Sejarah Ramen

Restoran ramen di Johor, Malaysia.

Walaupun dilaporkan Tokugawa Mitsukuni memakan ramen pada akhir abad ke-17, namun pada zaman Meiji barulah hidangan menjadi laris (mungkin kerana sepanjang sejarah, pemakanan Jepun banyak terdiri daripada sayur-sayuran dan makanan laut berbanding daging). Pengenalan masakan Amerika dan Eropah yang memerlukan peningkatan penghasilan keluaran daging, memainkan peranan penting dalam peluasan ramen.

Ramen diperkenalkan di Jepun (Pekan Cina di Kobe atau Yokohama) pada zaman Meiji. Ramen garam berasal dari Hokkaidō pada zaman Taisho.

Meskipun berasal dari China, waktu ramen diperkenalkan di Jepun masih belum dipastikan. Asal-usul perkataan "ramen" pun menjadi perdebatan. Satu hipotesis yang mungkin paling boleh dipercayai ialah "ramen" merupakan sebutan Jepun untuk perkataan bahasa Cina 拉麺 (lamian), iaitu "mi tarik" (nama yang masih digunakan untuk jenis mi sebegini dalam bahasa Cina). Satu lagi hipotesis menyatakan 老麺 (laomian, "mi tua") sebagai bentuk asalnya, sementara satu lagi menyatakan bahawa ramen mula-mulanya disebut 鹵麺 (lúmiàn), iaitu mi yang dimasak dalam sos yang pekat dan berkanji. Satu lagi hipotesis ialah 撈麵 (lāomiàn, "lo mein"): 撈 bererti "mengorek keluar" dan memaksudkan kaedah memasak mi ini dengan merendamkannya dalam air yang mendidih sebelum mengeluarkannya dengan jaring dawai.

Pada awal zaman Meiji, ramen dipanggil shina soba (支那そば, "soba Jepun gaya Cina") tetapi kini pula chūka soba (中華そば, juga "soba Jepun gaya Cina") menjadi istilah yang lebih diterima umum. Menjelang tahun 1900, restoran-restoran yang menyajikan masakan Cina dari Canton dan Shanghai menawarkan hidangan ramen ringkas yang terdiri daripada mi (yang dipotong dan bukan ditarik tangan), sedikit hias atas, dan sup yang diberi rasa garam dan tulang khinzir. Kebanyakan orang Cina juga membuka gerai bergerak, menjaul ramen dan ladu gyōza kepada golongan pekerja. Menjelang pertengahan 1900-an, gerai-gerai ini menggunakan sejenis alat tiup bernama charumera (チャルメラ, dari charamela bahasa Portugis) untuk menarik perhatian, iaitu satu amalan yang masih dikekalkan sesetengah penjaja masa kini melalui pembesar suara dan rakaman berulang. Menjelang awal zaman Shōwa, ramen menjadi hidangan yang popular apabila makan di luar rumah.

Selepas Perang Dunia II, tepung murah yang diimport dari A.S. menembusi pasaran Jepun. Pada masa yang sama, berjuta-juta askar Jepun kembali dari China dan tanah besar Asia Timur, kebanyakan mereka sudah biasa dengan masakan Cina lalu membuka resotran Cina di seluruh Jepun. Meskipun popular, memakan ramen tetap hanya boleh dimakan di luar.

Pada tahun 1958, mi segera dicipta oleh mendiang Momofuku Ando, pengasas dan pengerusi Nissin Foods. Mi segera yang dinobatkan ciptaan Jepun terhebat pada abad ke-20 dalam satu undian[1], membolehkan sesiapa sahaja menghidangkan makanan ini dengan cuma menambah air didih.

Sejak 1980-an, ramen menjadi lambang kebudayaan Jepun dan diselidik dari pelbagai perspektif. Pada masa yang sama, variasi ramen setempat meresapi pasaran seluruh negara dan boleh dipesan melalui nama tempat asalnya. Sebuah muzium ramem dibuka di Yokohama pada tahun 1994.[2]

Berkaitan