Sejarah Tanzania

Rencana utama: Sejarah Tanzania

Sejarah awal

Kira-kira 2,000 hingga 3,000 tahun dahulu, golongan Bantu mula berpindah dari Afrika Barat ke kawasan Tanzania. Masyarakat pada zaman ini memiliki kemahiran dalam bidang pertanian dan pertukangan besi. Golongan Pare ialah salah satu pengeluar besi utama bagi masyarakat yang tinggal di kawasan pergunungan timur laut Tanzania.[2] Golongan Haya yang tinggal di kawasan barat Tasik Victoria pula berupaya mencipta sejenis relau bagas haba tinggi pada 1,500 tahun dahulu yang membolehkan penempaan keluli karbon.[3]

Para pedagang dan perantau dari kawasan Teluk Parsi dan India telah melawat pesisir Afrika Timur sejak alaf pertama Masihi.[4] Agama Islam mula dianuti oleh masyarakat di Pesisir Swahili sejak abad kelapan atau kesembilan Masihi.[5] Budaya Swahili mula berkembang mulai abad ke-10 dengan kawasan-kawasan utama termasuk Kilwa Kisiwani dan Zanzibar.[6]

Zaman Oman dan penjajahan Barat

Pada 1505, pihak Portugis telah menawan pulau Zanzibar. Penaklukan ini berterusan hingga awal abad ke-18. Pada akhir zaman Portugis, penduduk tempatan yang dibantu oleh golongan Arab Oman mengusir pihak Portugis. Sultan Oman, Sultan Seyyid Said memindahkan ibu kotanya ke Zanzibar pada 1840.

Ketika Zanzibar menjadi ibu kota Oman, Zanzibar menjadi pusat perdagangan hamba Arab.[7] Kira-kira 65 hingga 90 peratus daripada penduduk Arab-Swahili di Zanzibar dijadikan sebagai hamba.[8] Perhambaan hanya dihapuskan pada 1890-an.[9] Setelah kemangkatan Seyyid Said pada 1856, pertikaian pewarisan takhta antara dua anakandanya menyebabkan pemerintahan Zanzibar dan Oman terpisah, lalu tertubuhnya Kesultanan Zanzibar.

Pada akhir abad ke-19, pihak Jerman telah menakluki kawasan Tanzania (kecuali Zanzibar) dan dimasukkan ke dalam Afrika Timur Jerman. Sultan Zanzibar menentang penaklukan ini dan mendakwa baginda mentadbir kawasan tanah besar Tanzania serta Zanzibar, tetapi lama-kelamaan terpaksa menerima penaklukan itu.[10] Pada 27 Ogos 1896, Kesultanan Zanzibar berperang dengan pihak British dalam Perang Inggeris-Zanzibar yang menyaksikan peperangan selama hanya lebih kurang 40 minit, menjadikan perang ini sebagai perang paling singkat dalam sejarah yang direkodkan.[11]

Pada 7 Mei 1919, keseluruhan Jerman Afrika Timur diserahkan kepada pihak British, tetapi mendapat tentangan hebat daripada Belgium.[12]:246 Melalui Perjanjian Versailles pada 28 Julai 1919, kawasan Tanganyika diserahkan kepada British secara rasmi, meskipun perjanjian tidak dilaksanakan hingga 10 Januari 1920.

Kemerdekaan dan pembentukan Tanzania

Pada 1929, Persatuan Afrika ditubuhkan sebagai persatuan bagi pegawai kerajaan Dar es Salaam dan Zanzibar. Pada 1948, persatuan ini bertukar menjadi Persatuan Afrika Tanganyika dan tidak lagi berperanan di Zanzibar. Persatuan ini bertukar lagi menjadi Kesatuan Kebangsaan Afrika Tanganyika (TANU) oleh Julius Nyerere pada 1954 dan menjadi pusat bagi nasionalisme Tanganyika.[13] Tanganyika mencapai kemerdekaan pada 9 Disember 1961, dan Julius Nyerere menjadi Perdana Menteri Tanzania, tetapi menetapkan Ratu Tanganyika (Elizabeth II) sebagai ketua negara pada awalnya.

Pada 12 Januari 1964, berlakunya Revolusi Zanzibar yang menyaksikan kejatuhan Kesultanan Zanzibar yang dikuasai golongan Arab oleh golongan pemberontak tempatan. Kesannya, Republik Rakyat Zanzibar telah ditubuhkan. Republik ini bergabung dengan Tanganyika pada 26 April 1964 lalu membentuk Tanzania.[14]

Tanzania moden

Selepas pembentukan Tanzania, Presiden Julius Nyerere melaksanakan regresi etnik dan pembinaan identiti kebangsaan Tanzania dan disifatkan sebagai salah satu regresi-regresi yang paling berjaya di Afrika.[15] Meskipun Tanzania wujud sebagai salah satu negara dengan kepelbagaian yang amat ketara di Afrika, perpisahan etnik jarang berlaku di Tanzania berbanding negara-negara jiran. Melalui regresi Nyerere, Tanzania juga memiliki kestabilan politik yang lebih baik daripada kebanyakan negara Afrika.[16]

Selepas Deklarasi Arusha pada 1967, politik kerajaan Nyerere beralih ke arah kiri, dengan kemunculan pengaruh sosialisme dan pan-Afrikanisme dalam kerajaan. Oleh hal yang demikian, bank serta industri-industri besar diletakkan di bawah kerajaan. Namun begitu, peralihan ini mengembangkan korupsi di Tanzania.[17]

Pada 1977, Nyerere menggabungkan parti politiknya, TANU dengan parti pemerintah Zanzibar, Parti Afro-Shirazi lalu tertubuhnya Chama Cha Mapinduzi, CCM dalam suatu usaha untuk membina sistem parti politik tunggal di Tanzania. Tindakan ini diperkukuh melalui pindaan perlembagaan negara pada awal 1980-an. Nyerere menganggap bahawa sistem pelbagai parti politik adalah berbahaya terhadap perpaduan masyarakat Tanzania.[18] Selain itu, beliau menetapkan bahasa Swahili sebagai bahasa kebangsaan.[19]

Rujukan

WikiPedia: Tanzania http://africanhistory.about.com/od/biography/a/bio... http://adsabs.harvard.edu/abs/1978Sci...201.1085S http://catalogo.bne.es/uhtbin/authoritybrowse.cgi?... //www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17830304 http://aleph.nli.org.il/F/?func=find-b&local_base=... //doi.org/10.1126%2Fscience.201.4361.1085 http://www.fao.org/docrep/009/a0477e/a0477e13.htm http://isni.org/isni/0000000121586299 http://www.nbs.go.tz/nbs/takwimu/Statistical_Metho... http://www.nbs.go.tz/takwimu/references/Tanzania_i...