Kerjaya Rosli_Khamis

Loloq mula aktif dalam bidang penciptaan lagu bermula tahun 1987. Beliau mula menumpahkan idea menulis lirik pada usia 27 tahun, Loloq pada kehidupan silamnya merupakan seorang lelaki yang menjalani kehidupan tanpa arah tuju. Dari Singapura, dia sendirian berkelana ke Kuala Lumpur pada usia 23 tahun. Beliau pernah terlibat dengan najis dadah selama enam tahun, mengikut ajaran Tasauf dan menjadi kutu rayau, di perjalanannya menemui paksi apabila bertemu M. Nasir dan Amy Search di Jalan Chow Kit sekitar tahun 1980-an.[1]

Pada waktu itu, beliau yang merupakan seorang penganggur dengan beraninya memujuk M.Nasir dan Amy menggunakan lirik ciptaannya untuk dimuatkan ke dalam album mereka.

Sejak tahun 1990, Allahyarham menjadi penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman Luncai Emas milik M. Nasir dan telah menghasilkan sehingga 500 buah lirik lagu. Di antara lirik lagu beliau yang pernah popular ialah Di Ambang Wati (Wings), Bazooka Penaka (Wings), Kau Bukan Brader, Awang Trasher (Wings), Nur Nilam Sari (Awie & Search), Analog 0.1, (Search), Asli Dan Tulus (Search), Laila Namamu Teratas (Search), Neo Romantik (Search), Zen-Bikin Wilayah (Search), Gemuruh (Search & Wings), Mantera Semerah Padi (M . Nasir), Kita Peng-Yu (XPDC), Tak Nak Jadi Soh Chai, Ratu Sanubari (Saleem), Laukku Cukup Masin (Spider), Kasih Latifah (Spider), Cinta Dewa-Dewi (SPIDER), Aladin (Spider), Kacap Terlabik (Spider) dan banyak lagi. Beliau pernah mendapat Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik 2007 di tanah kelahirannya atas sumbangan beliau yang berjasa dalam industri seni.

Selain hebat menulis seni kata lagu, Loloq juga dilihat hebat dalam bakat lakonannya. Antara filem yang pernah dibintanginya seperti Sara, Embun, Lang Buana, Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa dan pernah membintangi sebuah telemovie "Orang Kasar" turut berlakon bersama Eman Manan serta telefilem Neon. Beliau juga pernah beraksi di pentas teater suatu masa dulu dalam persembahan teater Bukit Kepong arahan Othman Ghani dan drama sitkom Awie Record.

Semasa hayatnya beliau pernah dikurniakan beberapa anugerah seperti penulis lirik terunggul dan menerima royalti tertinggi daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia Berhad (MACP) ke-11 menerusi lagu Dewa Dewi nyanyian kumpulan Spider menjulang namanya sebagai Penulis Lirik Terunggul lima tahun berturut-turut.[perlu rujukan]

Selain itu, Anugerah Lirik Nasyid pada majlis Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini 2006 serta Anugerah Galakkan Penulis Lirik pada Anugerah Citra Wangsa Malaysia 2005. Beliau juga turut terbabit dalam menulis skrip filem Aduh Saliha yang judul asalnya ialah Misteri Mimpi Syakila arahan M Nasir. Bagaimanapun, filem itu tidak dapat disiapkan sehingga sekarang. Lirik lagu terakhir yang dicipta oleh Loloq berjudul "Angkasawan" yang dinyanyikan oleh kumpulan Butterfly.[2]

Allahyarham juga pernah menjadi penterjemah skrip siri animasi Kampung Boy karya Lat.