Kerjaya Scha_Al-Yahya

Beliau memulakan kerjaya hiburan profesional pada 2006 selepas memenangi pertandingan pencarian Dewi Remaja anjuran majalah Remaja terbitan Karangkraf.[4] Selepas memenangi Dewi Remaja, Scha ditawarkan melakonkan watak pembantu menerusi drama Impian Illyana dan watak komedi untuk drama bersiri Bella di TV3, dan seterusnya membintangi drama online Gua.com.my, Luna Fantasiku.[5]

Scha mula meraih perhatian ramai menerusi drama bersiri, Awan Dania yang diterbitkan sebanyak 3 musim, di mana beliau berperanan sebagai Dania, seorang gadis tomboi yang berusaha untuk mencapai impiannya bergelar seorang pramugari. Filem pertamanya berjudul Antoo Fighter yang bergenre komedi memperkenalkan beliau di layar perak sebelum membintangi beberapa filem pecah panggung seperti Evolusi KL Drift 2 (2010), Aku Bukan Tomboy (2011) dan Awan Dania The Movie (2013). Sejak itu, Scha popular dengan watak-watak komedi menerusi beberapa drama seperti Prebet Jamilah, Mimi Mencari Cinta dan Jodoh. Beliau pernah dicalonkan untuk anugerah Artis Komedi Wanita Terbaik dan Artis Komedi Wanita Paling Popular di Anugerah Lawak Warna 2013.[6] Selain itu, beliau juga muncul bersama pelakon Indonesia, Fauzi Baadila dalam muzik video lagu "Mencari Konklusi" oleh kumpulan Hujan.

Pun begitu, beliau pernah mencuba beberapa watak serius, antaranya watak mangsa pelacuran di zaman pendudukan Jepun dalam drama Geisha Melayu Terakhir serta lakonan memberangsangkan sebagai gadis lesbian dalam filem Histeria yang melayakkan Scha dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 pada tahun 2009. Tetapi popularitinya lebih diraih menerusi lakonan komedi selain mula menceburi bidang pengacaraan, antaranya bergelar pengacara Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu selama dua musim. Di luar bidang lakonan, beliau menguruskan butik miliknya, Schapoholic[7] yang diperoleh dari perkataan bahasa Inggeris, "Shopaholic".[8]

Beliau kembali ke televisyen pada 2016 menerusi peranan Alana Sofea dalam drama bersiri Isteri vs Tunang lakonan bersama Hisyam Hamid,[9] dan setahun kemudian, beliau muncul dengan peranan utama sebagai Syazlin dalam drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen lakonan bersama Aiman Hakim Ridza.[10][11] Scha telah dilantik oleh gergasi telekomunikasi Malaysia, Maxis sebagai duta telefon pintar NeXT pada 3 November 2017.[12]

Pada 16 April 2018, Scha bersama beberapa selebriti tempatan lain termasuk Hans Isaac, Awal Ashaari, Neelofa, Maya Karin, Joe Flizzow, Nora Danish, dan Kavita Sidhu turut serta untuk kempen menentang buli siber dan penyebaran berita palsu di media sosial.[13][14][15][16]

Pada Hari Raya Aidilfitri 2018, Scha berlakon di samping pelakon muda Lia Natalia menjayakan peranan utama dalam telefilem Baju Raya Eksklusif arahan Shuhaimi Lua Abdullah. Telefilem ini memulakan tayangan perdana di TV3 pada Raya ketiga. Ia mengisahkan tentang dua sepupu, Nurin dan Hazwani yang merancang untuk menjual baju raya eksklusif bagi Aidilfitri akan datang.[17] Scha kembali aktif di layar lebar selepas lima tahun menyepi tanpa sebarang filem terbaharu, beliau tampil bersama Erra Fazira, Sherry Alhadad dan Azhan Rani dalam filem Bikin Filem; Scha memegang watak sebagai Zarina, seorang pelakon yang bercita-cita tinggi yang diperkosa oleh bapanya sendiri.[18][19]

Scha menjalinkan kerjasama dengan pereka kasut Christy Ng bagi mempromosikan koleksi kasut dan beg tangan terhad untuk sambutan Hari Raya 2019 bagi tempoh tiga bulan.[20][21][22]

Rujukan

WikiPedia: Scha_Al-Yahya http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Showbiz/St... http://www.budiey.com/drama-lemas-dalam-cinta-lako... http://www.budiey.com/filem-aku-bukan-tomboy-selon... http://www.budiey.com/sekitar-pelancaran-drama-onl... http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2... http://www.imdb.com/name/nm4362081/ http://www.karangkraf.com/cmlink/media-hiburan/tre... http://peraktoday.com/wp/?p=28899 http://www.perekacerita.com/2013/08/sweet-lola-tv9... http://m.themalaymailonline.com/showbiz/article/al...