Sejarah Tanah_Tinggi_Cameron

Pemandangan di ladang teh di Cameron Highlands

Nama Cameron Highlands diambil bersempena dengan nama Sir William Cameron, seorang juruukur British yang telah diarahkan oleh kerajaan British yang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu untuk melakukan pemetaan persempadanan Pahang-Perak pada tahun 1885.[7] Cameron memulakan ekspedisi beliau berdekatan Estet Waterloo yang terletak di Kuala Kangsar, Perak dan melalui Gunung Chabang yang terletak di Batu Gajah, Perak[8]. Beliau kemudiannya meneruskan pemetaan melalui Pahang dan berakhir di kawasan Ulu Bertam atau Selangor. Dalam ekspedisi tersebut, Cameron membina beberapa jalan belukar baru merentasi Lembah Telom dan menjumpai satu dataran yang luas.[8] Cameron menyatakan bahawa beliau melihat "suatu dataran yang luas di kawasan tinggi serta bercerun-cerun seperti pusaran."[7] Walau bagaimanapun, Cameron gagal menentukan lokasi kawasan tersebut di atas peta.[9]

Beliau kemudian berjumpa dengan Sir Hugh Low, pegawai tinggi British di Perak pada ketika itu dan Sir Hugh Low menyatakan minatnya untuk membangunkan kawasan itu sebagai kawasan peranginan serta ladang terbuka. Jalan hutan untuk ke "tanah Cameron" telah dibina yang melalui kawasan hutan belantara. Namun begitu, tiada perubahan direkodkan selepas itu.[10]

Pekan Brinchang (tahun 2012).

Selepas 40 tahun, kawasan tanah Cameron dikaji sekali lagi oleh Sir George Maxwell apabila beliau mengadakan siri lawatan ke tanah Cameron dan bertanya kepada orang tempatan untuk melihat jika kawasan ini boleh dibangunkan bagi tujuan perlancongan.[11] Beliau menghabiskan lebih kurang 9 hari melakukan kaji selidik terhadap kawasan ini.[12] Selepas beliau pulang, Maxwell menyatakan kawasan tanah Cameron ini memiliki bentuk seperti bujur[12]. Maxwell bersetuju bahawa kawasan tanah Cameron ini perlu dibangunkan setelah beliau melakukan perbandingan kawasan ini dengan beberapa kawasan tanah tinggi lain seperti Nuwara Eliya di Sri Lanka dan Baguio di Filipina[11]

Pada tahun 1926, jawatankuasa pembangunan telah dibentuk bagi menetapkan zon-zon di kawasan tanah Cameron ini dan dibahagikan kepada tiga zon; zon pentadbiran, perumahan dan zon pelancongan. Selepas itu, jalan raya telah dibina bermula dari Tapah, Perak sehingga ke tanah tinggi yang dianggarkan menelan kos sebanyak 3 juta dolar Amerika.[13] Jalan raya ini dibina sehingga ke Tanah Rata. Messrs. Fogden, Brisbane and Company merupakan kontraktor yang bertanggungjawab membangunkan jalan raya ini dengan kontrak yang diberikan selama tiga tahun.[13] Projek pembinaan jalan raya ini bermula pada 1 Januari 1928 dan siap sepenuhnya pada 14 November 1930 - 47 hari lebih awal dari tarikh jangka siap.[13]

Sejak tahun 1930, terdapat beberapa perubahan dan pembangunan drastik dijalankan di kawasan ini seperti beberapa perumahan telah didirikan, terdapat juga pos kawalan polis dan tentera serta beberapa pusat perkhidmatan seperti sekolah, tadika dan juga sebuah Stesen Eksperimen Agrikultur serta terdapat padang golf.[14] Pentadbiran bagi kawasan Cameron Highland pada ketika itu diletakkan di bawah Kuala Lipis.[15]

Rujukan

WikiPedia: Tanah_Tinggi_Cameron http://www.accuweather.com/en/my/cameron-highlands... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/struktur... http://youth.bernama.com/v2/news.php?id=1349885 http://travel.cnn.com/malaysia-travel-cameron-high... http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article... //lccn.loc.gov/2009944204 http://worldweather.wmo.int/020/c00076.htm http://www.sinarharian.com.my/semasa/usaha-pastika... http://www.utusan.com.my/rencana/william-cameron-p... http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/alam-seki...