yang baru daripada Taiwan telah menambahkan populasi orang Cina di Afrika Selatan dari 10,000 orang pada awal tahun 1980-an ke sekurang-kurangnya 20,000 orang pada awal 1990-an.

Orang-orang Cina daripada Taiwan merupakan para usahawan syarikat-syarikat kecil, terutamanya di dalam sektor tekstil di seluruh Afrika Selatan.

Selepas Zaman Aparteid

Apabila tamatnya zaman Aparteid, lebih ramai orang Cina daripada tanah besar China, Hong Kong dan Singapura berhijrah ke Afrika Selatan dan menyebabkan jumlah orang Cina di Afrika Selatan melonjak ke 100,000 orang, termasuk pendatang-pendatang haram daripada China.

Di Johannesburg, sebuah pekan cina (Chinatown) telah dibangunkan di timur kawasan suburb Cyrildene dan Bruma Lake, mengantikan Chinatown yang lama di pusat bandar.

Sebuah kawasan perumahan untuk orang Cina juga telah dibangunkan di pekan kecil Bronkhorstspruit yang terletak di timur bandar Pretoria

Rujukan

WikiPedia: Orang_Cina_di_Afrika_Selatan http://www.abyznewslinks.com/safri.htm http://www.ethnologue.com/show_country.asp?name=So... http://www.lyngsat.com/packages/mcsafrica.html http://www.religioscope.com/info/notes/2002_041_bu... http://news.xinhuanet.com/english/2006-09/25/conte... http://www.state.gov/g/drl/rls/irf/2003/23753.htm http://www.joshuaproject.net/peopctry.php http://www.southafrica.net/nanfei/consumer/english... http://www.southafrica.net/nanfei/consumer/english... http://web.archive.org/web/20060927005641/http://c...