Etimologi Tuaran

Asal-usul Tuaran

bangunan urusetia daerah tuaran

Asal-usul nama Tuaran dipetik daripada sumber asli pada tahun 1813 oleh seorang rakyat British, iaitu Sir Stamford Raffles melalui surat yang ditulisnya kepada Setiausaha British di India untuk memohon kebenaran bagi memasuki Borneo Utara.[1] Sir Stamford Raffles selaku Gabenor British di Jawa ketika itu telah menggunakan pelawaan daripada Kerajaan Brunei sebagai alasan utama beliau untuk membuat permohonan kebenaran berkenaan. Tujuan pelawaan daripada Kerajaan Brunei kepada Sir Stamford Raffles adalah disebabkan oleh masalah lanun yang semakin berleluasa di Borneo Utara terutamanya di kawasan Jawaran.[2] Kawasan Jawaran yang dimaksudkan dalam surat Sir Stamford Raffles kepada Setiausaha British di India adalah merujuk kepada kawasan Tuaran.[3]

Sumber kedua adalah berkenaan dengan Ekspedisi Panassang[4] yang dilakukan oleh para pasukan konstabel pimpinan Kapten John Smith pada Februari 1886. Ekspedisi berkenaan adalah bertujuan untuk menghapuskan kegiatan memburu kepala dalam kalangan penduduk tempatan terutamanya di Kampung Panassang dan lima lagi kampung yang lain, iaitu Sampang, Sirimboton, Tiangat, Sawar, dan Sigalow. Kesemua kampung tersebut telah dibakar oleh pasukan konstabel British sebagai tanda amaran kepada penduduk tempatan agar menghentikan amalan tradisi memburu kepala. Hal ini kerana, amalan tersebut telah menjejaskan pentadbiran British di Borneo Utara. Berdasarkan keterangan dalam Ekspedisi Panassang, ekspedisi ini boleh juga dikaitkan dengan satu lagi ekspedisi yang dikenali sebagai ‘Ekspedisi Tawaran’.[5] ‘Ekspedisi Panassang’ adalah merujuk kepada ekspedisi ke Tuaran yang terletak di kawasan Pantai Barat.[6]

Nama Tuaran dipercayai berasal dari perkataan bahasa Melayu yakni tawaran yang beerti 'jualan' atau 'tawar' atau 'diskaun' atau 'promosi'.[7] Nama ini dipercayai berasal daripada fungsi pasar dimana para penduduk bumiputera yang datang dari perkampungan tepi bukit dan genting bukit datang ke Tuaran untuk menjual hasil tanaman mereka kepada para nelayan pantai dan masyarakat Cina pantai.

Terdapat juga sumber yang mengatakan bahawa nama Tuaran diambil sempena dengan nama sungai air tawar atau Sungai Tuaran,[8] iaitu satu-satunya sungai yang terdapat di daerah Tuaran. Walau bagaimanapun, nama Tuaran juga dikaitkan dengan nama ‘Tawarran’ sebelum diubah nama kepada ‘Tuaran’. Perkataan ‘Tawarran’ adalah diambil sempena kegiatan tawar-menawar dalam kalangan para pembeli untuk mendapatkan sesuatu daripada penjual. Kegiatan tawar-menawar dalam kalangan masyarakat Tuaran tersebut menunjukkan bahawa aktiviti perdagangan telah pun wujud di daerah berkenaan sebelum kedatangan pihak British. Aktiviti perdagangan yang dijalankan oleh masyarakat tempatan di daerah Tuaran lebih dikenali sebagai tamu[9] ataupun tamu mingguan. Sebelum kedatangan kuasa asing di daerah Tuaran, tamu merupakan sebuah pasar terbuka yang menjadi medan perdagangan barter antara suku kaum Kadazandusun dan Bajau, seperti hasil-hasil pertanian dan tangkapan laut.[10]

Rujukan

WikiPedia: Tuaran http://bonzers86.blogspot.com/2010/02/jom-cerita-p... http://hinching.com/restaurants/authentic-tuaran-n... http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=rosok+Kd&d=21... http://ww2.sabah.gov.my/md.trn/index.php?option=co... http://ww2.sabah.gov.my/md.trn/index.php?option=co... http://ww2.sabah.gov.my/md.trn/index.php?option=co... http://www.sabah.gov.my/pd.trn/Ekonomi.html http://www.sabah.gov.my/pd.trn/Latarbelakang.html http://www.sabah.gov.my/pd.trn/MukaBumi.html http://www.statistics.gov.my/portal/download_Popul...