Kontroversi Sultan_Iskandar_ibni_Almarhum_Sultan_Ismail

Pewarisan takhta

Sebelum menjadi Sultan atau Yang di-Pertuan Agong, apatah lagi pada 1980-an dan awal 1990-an, nama baik Tunku Mahmud pernah dinodai oleh beberapa peristiwa kontroversi yang mendapat perhatian media. Antara insiden terawalnya ialah kehilangan pangkatnya sebagai Tunku Mahkota pada tahun 1961 atas sebab perilaku[8] setelah laporan sulit yang mendakwanya mengurung seorang polis diutuskan kepada ayahandanya selaku sultan.[55] Pangkat Tunku Mahkota diambil alih oleh adindanya, Tunku Abdul Rahman. Apapun, pada tahun 1966, Tunku Iskandar menerima pangkat Raja Muda, iaitu pewaris kedua takhta.[56] Pada bulan April 1981, Tunku Mahmud ditabal semula sebagai Tunku Mahkota tidak lama sebelum kemangkatan ayahandanya sebulan berikutnya, selepas itu ditabalkan sebagai Sultan Johor,[57] atas titah ayahandanya.[26]

Walau apapun, sesetengah pihak mempertikai kesahihan pertabalan semula Tunku Mahmud sebagai Tunku Mahkota, dengan berhujah bahawa mereka menyaksikan Sultan Ismail sudah berada dalam keadaan koma ketika Tunku Mahmud menjadi Tunku Mahkota.[55] Namun, catatan rasmi membuktikan bahawa Sultan Ismail menjadi koma pada 8 Mei, tiga hari sebelum mangkat.[58] Hubungan istana dengan Menteri Besar Johor, Othman Saat menjadi keruh apabila beliau mempersoalkan kewajaran Tunku Iskandar mewarisi takhta, sehingga mencetuskan Sultan baru itu untuk menitah perintah agar Menteri Besar meletak jawatan dalam masa 24 jam, sebaik sahaja mangkatnya Sultan Ismail, dengan tujuan mengambil alih jawatan tersebut untuk kegunaan dirinya. Sesungguhnya Menteri Besar patuh kepada titah tersebut, namun Sultan tidak mengambil jawatannya.[59] Othman Saat kemudian meletak jawatan sebagai menteri besar pada tahun berikutnya.[8]

Tuduhan salah laku jenayah

Pada tahun 1972, Tunku Mahmud didakwa menyerang dua orang lelaki dengan cokmar kerana memotong keretanya lalu disabitkan kesalahan pada tahun berikutnya.[60] Setahun kemudian, timbulnya laporan yang menyatakan Tunku Iskandar dan seorang pengawal peribadi menyerang sepasangan muda dengan bahan kimia dan cokmar setelah disinggung perasaan. Pada masa yang sama didakwa juga bahawa Tunku Mahmud merantai dua orang anggota polis dalam rumah anjing selama sehari kerana murka terhadap mereka.[61]

Lima tahun kemudian, Tunku Mahmud didakwa dan didapati bersalah atas sebab kematian seseorang[62] setelah menembak sampai mati seorang lelaki yang berhampiran helikopter peribadinya yang disangkanya seorang penyeludup. Walau apapun, ayahandanya Sultan Ismail campur tangan lalu memberikan pengampunan rasmi kepada Tunku Iskandar.[63][64][65] Begitu juga, putera sulungnya, Tunku Ibrahim Ismail, disabitkan kesalahan menembak sampai mati seorang lelaki setelah bergaduh dalam kelab malam pada 1980-an, tetapi diampunkan serta-merta juga.[66]

Pada tahun 1987, Sultan Iskandar dituduh menyerang sampai mati seorang kedi golf di Cameron Highlands, berikutan insiden yang mana kedi itu tertawa apabila baginda tersasar satu lubang. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman mengulas bahawa Sultan (yang ketika ini menduduki takhta YDPA) tidak dapat dibuat tuduhan atas sebab kekebalan yang dikurniakan kepada raja-raja, namun pada masa yang sama beliau mengecam tindakan Sultan Iskandar itu. Kesudahannya, kejadian tersebut dibiarkan tanpa meraih perhatian awam. Adik kepada kedi yang turut diserang hingga cedera, menjadi murung akibat apa yang disaksikannya, lantas dia bertindak mengamuk di Kuala Lumpur sehingga terpaksa dikuarantinkan dalam rumah sakit jiwa.[67][68]

Peristiwa Gomez

Serangan

Pada akhir tahun 1992, dua kes serangan berasingan oleh Sultan dan puteranya Tunku Abdul Majid Idris terhadap jurulatih hoki, memuncak dengan pelucutan kekebalan raja-raja dari pendakwaan. Kedua-dua kes ini banyak disiarkan di muka depan akhbar tempatan dan antarabangsa lalu diberi jolokan "Peristiwa Gomez".[69][70] Pada 10 Julai 1992, putera kedua Sultan Iskandar, Tunku Bendahara Tunku Abdul Majid Idris, murka ketika berakhirnya perlawanan hoki antara Johor dan Perak yang memihak kepada Perak dengan pukulan penalti, lalu menyerang penjaga gol Perak, Mohamed Jaafar Mohamed Vello.[71] Mohamed Jaafar kemudiannya membuat laporan polis pada 30 Julai. Kejadian ini menarik perhatian ramai, lebih-lebih lagi dibahaskan dalam parlimen.[72] Kejadian ini menyebabkan Persekutuan Hoki Malaysia mengenakan larangan daripada menghadiri mana-mana perlawanan kepada Tunku Majid selama lima tahun selepas siasatan.[73] Tunku Majid kemudiannya disabitkan kesalahan menyerang pada Januari 1993, oleh itu dipenjarakan setahun dan didenda RM 2,000, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin, dan tuduhan-tuduhannya digugurkan atas sebab kekebalan yang masih sah diperlakukan sewaktu kejadian tersebut.[74]

Sultan Iskandar membalas larangan tersebut dengan menggesa pihak berkuasa negeri agar memencilkan pasukan hoki Johor dari semua perlawanan kebangsaan.[72] Pada November 1992, Douglas Gomez, seorang jurulatih pasukan hoki Maktab Sultan Abu Bakar, meluahkan kekesalan kerana dipanggil untuk menarik diri daripada perlawanan separuh akhir oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Johor. Sultan Iskandar tertarik lalu menitah Gomez untuk menghadap baginda di Istana Bukit Serene, tetapi kemudian menyelar dan menyerangnya.[75] Selepas itu, Gomez merawat muka dan perutnya, kemudian membuat laporan polis untuk mendakwa Sultan kerana menyerangnya. Gomez menjelaskan bahawa para pengawal peribadi Sultan, selaku anggota Angkatan Tentera Johor, sekadar memerhati, sebaliknya Sultan sendiri yang bertanggungjawab sepenuhnya atas kecederaan yang dialaminya.[76]

Pandangan awam dan tindakan susulan

Kejadian serangan ini mencetuskan kemarahan rakyat[77] sehingga semua peringkat kerajaan sehingga pangkat tertinggi kerajaan persekutuan digesa agar menyiasatnya.[78] Pada akhir tahun 1992, dan juga awal tahun 1993, tersiarnya berpuluh-puluh artikel berita yang menyebut dakwaan salah laku kerabat diraja beberapa negeri, khususnya Sultan Iskandar sendiri.[79] Kebanyakan dakwaan salah laku tersebut termasuk pengenaan denda yang jauh melebihi ketentuan undang-undang, terhadap sesiapa yang menghalang kereta Sultan, antara lainnya.[80] Apapun, Sultan Iskandar memikul segala padah yang timbul akibat semua dakwaan salah laku jenayah tersebut walaupun kebanyakannya dilakukan oleh ahli-ahli kerabat diraja yang lain.[81]

Hiruk-pikuk kecaman yang disiarkan oleh pihak akhbar menggesa para ahli Dewan Rakyat agar mengadakan sidang khas pada 10 Disember 1992. Kesemua 96 ahli parlimen yang hadir pada hari itu sebulat suara meluluskan ketetapan[82] yang menyeru agar tindakan diambil untuk menyekat kuasa raja-raja sekiranya perlu. Ketika persidangan ini, para ahli mendedahkan rekod jenayah lepas mengenai Sultan Iskandar dan dua puteranya yang terlibat dalam sekurang-kurangnya 23 kes serangan dan kematian orang,[83][84] lima daripadanya dilakukan oleh Sultan selepas tahun 1981, dua kes oleh Tunku Mahkota dan tiga kes oleh Tunku Bendahara.[85]

Rang undang-undang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 19 dan 20 Januari 1993.[86] Rang undang-undang yang berusul melucutkan kekebalan ini diluluskan oleh enam daripada sembilan raja[87], namun menghadapi tentangan hebat daripada tiga raja yang lain, termasuk Sultan Iskandar sendiri. Sultan Iskandar mengambil inisiatif untuk meraih sokongan diraja untuk menghalang pelaksanaan usul tersebut. Rang undang-undang yang berusul melucutkan segala kekebalan dari para raja dan ahli kerabat diraja, menjadikan mereka boleh didakwa mengikut undang-undang bila-bila masa timbulnya salah laku jenayah yang terbukti.[88]

Sultan Iskandar hendak menganjurkan perarakan di luar istana dengan tujuan meraih sokongan awam untuk menghalang pelaksanaan rang undang-undang tersebut, tetapi terpaksa membatalkannya setelah menerima tekanan hebat dari kerajaan. Laporan yang dibuat ketika perarakan tersebut menyebut tentang Sultan Iskandar menyeru semua pegawai awam negeri untuk memulaukan majlis-majlis anjuran negeri dan persekutuan sebagai tanda sokongan terhadap tindakan baginda.[89] Sementara itu, kerajaan persekutuan masih menekan raja-raja agar memperkenan rang undang-undang itu sampai dapat setelah dilakukan beberapa semakan. Selepas itu, rang undang-undang tersebut ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan pada Mac 1993.[90]

Rang undang-undang ini membolehkan raja-raja yang menyalahi undang-undang dikenakan dakwaan, manakala Akta Hasutan 1948 turut dipinda untuk membolehkan orang awam mengkritik raja-raja.[91] Mahkamah khusus ditubuhkan dengan Ketua Hakim Negara sebagai pengerusi untuk memberi kuasa mendakwa ahli-ahli kerabat diraja.[92]

Penyelesaian kes

Sultan Iskandar dan ahli kerabat baginda tidak didakwa bagi pelanggaran lalu mereka terhadap undang-undang atas alasan bahawa kekebalan diraja masih berlaku ketika kejadian berlaku.[93] Walau bagaimanapun, tidak lama selepas kejadian itu, Sultan Iskandar telah digesa untuk mengambil langkah-langkah untuk memulihkan imejnya di mata masyarakat awam, yang lebih atau kurang tercemar oleh kejadian itu. Dalam ucapan awam sejurus selepas kejadia itu, Sultan muncul dengan gaya agak lebih merendah diri, merayu kepada rakyat Johor untuk mengekalkan kesetiaan mereka kepadanya.[74]

Peristiwa Gomez juga membawa kepada kajian dan cadangan oleh Kerajaan Persekutuan pada Ogos 1993 untuk membubarkan Askar Timbalan Setia,[94] meskipun kemudian ditolak.[95][96]

Gaya hidup

Ketika menyandang jawatan YDPA, Sultan Iskandar sering dilihat membawa pistol pada ikatan pinggang di khalayak awam, sehingga merunsingkan orang ramai kerana rekod jenayah lalunya.[97] Baginda juga digeruni kerana kehidupannya yang ranggi sehingga menarik rasa sinis seumpamanya.[97] Baginda juga dikenali sebagai penggemar motosikal; siri dokumentari patriotisme kebangsaan yang memaparkan Sultan Iskandar selaku YDPA menunggang motosikal polis dan penampilan ranggi ketika menghadiri beberapa upacara awam, menerima kecaman dari orang awam yang merasa adegan-adegan Sultan Iskandar ini tidak sesuai dengan tema dan imej negara.[98]

Rujukan

WikiPedia: Sultan_Iskandar_ibni_Almarhum_Sultan_Ismail http://www.capi.uvic.ca/pubs/oc_papers/GILLEN.pdf http://www.asiaone.com/Health/News/Story/A1Story20... http://www.bernama.com/bernama/state_news/news.php... http://www.bernama.com/bernama/v3/news_lite.php?id... http://www.bernama.com/bernama/v5/news_lite.php?id... http://www.bernama.com/bernama/v5/news_lite.php?id... http://www.everysingleplace.com/features/7576154-t... http://www.iht.com/articles/1992/12/15/mayl.php http://query.nytimes.com/gst/fullpage.html?res=9A0... http://d.scribd.com/docs/1qk1gf12zfh2pc7brw49.pdf