Sejarah Peso_Filipina

Peso Filipino berasal daripada Real de a Ocho, duit syiling perak Sepanyol, atau dolar Sepanyol yang diedarkan secara meluas di benua Amerika dan Asia Tenggara semasa abad ke-17 dan abad ke-18 menerusi penggunaannya di tanah-tanah jajahan Sepanyol, selain daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

Peso fuerte

Rencana utama: Peso fuerte Filipino

Peso Filipina diasaskan pada 1 Mei 1852 apabila Banco Español-Filipino de Isabel II a (kini Bank Kepulauan Filipina) memperkenalkan nota-nota dalam jenis mata wang pesos fuertes ("peso kuat", ditulis sebagai "PF"). Nota-nota itu diedarkan secara terhad dan digunakan untuk urus niaga bank sehingga 17 Oktober 1854, apabila dekri diraja mengesahkan undang-undang kecil Banco Español-Filipina dan peso menggantikan real pada kadar 8 real = 1 peso. Sehingga 1886, peso diedarkan bersama-sama duit syiling Mexico, dengan sesetengahnya masih dinamai "real" dan "escudo" (bernilai 2 peso).

Pengeluaran duit syiling Filipina bermula pada 1861 dan pada 1864, Filipina memperkenalkan sistem perpuluhan dan membahagikan pesonya kepada 100 centimos de peso. Nilai peso ketika itu sama dengan 226⁄7 grain emas. Pada 1886, pihak berkuasa jajahan Filipina mula menghentikan penggunaan duit syiling Mexico di Filipino secara berperingkat-peringkat atas alasan bahawa duit syiling Mexico mempunyai nilai yang kurang daripada duit-duit syiling yang ditempa di Manila.

Zaman revolusi

Untuk menegaskan kemerdekaannya selepas Pengisytiharan Kemerdekaan Filipina pada 12 Jun 1898, República Filipina (Republik Filipina) di bawah Jeneral Emilio Aguinaldo mengeluarkan duit syiling dan mata wang kertas yang disokong oleh sumber semula jadi negara. Duit syiling itu merupakan duit syiling pertama yang menggunakan nama centavo untuk subbahagian peso. Selepas Aguinaldo ditangkap oleh angkatan tentera Amerika Syarikat di Palanan, Isabela pada 23 Mac 1901, peso revolusi tersebut dihapuskan.

Zaman penjajahan Amerika

Selepas Amerika Syarikat menguasai Filipina, Kongres Amerika Syarikat meluluskan Philippine Coinage Act (Akta Pencetakan Duit Syiling Filipina, 3 Mac 1903) yang menetapkan berat dan kehalusan duit syiling Filipina. Peso ditakrifkan sebagai tepat sama dengan setengah kandungan emas Dolar Amerika Syarikat. Keadaan yang sama juga berlaku di kedua-dua Jepun dan Mexico, dengan Peso 50 cent (AS) terus digunakan di kedua-dua Mexico dan Filipina sehingga dekad 1960-an.

Tidak lama selepas pengenalan Peso 50 cent, suatu masalah yang serupa dengan masalah yang dialami di Negeri-negeri Selat berlaku. Harga perak naik dengan begitu pesat sehingga kandungan perak di dalam duit syiling Peso Filipina dan duit syiling dolar Selat baharu melebihi nilai duit-duit syiling pada dirinya. Ini menimbulkan bahaya bahawa sesetengah orang akan meleburkan kedua-dua duit syiling itu untuk mendapatkan peraknya. Oleh itu, pada 1907, duit syiling baharu yang lebih kecil dalam kedua-dua kes tersebut diperkenalkan dengan nilai peraknya yang dikurangkan kepada peringkat yang lebih selamat.

Perang Dunia II

Pada 1942, penakluk Jepun memperkenalkan nota-nota untuk digunakan di Filipina. Nota pengedaran darurat (juga diistilahkan sebagai "peso guerila") juga dikeluarkan oleh bank-bank dan kerajaan-kerajaan tempatan dengan menggunakan dakwat dan bahan yang kasar. Walaupun demikian, nota-nota itu dapat ditukarkan kepada peso perak selepas perang.

Republik Filipina Kedua di bawah José P. Laurel yang disokong oleh Jepun mengharamkan pemilikan mata wang guerila dan mengisytiharkan monopoli terhadap pengeluaran wang, dengan sesiapa yang didapati memiliki nota guerila boleh ditangkap. Disebabkan sifat fiat mata wang Republik Filipina Kedua, ekonomi Filipina mengalami hiperinflasi.

Antara Oktober 1944 sehingga September 1945, kedua-dua angkatan tentera Amerika Syarikat dan angkatan tentera Filipina meneruskan pencetakan peso Filipina, dengan semua terbitan yang lebih awal, kecuali nota guerila darurat, diharamkan dan tidak lagi merupakan wang sah.

Kemerdekaan

Akta Republik No. 265 mencipta Bank Pusat Filipina (CBP, kini digelar Bangko Sentral ng Pilipinas) pada 3 Januari 1949 dan memberikannya kuasa untuk mentadbirkan sistem perbankan dan kredit negara. Di bawah akta itu, semua kuasa untuk mencetak dan menempa mata wang Filipina dipindah daripada bank-bank seperti Bank of the Philippine Islands (Bank Kepulauan Filipina) dan Philippine National Bank (Bank Nasional Filipina) kepada CPB. Pada 1967, bahasa yang digunakan untuk semua duit syiling dan nota bank ditukarkan kepada bahasa Pilipino. Oleh itu, nama mata wang ditukarkan daripada centavo dan peso kepada sentimo dan piso.

Dalam satu ulangan dasar kewangan masa perang Jepun, pemerintahan Filipina gagal menunaikan janjinya untuk menukarkan nota bank dengan duit syiling perak atau emas, semasa berjanji untuk mengekalkan kesetaraan 2 peso = 1 dolar Amerika Syarikat. Keputusan ini, diburukkan lagi oleh pencetakan berlebihan nota bank fiat yang disengajakan, mengakibatkan nilai peso merosot sehingga hampir 300%, berbanding dengan dolar Amerika Syarikat, dalam tempoh tiga jam hari pembukaan. Usaha pemerintahan untuk mengekalkan peg mata wang akhirnya memusnahkan simpanan emas, perak, dan dolar negaranya.

Menjelang 1964, bulion peso perak lama mencapai nilai sebanyak hampir 12 kali nilai mukanya. Oleh itu, bilon tersebut disorokkan oleh orang Filipina yang enggan menyerahkannya kepada pemerintahan pada nilai muka. Dalam keadaan terdesak, Diosdado Macapagal Presiden Filipina ketika itu, menyahwangkan duit syiling perak yang lama lalu mengapungkan mata wang. Sejak masa itu, peso telah menjadi mata wang terapung, dengan nilai mata wangnya merupakan gambaran fizikal hutang dalam negeri. Oleh itu, nilainya terikat kepada tanggapan rakyat terhadap kestabilan rejim semasa dan keupayaannya untuk membayar balik hutang.

Sejak pembukaan Bangko Sentral ng Pilipinas pada 1949, pemerintahan-pemerintahan berturut-turut telah meneruskan penurunan nilai mata wang Filipina demi mengurangkan hutang dalam negeri terkumpul dari segi sebenar. Pada Disember 2005, jumlah hutang tersebut mencecah PHP 4.02 trilion. Banyak orang Filipina melihat nilai peso dari segi kadar pertukarannya dengan dolar Amerika Syarikat dan cenderung menyalahkan mana-mana rejim yang berkuasa kerana kadar pertukaran mata wang peso yang kian merosot.

Ekonomi sekarang

Berdasarkan harga emas semasa, peso Filipina telah hilang 99.9998% daripada nilai 1903-1949 yang asal. Pada 20 Julai 2008, nilai peso Komanwel Filipina 1903-1949, menurut definisi 12.9 grain emas tulen (atau 0.026875 XAU), kini berharga ₱1,136.09 dalam pasaran komoditi antarabangsa. Mata wang Filipina didagangkan pada kadar 47.650 peso per dolar Amerika Syarikat pada 15 Oktober 2008.[2]