Kontroversi Sukan_Olimpik_Musim_Panas_2008

China menerima kritikan dari warga seluruh dunia terutamanya pertubuhan hak asasi manusia atas isu-isu seperti kemerdekaan Tibet[54][55][56] dan pencabulan hak asasi manusia. Terdapat juga pihak yang membidas China atas sokongan kerajaan China kepada kerajaan Sudan yang gagal menyelesaikan konflik Darfur. Aktivis kebebasan bersuara juga memujuk kerajaan China supaya melonggarkan penyekatan mereka terhadap media massa.[57] Isu-isu ini menimbulkan cadangan sesetengah pihak memulaukan temasya Sukan Olimpik 2008 sebagai bantahan terhadap sikap China. Namun, kemungkinan besar perkara ini tidak akan berlaku.

Bantahan dan kemungkinan boikot

Boikot dan bantahan pernah dijalankan pada Sukan Olimpik sebelumnya oleh kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan, aktivis, dan kumpulan politik yang berasa tidak puas hati dengan negara tuan rumah atau negara peserta lain. Adakalanya, kegiatan mereka ini disokong oleh negara ahli, seperti pada Sukan Olimpik 1976, 1980 dan 1984.

Sungguhpun tiada satu negara yang meluahkan kesanggupan memulaukan sukan 2008, namun sesetengah pihak melancarkan kempen yang bebas untuk menggesa pemulauan atau meluahkan bantahan. Ada laporan menyatakan bahawa pihak perisikan China sedang mengawasi kegiatan orang asing yang disyaki merancang demonstrasi ketika Sukan Olimpik. Selain mengawasi NGO yang bimbang akan isu dalam negeri China, perisikan China turut berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan kegiatan berkaitan keganasan dan demonstrasi anti-Amerika.[58]

Pihak-pihak penyokong kemerdekaan Tibet, seperti Students for a Free Tibet, telah melancarkan kempen membantah Sukan Olimpik Beijing 2008.[54][55][59]

Pertubuhan kebebasan akhbar Wartawan Tanpa Sempadan telah menyokong boikot sebagai luahan kebimbangan terhadap pencabulan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia di China. Pertubuhan ini berharap agar tekanan dan petisyen antarabangsa dapat mendorong pembebasan banduan suara hati, serta memastikan China menunaikan janjinya kepada IOC mengenai peningkatan kebebasan hak asasi manusia.[60] Wartawan pertubuhan berkenaan mengganggu ucapan jawatankuasa penganjuran China ketika upacara penyalaan obor Olimpik di Greece pada 4 Mac 2008.[61]

Pada bulan Mac 2008, beberapa ahli politik berpangkat tinggi telah mengumumkan hasrat mereka untuk tidak hadir di upacara pembukaan Olimpik. Canselor Jerman, Angela Merkel, adalah pemimpin dunia pertama yang memutuskan untuk tidak hadir di Olimpik Beijing. Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, dan presiden Republik Czech, Václav Klaus, turut membuat keputusan seumpamanya.[62] Bagaimanapun, keputusan Merkel ini tiada kaitan rasmi dengan tindakan China menangani Tibet.[63]

Isu alam sekitar

Kualiti udara di Beijing boleh menjadi risiko utama kepada kesihatan atlet dan menjejaskan prestasi atlet.[64]

Beijing merupakan antara bandar raya besar yang terkotor di dunia dari segi kualiti udara.[65] Pencemaran udara berada di tahap 2 hingga 3 kali lebih teruk daripada tahap yang dikira selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Kualiti udara Beijing yang rendah mungkin menurunkan prestasi para atlet, terutamanya yang mengambil bahagian dalam acara luar (outdoor). Beijing telah melancarkan rancangan tindakan untuk mengurangkan pencemaran udara, termasuk mengeluarkan 60,000 teksi dan bas, serta menempatkan semula kilang-kilang industri ke luar Beijing.

Diskriminasi orang tempatan

Penduduk tempatan dilarang menggunakan tandas gelanggang atau tandas stadium Olimpik. Hal ini kerana kerajaan China/penganjur bimbang bahawa isu amalan kebersihan orang tempatan akan memalukan pihak penganjur dan menurunkan imej Olimpik Beijing 2008.[66] Penduduk tempatan yang didapati menggunakan tandas di stadium Beijing akan didenda 100 hingga 500 yuan.[66]

Rujukan

WikiPedia: Sukan_Olimpik_Musim_Panas_2008 http://www.2008eshop.cn/ http://en.beijing2008.cn/1year/talks/s214124614/n2... http://en.beijing2008.cn/39/61/article214036139.sh... http://en.beijing2008.cn/74/86/article214018674.sh... http://en.beijing2008.cn/75/66/article211996675.sh... http://en.beijing2008.cn/culture/songs/n214147033.... http://en.beijing2008.cn/culture/songs/n214199507.... http://en.beijing2008.cn/culture/songs/n214206508.... http://en.beijing2008.cn/culture/songs/n214207960.... http://en.beijing2008.cn/culture/songs/n214214660....