Sejarah Stesen_Keretapi_Kuala_Lumpur

Stesen sebelumnya

Sebelum pembinaan stesen ini, dua buah stesen kereta api telah beroperasi di bandar raya ini.

Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang pertama, digelar sebagai Stesen Residen (Bahasa Inggeris: Resident Station) kerana berdekatan dengan kediaman Residen British, dibina di seberang Kelab Selangor ke arah barat. Dibina dengan kayu berserta dengan bumbung nipah, stesen ini merupakan yang pertama di Kuala Lumpur, menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang (Pengkalan Batu) dengan landasan kereta api yang pertama untuk menghubungkan bandar ini dengan kawasan-kawasan lain di Semenanjung Melayu (dirasmikan pada 22 September 1886).

Stesen kedua, Stesen Jalan Sultan (Bahasa Inggeris: Sultan Street Station), dibina pada tahun 1892 di Foch Avenue (kini Jalan Tun Tan Cheng Lock), berhampiran dengan tapak Menara Maybank dan Hentian Puduraya pada masa kini. Rekaannya adalah berdasarkan Stesen Residen, dan terletak pada laluan kereta api Pudu, sebatang landasan baru yang dicawang dari stesen 1910 itu, dan menghubungkan lombong-lombong di Ampang ke bandar raya ini. Laluan ini unik kerana bahagian awal landasan mengampiri stesen terletak di antara dua jalan Foch Avenue, memotong di sebelah kanan bandar ini.

Stesen Residen dirobohkan selepas pembinaan stesen Kuala Lumpur yang baru siap. Stesen Jalan Sultan pula digantikan oleh suatu stesen yang lebih kecil apabila landasan di Foch Avenue dibuka untuk laluan lalu lintas, dan dirobohkan selepas 1960. Sebahagian laluannya di Ampang digunakan semula oleh aliran LRT Ampang.

Reka bentuk, pembinaan dan operasi

Reka bentuk depan stesen ini boleh dibandingkan dengan gaya seni bina bangunan tempatan lain, seperti Masjid Jamek.

Arthur Benison Hubback, seorang pembantu arkitek British kepada Pengarah Jabatan Awam, bertanggungjawab mereka bentuk stesen ini. Pernah berkhidmat di India, dia menggunakan pengetahuannya mengenai seni bina Inggeris-Asia di kawasan itu dalam reka bentuk stesen ini. Gaya "Neo-Moor/Mughal/Indo-Saracen/Neo-Saracen" bukanlah merupakan gaya yang tidak biasa ketika itu. Struktur serupa, seperti Bangunan Sultan Abdul Samad (reka bentuk oleh A.C. Norman, siap 1895), Dewan Bandaraya Lama (reka bentuk oleh A.B. Hubback, siap 1904) dan Masjid Jamek (reka bentuk oleh A.B. Hubback, siap 1909), semuanya dibina sebelum stesen ini.

Dengan kos RM23,000, stesen ini siap dibina dan mula beroperasi pada 1 Ogos 1910. Selepas perobohan Stesen Residen dan pengasingan Stesen Jalan Sultan, Stesen Keretapi Kuala Lumpur menjadi stesen kereta api utama di Kuala Lumpur. Sebuah hotel, Hotel Stesen (kini Hotel Stesen Warisan), mengambil sebahagian ruang stesen. Pada 1995, perkhidmatan KTM Komuter diperkenalkan di stesen ini.

Selepas pelencongan perkhidmatan jarak jauh antara bandar pada 15 April 2001 ke Sentral Kuala Lumpur, kurang satu kilometer ke selatan, kepentingan stesen ini berkurang dan kemudahan stesen yang tidak lagi diperlukan dibuang. Sedang pelantar sisi stesen ditinggikan ke aras yang sesuai untuk kereta api KTM Komuter, tatarajah pelantar dan capaian ke perkhidmatan bermakna stesen asal ini tidak dapat dimaksimumkan penggunaanya sebagai perhentian pengangkutan untuk penumpang KTM Komuter (lihat pelantar). Keseluruhan stesen masih lagi dikhidmati oleh kedua-dua KTM Komuter dan perkhidmatan barangan.

Sebelum 31 Ogos 2007, iaitu ulang tahun ke-50 kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, banyak sumber melaporkan pemindahan pelbagai peralatan kereta api lama dari sebuah gudang kereta api di Klang dan beberapa tempat lain lagi ke stesen lama Kuala Lumpur.[perlu rujukan] Ini termasuklah sebuah pelangsir kecil dan kereta bomba antik. Stesen ini secara rasminya dibuka semula pada 31 Ogos 2007 sebagai sebuah muzium kereta api (pameran diletakkan di dewan utama dan pelantar stesen), dan ketika ini dicadangkan sebagai pusat budaya.[perlu rujukan]

Pengubahsuaian dan penaiktarafan

Bahagian dalam dewan utama stesen (gambar pada Mac 2007) mengalami pengubahsuaian besar pada 1986, dengan sebahagian reka bentuk asal diubah dan dimodenkan. Kini kawasan inu digunakan untuk meletak pameran selepas stesen ini dijadikan sebagai muzium kereta api

Stesen ini telah mengalami beberapa perubahan besar dalam sejarahnya. Sayap utara telah dijadikan kawasan pejabat pada 1967, menutup capaian ke beranda lengkung dengan tingkap. Pada 1986, stesen ini diubahsuai dengan lebih menyeluruh, dengan bahagian dalam dan tingkap yang berkenaan digantikan dengan yang lebih moden manakala bahagian luar diperbaiki dan dipelihara, bangunan dan kemudahan baru ditambah, termasuk dewan menunggu berhawa dingin, kaunter maklumat pelancongan dan kedai snek. Sebahagian reka bentuk dan rangka asal dalaman stesen ini masih lagi wujud di Hotel Stesen Warisan.

Pemodenan ini juga melibatkan binaan tambahan di sayap selatan bangunan ini, memaparkan gaya "Raj" yang mendominasi sebahagian besar bangunan itu, dan tambahan muka hadapan untuk sayap utara dengan unsur seni bina yang sama, melindungi bayangan reka bentuk Barat dari hadapan. Perubahan ini menyebabkan bangunan tersebut memiliki dua chhatri tambahan, dua di setiap penjuru sayap, bersama-sama dengan empat yang asal.

Pengubahsuaian lain termasuklah dinding belakang stesen yang ditebuk dan dipanjangkan untuk memuatkan pintu masuk baru, hentian teksi, pejabat dan kedai, manakala ruang tambahan dua tingkat turut dibina di atas jalan masuk ke stesen bagi menempatkan lebih banyak kedai.

Pembentukan semula pada 1986 ini turut menyaksikan pemanjangan pelantar ke utara dan bangunan stesen baru di situ, yang bersambung dengan Pejabat Pos Besar di kompleks Dayabumi yang baru siap ketika itu (siap pada 1984).

Apabila perkhidmatan KTM Komuter dilancarkan pada 1995 dengan Laluan Rawang-Seremban dan Laluan Sentul-Pelabuhan Klang, kaunter tiket dan lawang tambang ditambah ke stesen tersebut, selaras dengan stesen KTM Komuter lain. Lokasi kemudahan komuter ini bermakna cuma pelantar pulau yang baru dapat digunakan oleh kereta api KTM Komuter (lihat pelantar).

Selepas Sentral Kuala Lumpur mengambil alih operasi kereta api antara bandar, bahagian stesen yang digunakan untuk perkhidmatan tersebut ditanggalkan atau dihapuskan.