Kerjaya Romain_Grosjean

Formula Satu

Grosjean disahkan sebagai pemandu ujian untuk Renault bagi musim 2008, dengan menggantikan Nelson Piquet, Jr. yang diberikan kerusi perlumbaan pada tahun tersebut.[3] Beliau memandu kereta sebuah Formula Satu buat kali pertama dalam sebuah perlumbaan World Series by Renault 2008 pada hujung minggu di Silverstone pada 7 dan 8 Jun 2008, di mana beliau memberikan beberapa demonstrasi tentang Renault R27, iaitu kereta pasukan Renault bagi tahun sebelumnya.

Renault (2009)

Beliau pada awalnya terus menjalankan tugas beliau sebagai pemandu ujian untuk Renault bagi tahun 2009, tetapi mengambil alih tempat duduk pemandu Piquet dari Grand Prix Eropah dan seterusnya.[4] Grosjean bermula dari tempat ke-14 di Grand Prix Eropah. Beliau menamatkan perlumbaan di tempat ke-15, selepas berlanggar dengan Luca Badoer pada pusingan pertama. Pada perlumbaan seterusnya, Grosjean terpaksa bersara pada pusingan pertama selepas berlanggar dengan Jenson Button. Di Grand Prix Itali, Grosjean mendapat tempat ke-12 pada pusingan kelayakan. Beliau mengalami kemalangan pada selekoh pertama, berpusing pada pusingan kedua, dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-15.

Grosjean membuat penampilan sulungnya dalam Formula Satu di Grand Prix Eropah 2009.

Di Grand Prix Singapura, Grosjean mendapat tempat ke-19 pada pusingan selepas mengalami masalah brek. Masalah brek tersebut kembali semula semasa perlumbaan dan memaksanya untuk bersara selepas pusingan ketiga. Di Grand Prix Jepun, Grosjean bermula dari tempat ke-18. Beliau telah dinaikkan kedudukan ke tempat ke-17 kerana Timo Glock tidak dapat memulakan perlumbaan. Beliau gagal membuat sebarang kemajuan dalam perlumbaan, dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-16. Di Grand Prix Brazil, Grosjean mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas, namun beliau tidak mengalami sebarang kecederaan. Beliau bermula dari tempat ke-13 selepas keretanya dibaiki. Beliau mendapat tempat ke-13 di perlumbaan tersebut dan mendapat keputusan terbaiknya musim ini. Pada perlumbaan terakhir musim 2009, Grosjean bermula dari tempat ke-19, dan menamatkan perlumbaan tersebut di tempat ke-18, dan sekali lagi mengadu tentang masalah brek semasa perlumbaan. Beliau berkata bahawa beliau telah "belajar banyak tahun ini, terutama dengan rakan sepasukan Fernando". Pada 31 Januari 2010, Renault mengesahkan bahawa Vitaly Petrov akan menjadi pemandu kedua Renault, bersama Robert Kubica untuk musim 2010, dan meninggalkan Grosjean tanpa pasukan untuk berlumba bagi tahun 2010. Walau bagaimanapun pada bulan September 2010, ia telah disahkan oleh pengeluar tayar Pirelli bahawa Grosjean akan melengkapkan ujian bagi mereka, yang dijangka untuk kembali ke F1 untuk membekalkan tayar kepada pasukan yang bertanding pada tahun 2011. Grosjean menggantikan Nick Heidfeld, yang meninggalkan tugas ujiannya untuk berlumba untuk pasukan Sauber.

Auto GP

Pada Jun 2010, Grosjean kembali berlumba dalam perlumbaan kereta roda terbuka, dengan memandu untuk pasukan DAMS pada perlumbaan ketiga dalam kejuaraan Auto GP di Spa-Francorchamps.[5] Selepas mendominasi sesi latihan dan mendapat petak pertama, beliau memenangi perlumbaan feature, dan mendapat tempat kedua dalam perlumbaan sprint, di belakang Carlos Iaconelli.[6] Sepanjang hujung minggu tersebut, Grosjean mendapat 18 mata daripada 19 yang mungkin ditawarkan dan mendapat wang tunai sebanyak 80,000. Beliau memenangi tiga perlumbaan lagi dan memenangi kejuaraan di Monza, manakala Edoardo Piscopo menamatkan musim sebagai naib juara

Kembali ke Formula Satu

Grosjean memandu untuk Lotus di Grand Prix Malaysia 2012.

Pada awal tahun 2011, Grosjean kembali bersama Lotus Renault GP yang baru dinamakan semula, dan merupakan salah seorang daripada lima pemandu ujian bersama-sama dengan Bruno Senna, Ho-Pin Tung, Jan Charouz dan Fairuz Fauzy. Lotus Renault telah merancang untuk menetapkan Robert Kubica dan Vitaly Petrov sebagai pemandu mereka bagi tahun 2011 tetapi Kubica mengalami kemalangan dalam sebuah perlumbaan rali dan tidak mampu untuk memandu pada tahun 2011. Bekas rakan sepasukan Kubica dari BMW Sauber, Nick Heidfeld, menggantikan Kubica untuk sebelas perlumbaan pertama sebelum digantikan oleh Senna dari Grand Prix Belgium dan seterusnya. Pada akhir bulan Oktober 2011, Lotus Renault mengumumkan bahawa Grosjean akan memandu untuk sesi latihan hari Jumaat di Grand Prix Abu Dhabi (menggantikan Senna) dan Grand Prix Brazil (menggantikan Petrov).

Lotus (2012–kini)

Grosjean di Grand Prix Amerika Syarikat 2012.

Pada 9 Disember 2011, ia telah diumumkan bahawa Grosjean akan kembali ke Formula Satu pada tahun 2012, untuk mengambil tempat duduk kedua Lotus F1 Team, yang baru dinamakan semula (dahulunya Renault, pasukan yang disertai oleh Grosjean pada tahun 2009) bersama-sama juara tahun 2007, Kimi Räikkönen.

Di Grand Prix Australia, Grosjean menetapkan masa kedua terpantas pada sesi latihan bebas terakhir,[7] dan rakan sepasukan, Räikkönen telah terkeluar pada pusingan kelayakan bahagian pertama. Grosjean berjaya memasuki Q3 buat kali pertama. Beliau akhirnya mendapat tempat ketiga pada pusingan kelayakan tersebut.[8] Beliau jatuh ke tempat keenam pada awal perlumbaan dan bersara pada pusingan kedua selepas berlanggar dengan Pastor Maldonado.[9] Di Grand Prix Bahrain, Grosjean mendapat tempat ketiga, dan menjadi pemandu Perancis yang pertama untuk mendapat podium sejak Jean Alesi di Grand Prix Belgium 1998.[10] Di Sepanyol, Grosjean memulakan perlumbaan di tempat ketiga dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat, serta menetapkan pusingan terpantas yang pertamanya. Di Grand Prix Kanada, beliau mendapat podium kedua kerjayanya dengan mendapat tempat kedua, di belakang Lewis Hamilton.

Grosjean di Grand Prix British 2012.

Di Grand Prix Eropah, Grosjean terpaksa bersara dari perlumbaan kerana mengalami kegagalan elektronik. Di Grand Prix British, Grosjean mendapat tempat keenam, selepas bermula dari tempat kesepuluh. Di Grand Prix Jerman, Grosjean bermula dari tempat ke-19 disebabkan selepas menukar kotak gear dan mendapat tempat ke-18 selepas tayar keretanya pancit pada pusingan pertama. Seminggu kemudian di Hungary, Grosjean bermula dari tempat kedua dan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, di belakang Lewis Hamilton dan rakan sepasukan, Räikkönen.

Grosjean menyebabkan beberapa insiden pada pusingan pertama, termasuk kemalangan ini dengan Mark Webber pada selekoh pertama di Grand Prix Jepun 2012.

Di Spa, Grosjean menyebabkan kemalangan yang melibatkan beberapa buah kereta lain. Lewis Hamilton, Fernando Alonso, Sergio Pérez dan Grosjean sendiri terkeluar dari perlumbaan tersebut.[11] Berikutan insiden ini, Grosjean digantung satu perlumbaan[12], dan menerima denda sebanyak €50,000. Beliau digantikan oleh pemandu ujian dan simpanan Lotus, Jérôme d'Ambrosio untuk perlumbaan di Itali.[13] Ketua pasukan Lotus, Éric Boullier berkata bahawa Grosjean telah belajar dari kesilapannya berikutan pengantungan perlumbaan tersebut, namun di Jepun, Grosjean berlanggar dengan pemandu Red Bull, Mark Webber pada pusingan dan selekoh pertama perlumbaan. Di Abu Dhabi, Grosjean sekali lagi terlibat dalam kemalangan pada pusingan pertama. Di São Paulo Grosjean melanggar pemandu HRT, Pedro de la Rosa, pada pusingan kelayakan.

Pada 17 Disember 2012, ia telah diumumkan bahawa Grosjean akan terus berlumba untuk Lotus bagi musim 2013.[14]

Beliau mendapat mata pada tiga perlumbaan pertama sebelum mendapat casis baru yang membantunya mencapai prestasi yang lebih baik. Beliau memulakan perlumbaan di tempat ke-11 dan menamatkan perlumbaan di tempa ketiga. Pada perlumbaan setersnya di Sepanyol, ampaian keretanya mengalami kerosakan pada pusingan ke-9. Di Grand Prix Monaco, Grosjean mengalami tiga kemalangan pada sesi latihan, dan menyebabkan ketua pasukannya, Boullier, memberitahu Grosjean untuk "bangun".[petikan diperlukan] Beliau memulakan perlumbaan di tempat ke-13, namun perlumbaannya tamat selepas beliau berlanggar dengan Daniel Ricciardo, dan menyebabkan Grosjean mendapat penalti 10-petak kedudukan untuk perlumbaan seterusnya.

Rujukan

WikiPedia: Romain_Grosjean http://www.autosport.com/news/report.php/id/77740 http://www.autosport.com/news/report.php/id/77761 http://www.autosport.com/news/report.php/id/96698 http://www.autosport.com/news/report.php/id/98167 http://en.espnf1.com/australia/motorsport/story/73... http://www.formula1.com/news/headlines/2012/3/1311... http://www.imdb.com/name/nm3679329/ http://lotusf1team.com/Felicitations-Romain.html?l... http://www.planet-f1.com/driver/3213/8050304/D-Amb... http://www.romaingrosjean.com/