Am Sang_Saka_Malaya

Sang Saka Malaya (kependekkan dari perkataan: "Sang Pusaka Malaya") adalah bendera Persatuan Kesatuan Melayu Muda (PKMM) bergelar Sang Saka Merah Putih yang dikatakan pernah dibawa oleh para perwakilan PKMM Malaya di Sidang Serantau Asia (Asian Relations Conference) pada penghujung tahun 1947 di New Delhi, India.[9][10] Bagaimanapun, pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) sendiri, Mohd Najwan Halimi mendakwa beliau adalah pereka bendera yang dibawa oleh penyokong Himpunan Janji Demokrasi hanya pada 2007 dan bukannya 1947,[11] rekabentuk bendera merah putih bersama bulan dan bintang 11 bucu. Manakala rekabentuk Sang Saka Malaya yang diumumkan pada 11 November 1947 di Singapura adalah berwarna merah putih dengan 12 simbol bintang berwarna kuning yang melambangkan 12 negeri di bawah Tanah Melayu.[12] Bendera itu kemudiannya dikibarkan buat pertama kali di Bangunan Malayan Democratic Union, Singapura[10]. Menurut blogger Tukar Tiub, Hishamuddin Rais bendera ini kemudiannya dikibarkan semasa Persidangan Afro- Asia 1947 di New Delhi. Jika beliau maksudkan Persidangan Asian–African atau Afro–Asian Conference atau lebih dikenali sebagai Persidangan Bandung ia agak kurang tepat. Ini kerana Persidangan Afro-Asia pertama kali diadakan pada 18 April 1955 di Bandung, Indonesia. Maka yang lebih tepat ialah persidangan Sidang Serantau Asia ataupun Asian Relations Conference pada penghujung tahun 1947 di New Delhi[10].

Menurut buku karangan Kamarudin Jaffar, Dr. Burhanuddin Al Helmy: Politik Melayu dan Islam, Dr Burhanuddin telah mengetuai perwakilan Malaya dalam persidangan ini. Kehadiran Dr. Burhanuddin yang memegang jawatan Penasihat PKMM telah membuka peluang baginya berkenalan dan berbincang tentang gerakan-gerakan menentang penjajahan bersama-sama pemimpin kemerdekaan negara-negara Asia.

Berdasarkan sumber maklumat tersebut, beberapa kesimpulan dapat dibuat iaitu bendera Persatuan Kesatuan Melayu Muda yang digelar Sang Saka Malaya yang pertama direkabentuk pada tahun 1947 tetapi reka bentuknya tidak sama seperti yang dibawa oleh peserta Janji Demokrasi[10]. Bendera persatuan PKMM ini juga dikibarkan di luar negara oleh wakil Malaya iaitu Dr Burhanuddin juga pada 1947.

Bendera warna merah putih yang dinamakan Sang Saka itu adalah bendera yang digunakan oleh kumpulan yang menyokong pembentukan Indonesia Raya dan sentimennya dibawa pertama kali ke Tanah Melayu oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938 pimpinan Ibrahim Yaakob. Menurut Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, Tanah Melayu tidak pernah menggunakan bendera tersebut sebagai bendera rasmi walaupun ketika dijajah.

Kesatuan Melayu Muda telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dengan cara bergabung dengan Republik Indonesia Raya atau Melayu Raya dengan mengenepikan pemerintahan beraja. Bagaimanapun sebahagian besar Orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu tidak bersetuju dengan perjuangan mereka kerana orang Melayu mendukung institusi Raja-Raja Melayu dan Islam, kerana itu sebahagian besar memilih perjuangan Umno yang mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu dan Islam.

Selepas KMM diharamkan, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin Helmi dan Ahmad Boestamam meneruskan perjuangan ideologi tersebut.[13]

Tepat pada 12 tengah malam Tahun Baru 2013, Bendera Rakyat berbintang dua belas dilegarkan dengan segugus belon gas oleh sebuah kumpulan yang bergelar "Aktivis Sang Saka" lalu disangkutkan di bawah landasan Stesen LRT Masjid Jamek di atas persilangan Jalan Raja dan Jalan Tun Perak, berdekatan Dataran Merdeka di ibu kota, kemudian diturunkan oleh polis 30 minit kemudian. Menurut salah seorang aktivis tersebut, Muhammad Nasir Abu Bakar, mereka mengibarkan bendera tersebut bagi menuntut sejarah yang melibatkan perjuang kemerdekaan berhaluan kiri ditulis "dengan telus dan benar".[3]

Rujukan

WikiPedia: Sang_Saka_Malaya http://wargamarhaen.blogspot.com/2012/09/1947-sang... http://www.freemalaysiakini2.com/?p=44745 http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.klpos.com/analisis/14841 http://www.malaysiakini.com/news/207903 http://www.malaysiandigest.com/news/97881-i-design... http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/... http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/... http://www.themalaysianinsider.com/litee/bahasa/ar... http://www.utaranews.com/2012/09/sang-saka-malaya-...