Sejarah Tuaran

Pemerintahan

Sebelum kedatangan pihak British, Tuaran merupakan tanah jajahan kepada dua tampuk pemerintahan, iaitu pemerintah Kesultanan Sulu yang berpusat di Balambangan dan pemerintah Kesultanan Brunei.[11] Namun, Kesultanan Brunei lebih banyak menguasai kawasan Tuaran. Hal ini kerana, sebahagian besar daripada kawasan Tuaran dipercayai terletak di bawah jajahan pemerintahan Kesultanan Brunei.

Ketika Tuaran berada di bawah taklukan Kesultanan Brunei, Tuaran telah mempunyai struktur pentadbiran yang lengkap dan teratur. Hal ini kerana, beberapa orang pembesar istana Kesultanan Brunei telah pun dilantik dengan gelaran seperti Datuk Bendahara, Datuk Temenggung, dan Datuk Syahbandar. Walaupun struktur pentadbiran semasa pemerintahan Kesultanan Brunei dikatakan tersusun dan serba lengkap, namun pelaksanaan oleh para pembesar yang diperintahkan untuk mentadbir kawasan-kawasan tanah jajahan baginda adalah berdasarkan budi bicara dan mengikut kemahuan mereka sendiri. Hal ini telah menjejaskan pelaksanaan struktur pentadbiran Kesultanan Brunei.

Oleh itu, timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Misalnya, seorang bangsawan Brunei yang bernama Shariff Jahir[12] ketika diberi kuasa mentadbir Tuaran telah bertindak melantik Nakhoda Radin yang berbangsa Dayak dan berasal dari Sarawak sebagai pembantunya. Shariff Jahir telah mengarahkan Nakhoda Radin untuk menjaga kawasan Tuaran. Selain itu, Nakhoda Radin turut berperanan dalam mengutip cukai daripada para penduduk tempatan. Campur tangan orang asing dalam soal pentadbiran di kawasan Tuaran dan ditambah lagi dengan pemungutan cukai yang membebankan, telah mendapat tentangan dalam kalangan penduduk tempatan. Reaksi negatif para penduduk tempatan akibat ketidakadilan struktur pentadbiran di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, telah membawa kepada kesanggupan mereka untuk menerima pentadbiran daripada kuasa asing, iaitu pihak British.

Keadaan ini dapat dilihat apabila tiada sebarang tentangan yang ketara daripada penduduk pribumi Sabah apabila dengan rasminya tanahair mereka diperintah oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB), iaitu pada bulan November 1881.[13] Pemerintahan secara rasmi SBBUB ke atas Sabah pada bulan November 1881, telah membawa kepada kemunculan Sabah sebagai satu unit politik yang tersendiri. Hal ini kerana, sebelum pemerintahan SBBUB, Sabah terletak di bawah kedaulatan dua kesultanan, iaitu Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei. Begitu juga pada bulan November 1884, apabila Tuaran bersama-sama dengan Padas-Klias dan Bongawan telah diserahkan secara rasmi oleh Kesultanan Brunei kepada SBBUB dengan bayaran tahunan sebanyak $3,000.[14] Rentetan daripada penyerahan beberapa tanah jajahan Kesultanan Brunei kepada SBBUB telah menandakan bermulanya pemerintahan kuasa asing di daerah Tuaran.

Pantadbiran SBBUB yang bermula pada tahun 1884 telah membawa kepada perlantikan seoarang ketua dari suku kaum Bajau, iaitu Pengiran Subudin sebagai Ketua Daerah untuk membantu Pegawai Daerah (DO).[15] Kemudian pada tahun 1887, seorang lagi ketua dari suku kaum Kadazandusun telah dilantik untuk membantu Pengiran Subudin melaksanakan hal ehwal pentadbiran daerah Tuaran. Tujuan pihak SBBUB melantik penduduk tempatan untuk menjawat beberapa jawatan dalam pentadbiran daerah Tuaran adalah untuk menunjukkan sistem pentadbiran SBBUB adalah bersifat tempatan dan bukannya bersifat pemerintahaan kuasa asing semata-mata. Pentadbiran daerah Tuaran dilaksanakan di sebuah Pejabat Daerah Tuaran yang ditubuhkan pada abad ke-19. Bangunan pejabat daerah Tuaran pada mulanya hanya merupakan sebuah pondok kecil yang dibina di sebuah kampung, iaitu Kampung Kota.[16] Penubuhan pejabat daerah tersebut bertujuan untuk memudahkan pihak SBBUB mentadbir para penduduk di daerah Tuaran.

Rujukan

WikiPedia: Tuaran http://bonzers86.blogspot.com/2010/02/jom-cerita-p... http://hinching.com/restaurants/authentic-tuaran-n... http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=rosok+Kd&d=21... http://ww2.sabah.gov.my/md.trn/index.php?option=co... http://ww2.sabah.gov.my/md.trn/index.php?option=co... http://ww2.sabah.gov.my/md.trn/index.php?option=co... http://www.sabah.gov.my/pd.trn/Ekonomi.html http://www.sabah.gov.my/pd.trn/Latarbelakang.html http://www.sabah.gov.my/pd.trn/MukaBumi.html http://www.statistics.gov.my/portal/download_Popul...