Persiapan Pertempuran_Kosovo

Susunan tentera bagi pihak Serbia dan Uthmaniyyah sebelum pertempuran tercetus

Komposisi tentera

Sultan Murad masih melanjutkan usaha ayah dan datuknya dalam dalam membangunkan pasukan tentera terlatih. Maknanya tentera Uthmaniyyah sama sekali sangat berbeza dengan komposisi pasukan tentera yang pernah diturunkan oleh Seljuk. Namun, tentera Murad masih memiliki kavalri ringan dalam jumlah besar yang dikenali sebagai akinji. Mereka bersenjatakan busur campuran, kapak, belantan dan mereka biasanya bertempur sebagai penyerang hendap atau pasukan sayap. Kavalri terlatih atau sipahi merupakan kavalri yang lebih berat serta bersenjatakan lembing dan busur. Infantri bukan terlatih dikenali sebagai azap bersenjatakan busur, tombak atau halberd. Sultan Uthmaniyyah juga mula menggunakan hamba peribadi dan orang-orang Kristian untuk membentuk pasukan elit janissari. Pasukan ini dilengkapi dengan berbagai-bagai senjata. Janissari berkhidmat sebagai pelindung kepada sultan dan ia memiliki infantri mahupun kavalri. Tentera Uthmaniyyah juga memiliki meriam gergasi di barisan hadapan mereka. Secara keseluruhannya, Sultan Murad membawa 50,000 tentera dalam pertempuran ini.

Selain itu pada pihak yang lain, Serbia memiliki pasukan ketenteraan bergaya Eropah. Kebanyakan kavalri mereka terdiri daripada kavalri berat bersama dengan kavalri ringan hussar yang agak sedikit. Infantri Serbia pula menggunakan busur dan senjata tangan bergantung kepada situasi. Putera Lazar telah membawa kira-kira 30,000 orang perajuritnya.

Susunan tentera

Terdapat pergunungan yang mengelilingi medan dataran lapang Kosovo di barat dan timur. Putera Lazar faham bahawa pasukannya tidak boleh berentap dengan tentera Uthmaniyyah di medan yang terbuka dan beliau berharap bentuk muka bumi ini dapat menghalang musuhnya memanfaatkan keunggulan jumlah mereka. 15,000 tentera telah diletakkan di barisan tengah yang dipimpin oleh putera Serbia itu sendiri. Kavalri pula berada di barisan hadapan diikuti infantri di barisan berikutnya. Pasukan sayap kiri diketuai oleh Vlatko Vuković sementara pasukan sayap kanan telah dipimpin oleh bangsawan tempatan iaitu Vuk Branković. Kedua-dua pasukan sayap tersebut memiliki kekuatan sekitar 7,000 tentera.

Di pihak Uthmaniyyah pula, Sultan Murad mengisi barisan hadapan bersama 20,000 tentera terlatihnya manakala anaknya, Yakub menjadi ketua komander bagi 15,000 perajurit dalam pasukan sayap kiri sementara Bayezid pula membarisi pasukan sayap kanan dengan jumlah kekuatan yang sama seperti pasukan sayap kiri. Barisan hadapan Uthmaniyyah yang terdiri daripada pemanah telah menggali parit kecil yang sudah diisi dengan kayu-kayu tajam. Kebanyakannya artileri telah diletakkan di bahagian tengah kedua-dua pasukan bak pihak Serbia mahupun pihak Uthmaniyyah.