Sejarah Persatuan_Bola_Sepak_Selangor

Sebelum Persatuan Bola Sepak Selangor ditubuhkan secara rasmi, hanya terdapat beberapa persatuan yang menguruskan liga bola sepak di peringkat negeri, yang dipanggil SAFL atau Liga Bola Sepak Persatuan-Persatuan Selangor (Bahasa Inggeris:Selangor Association Football League) yang ditubuhkan pada 1905. Piala pertama telah ditaja oleh Residen British di Selangor ketika itu iaitu RG Watson. Terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa SAFL diterajui oleh Residen British ketika itu.

Pada 1926, terdapat krisis dalaman yang menyebabkan beberapa ahli mengambil tindakan untuk menarik diri dan menubuhkan Persatuan BolaSepak Selangor atau SFA (Bahasa Inggeris: Selangor Football Association).

Persilisihan faham antara SAFL dan SFA berlanjutan sehingga hampir sepuluh tahun sebelum kedua belah pihak kembali berunding demi kebaikan bola sepak Selangor. Akhirnya, kedua-dua persatuan bergabung secara rasmi pada 22 Febuari 1936 di bawah nama Persatuan Bola Sepak Selangor atau Football Association of Selangor (FAS).

Akan tetapi, Perang Dunia Kedua yang tercetus telah melambatkan usaha FAS untuk membangunkan bola sepak tempatan. Usaha tersebut kemudiannya dimulakan secara agresif oleh presiden rasmi FAS yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebaik sahaja perang tersebut tamat.

Usaha untuk meningkatkan martabat bola sepak negeri berterusan dengan rancangan FAS untuk membina sebuah stadium bola sepak untuk satu pasukan. Pasukan Selangor yang terdahulunya menggunakan Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) sebagai gelanggang utama mereka jelas memerlukan sebuah stadium selari dengan kehendak persatuan.

Pihak FAS membuat pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur beberapa kali untuk memohon keizinan untuk membina sebuah stadium tetapi masih gagal menemui penyelesaian terbaik. Impian untuk melihat pasukan Selangor bermain di stadium sendiri menjadi malap hari demi hari.

Walau bagaimanapun, dengan perlantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (ketika itu memegang jawatan presiden di FAS dan FAM) sebagai Perdana Menteri Malaya yang baru sahaja merdeka, rancangan pembinaan stadium kembali diperkatakan.

Tunku mengarahkan agar Stadium Merdeka dibina untuk digunakan sebagai tempat menyambut kemerdekaan negara dan sebagai stadium rasmi Selangor FA. Stadium Merdeka juga bakal digunakan sebagai stadium nasional untuk mengendalikan sukan antarabangsa.

Nama yang sinonim dengan bola sepak di Selangor pada era 60-an ialah Harun Idris. Beliau menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Selangor selama 21 tahun bermula daripada tahun 1961 sehingga tahun 1982. Sepanjang pimpinannya, pasukan Selangor telah memenangi sebanyak 15 Piala Malaysia di samping membawa perubahan positif ke dalam persatuan tersebut.

Ibu pejabat FAS pada mulanya terletak di bangunan lama MCA di Jalan Ampang sebelum pembinaan Wisma FAS pada 1973 di Stadium Merdeka atas usaha Datuk Harun yang juga merupakan Menteri Besar Selangor ketika itu, dan pengurus pasukan, Hamzah Abu Samah. Pada pertengahan 1990, FAS berpindah ke Wisma FAS di Kelana Jaya.

Selepas beberapa siri kejayaan pasukan Selangor, Persatuan Bola Sepak Selangor membuat keputusan untuk tidak lagi menggunakan Stadium Merdeka demi memenuhi cita–cita besar pasukan Selangor. Oleh itu pembangunan stadium baru mula giat di rancang. Akhirnya pada 1 Januari 1990, satu majlis pecah tanah pembinaan stadium baru dirasmikan di Shah Alam. Dengan pembinaan stadium baru ini lahirnya Stadium Shah Alam, stadium yang boleh memuatkan kapasiti sehingga 80,000 penonton pada satu satu masa. Struktur rangkanya merupakan gerbang bebas terpanjang di dunia. Ia juga telah menjadi salah satu mercu tanda utama di Shah Alam disebabkan saiz dan seni binanya yang mengagumkan. Stadium utama Persatuan Bola Sepak Selangor kini adalah Stadium Shah Alam, yang terletak di ibu negeri Selangor, Shah Alam. Stadium ini menjadi stadium tuan rumah bagi pasukan Selangor sejak mula dibuka pada Julai 1994, setelah kelab itu berpindah dari Stadium Merdeka.[1]

Sejak ditubuhkan pada 1936, Selangor telah memenangi kejuaraan sebanyak 33 kali Piala Malaysia, paling baharu pada tahun 2015, menjuarai Liga Super sebanyak 6 kali, memenangi Piala FA sebanyak 5 kali dan menjadi satu-satunya pasukan di Malaysia yang sampai ke perlawanan akhir Piala Kelab Asia, menjadikannya pasukan yang paling berjaya di kancah bola sepak tempatan.

Antara mereka yang bertanggungjawab bagi kejayaan Selangor termasuklah mereka yang pernah menjawat jawatan presiden iaitu : Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Harun Idris, Dato' Hj. Mohd Aini Taib, Tan Sri Hj. Muhammad Muhammad Taib, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Al-Haj, Abdul Khalid Ibrahim ; pengurusan : Hamzah Abu Samah, Mohd Noor Khamis, Dato' Dr. Nordin Selat, Mazlan Datuk Hj. Harun, Dato' Abdul Mokhtar Ahmad, Dato' Dr. Hj. Mohamad Satim Diman, Zakaria Abdul Rahim ; dan jurulatih-jurulatih : Abdul Ghani Minhat, M. Chandran, Chow Kwai Lam, Khaidir Buyong, Ken Worden, Steve Wicks, Dollah Salleh, K. Devan dan banyak lagi yang tidak disebut.

FAS juga telah melahirkan banyak pemain yang membawa kejayaan sama ada di peringkat negeri atau negara seperti allahyarham raja bola Abdul Ghani Minhat, allahyarham lagenda Mokhtar Dahari, mendiang Wong Choon Wah dan mendiang R. Arumugam. Selain itu seperti Santokh Singh, Soh Chin Aun, Zainal Abidin Hassan, Khan Hung Meng, Azman Adnan, Mohd Amri Yahyah dan banyak lagi.[2]