Sejarah Tulisan_pepaku

Sistem tulisan pepaku digunakan selama tiga alaf, melalui beberapa peringkat perkembangan, dari abad ke-34 SM hingga abad ke-2 Masihi.[4]Akhirnya ia digantikan sepenuhnya oleh tulisan abjad (yang difahami umum) ketika zaman Rom, dan kini tidak terdapat sebarang sistem tulisan pepaku dalam kegunaan umum. Sistem pepaku terpaksa ditafsir sebagai sistem tulisan yang asing sekali dalam bidang "Asiriologi" abad ke-19. Kejayaan mentafsir tulisan pepaku sepenuhnya bertarikhkan tahun 1857.

Sistem tulisan pepaku telah melalui perubahan-perubahan ketara sepanjang dua alaf lebih. Gambarajah di bawah memaparkan perkembangan aksara SAG "kepala" (Borger nr. 184, U+12295 𒊕).

Peringkat:

  1. rupa asal piktogram yangdilukis sekitar tahun 3000 SM
  2. piktogram yang 'diputarkan' sekitar tahun 2800 SM
  3. aksara yang dimujaradkan pada prasasti tugu sekitar tahun 2600 SM
  4. aksara yang sama terlakar pada tanah liat, sezaman dengan peringkat 3
  5. mewakili lewat alaf ke-3 SM
  6. mewakili duktus Assyria Lama awal alaf ke-2, seperti yang diterima guna dalam tulisan Het
  7. bentuk dipermudah yang digunakan oleh katib-katib Assyrian pada awal alaf pertama SM hingga kepupusan sistem tulisan ini.

Zaman proto-celik huruf

Prasasti Sumeria bercorak tugu, sekitar abad ke-26 SM

Tulisan pepaku yang sebenar-benarnya berkembang daripada prototulisan yang berupra piktograf pada lewat alaf ke-4 SM. Zaman "proto-celik huruf" Mesopotamia lebih kurang dari abad ke-35 ke ke-32 SM. Catatan-catatan terawalnya sudah pasti tertulis dalam bahasa Sumeria yang bertarikhkan sekitar abad ke-31 SM, ditemui di Jemdet Nasr.

Asalnya, piktograf dilukis pada batu bersurat daripada tanah liat di atas tiang mencancang dengan alat tulis buatan gedabung, ataupun terpahat pada batu. Rupa bentuk terpurba ini belum ada coret-coret seakan baji.

Lambang-lambang tertentu yang menyatakan nama-nama dewa, negara, kota, kapal, burung, pokok dan sebagainya dikenali sebagai penentu, malah merupakan lambang-lambang dalam tulisan Sumeria mengenai istilah-istilah berkenaan yang ditambah sebagai panduan untuk pembacanya. Kata nama khas masih ditulis secara "logograf" semata-mata.

Raja Sumer terawal diketahui yang namanya terdapat pada batu-batu bersurat pepaku sezaman adalah Enmebaragesi dari Kish. Catatan-catatan yang masih wujud hanya beransur-ansur kurang berpecah-pecah dan lebih lengkap dalam pemerintahan-pemerintahan berikutnya, tetapi menjelang akhir zaman pra-Sargon (lewat alaf ke-3), adalah amalan kebiasaan bagi setiap negara kota utama untuk mentarikhkan catatan-catatan dengan nama-nama tahun yang memperingati bakti-bakti rajanya.

Mulai sekitar 2900 SM, kebanyakan piktografnya mula kehilangan fungsi asalnya, maka sesuatu aksara mungkin pelbagai maknanya bergantung pada konteks. Peraksaraan berkurangan dari 1,500 ke sekitar 600 aksara, malah penulisan menjadi semakin berasaskan sebutan. Aksara-aksara penentu diperkenalkan semula untuk mencegah kekaburan makna. Maka penulisan pepaku yang sebenar-benarnya timbul daripada sistem piktograf yang lebih primitif sekitar zaman berkenaan (Awal Zaman Gangsa II).

Pepaku terpurba

Surat yang dihantar oleh pendeta luhur Lu'enna kepada raja Lagash (barangkali Urukagina) untuk mengkhabarkan kematian putera baginda dalam perang, sekitar 2400 SM, ditemui di Telloh (Girsu purba).

Pada pertengahan alaf ke-3 SM, arah penulisan berubah kepada kiri-ke-kanan dalam baris-baris mendatar (maka kesemua piktograf dipusingkan 90° ke arah lawan jam), bahkan alat tulis bermata baji digunakan untuk menekan tanah liat untuk menghasilkan huruf-huruf berbentuk baji (kuneiform); kedua-dua perkembangan ini mempercepat dan mempermudah penulisan. Dengan melaraskan kedudukan relatif batu bersurat kepada alat tulis, si penulis boleh menggunakan hanya satu alat untuk menjadikan banyak gambaran.

Batu-batu bersurat pepaku boleh dibakar dalam tanur untuk mengawet catatan berkekalan, ataupun dikitar semula jika kekekalan tidak diperlukan. Kebanyakan batu bersurat pepaku yang ditemui oleh pengkaji purba adalah diawet kerana dibakar ketika tentera penceroboh membakar bangunan yang menyimpannya.

Tulisan pepaku juga laris digunakan pada prasasti-prasasti peringatan dan ukiran-ukiran cetak timbul untuk mengabadikan pencapaian pemerintah yang ditahbisi tugunya.

Bahasa lisannya terdiri daripada banyak bunyi sebutan yang saling mirip, malah pada mulanya kata-kata yang mirip sebutannya seperti "kehidupan" [til] dana "anak panah" [ti] dihuraikan dengan menulis aksara yang sama. Setelah Mesopotamia Selatan ditawan oleh bangsa Semit, sesetengah aksara beransur-ansur berubah rupa dari piktogram kepada silabogram (huruf suku kata), barangkalinya untuk memperjelas tulisan. Oleh demikianlah aksara "anak panah" menjadi lambang untuk sebutan "ti". Jika sesebuah bunyi sebutan memaksudkan pelbagai perkataan, maka kesemua makna itu diberi aksara yang berbeza-beza. Contohnya, sebutan "gu" ada 14 aksara berbeza. Perkataan yang serupa makna tetapi sangat berbeza sebutannya ditulis dengan lambang yang sama. Contohnya, "gigi" [zu], "mulut" [ka] dan "suara" [gu] ketiga-tiganya dieja dengan lambang "suara". Demi lebih kejituan, orang mula membubuh atau menggabungkan aksara untuk memperhalusi maknanya, dengan corak-corak geometri mahupun satu lagi aksara pepaku.[5]

Lama-kelamaan tulisan pepaku bertambah rumit dan perbezaan antara piktogram dan silabogram menjadi kabur. Sesetengah lambang terlalu banyak maknanya hingga sukar untuk memperjelas maksud. Oleh itu, aksara-aksara dicantumkan untuk menandakan kedua-dua sebutan dan erti kata jamaknya. Contohnya, "burung gagak" [UGA] sama logogramnya dengan "sabun" [NAGA] "nama bandar" [ERESH] dan "dewi penaung Eresh" [NISABA]. Dua pelengkap sebutan digunakan untuk menentukan sebutan [u] sebelum logogram berkenaan dan [ga] selepasnya. Akhirnya lambang "burung" [MUSHEN] dibubuhkan untuk memastikan ketepatan makna. Bahasa Sumeria bertulis digunakan sebagai bahasa tulisan yang terpelajar hingga abad pertama Masihi. Bahasa lisannya pupus sekitar abad ke-18 SM.[5]

Pepaku Akkadia

Tulisan pepaku kuno diterima pakai oleh masyarakat Akkadia mulai sekitar tahun 2500 SM, dan menjelang tahun 2000 SM ianya telah berevolusi kepada pepaku Assyria Lama dengan banyak pengubahsuaian kepada ortografi Sumeria. Padanan-padanan Semitik untuk kebanyakan aksara terherot atau dipendekkan untuk membentuk nilai-nilai "fonetik" baru kerana sifat pepaku kesukukataan yang ditentukan oleh bangsa Sumer tidak intuitif untuk penutur bahasa Semitik. Pada peringkat ini, bekas-bekas piktogram ini berubah menjadi sangat mujarad dan terdiri daripada hanya lima bentuk coret asas, iaitu mengufuk, tegak, dua pepenjuru dan Winkelhaken yang ditekankan secara menegak oleh hujung alat tulis. Aksara-aksara yang mencontohkan coret-coret asas ini adalah:

  • AŠ (B001, U+12038) 𒀸: mengufuk;
  • DIŠ (B748, U+12079) 𒁹: tegak;
  • GE23, DIŠ tenû (B575, U+12039) 𒀹: pepenjuru menurun;
  • GE22 (B647, U+1203A) 𒀺: pepenjuru menaik;
  • U (B661, U+1230B) 𒌋: Winkelhaken.

Kecuali Winkelhaken yang tidak berekor, kepanjangan ekor coret mungkin berbeza-beza seperti yang dikehendaki untuk membentuk aksara.

Aksara yang serong sekitar 45 darjah dipanggil tenû dalam bahasa Akkad, maka DIŠ adalah coret tegak dan DIŠ tenû pula pepenjuru. Jika aksara diubah suai dengan ditambah coret, maka dipanggilnya gunû atau "gunifikasi;" jika aksara disilangi dengan ditambah Winkelhaken, maka namanya šešig; jika aksara diubah suai dengan gugurnya coret sebanyak mana pun, maka namanya nutillu.

Sepucuk surat Amarna, abad ke-14 SMHuruf kembar Neo-Assyria KAxGUR7 (𒅬); aksara KA (𒅗) merupakan penanda jamak Sumeria yang sering terdapat dalam huruf kembar yang memagari aksara lain. GUR7 sendiri pun adalah huruf kembar SÍG.AḪ.ME.U yang bererti "menimbunkan; timbunan bijian" (kamāru; karû dalam bahasa Akkadia).

Aksara-aksara "biasa" mempunyai dalam lima ke sepuluh coret, sementara huruf-huruf kembar yang rumit boleh terdiri daripada 20 coret ke atas (namun tidak semestinya jelas sama ada huruf kembar seharusnya dianggap sebagai satu aksara ataupun dua aksara yang terkolasi tetapi tetap berasingan); contohnya huruf kembar KAxGUR7 ada 31 coret.

Kebanyakan adaptasi pepaku lewat zaman mengekalkan beberapa ciri-ciri tulisan Sumeria. Tulisan bahasa Akkadia menyertakan aksara-aksara fonetik dari kesukukataan Sumeria, termasuklah logogram yang dilafaz sebagai perkataan penuh. Kebanyakan aksara dalam tulisan itu adalah "polivalen", iaitu menandakan silabik dan logografik. Kerumitan sistem ini menyerupai Bahasa Jepun Lama yang ditulis dengan aksara Cina, yang mana sesetengah aksara Cina digunakan sebagai logogram dan sesetengah lagi sebagai aksara fonetik.

Pepaku Assyria

Kaedah penulisan "campur" ini diteruskan hinggalah berakhirnya empayar-empayar Babylonia dan Assyria, walaupun terdapat beberapa ketika apabila "keaslian" menjadi ikutan dan orang cenderung mengeja kata-kata dengan seolah-olah dipaksa-paksa daripada menggunakan aksara-aksara dengan pelengkap fonetik. Namun begitu pada zaman itu, abjad suku kata Babylon tetap merupakan campuran tulisan logografik dan fonemik.

Tulisan pepaku Het diadaptasikan daripada pepaku Assyria Lama sekitar 1800 SM kepada bahasa Het.Ketika tulisan pepaku diadaptasikan untuk menulis bahasa Het, ditambahnya selapis ejaan logografik Akkadia kepada tulisan berkenaan, maka banyak perkataan Het yang sering dieja dengan logogram kini tidak diketahui sebutannya.

Pada Zaman Besi (sekitar abad ke-10 ke ke-6 SM), pepaku Assyria dipermudah lagi. Sejak abad ke-6 SM, bahasa Assyria dipinggirkan oleh bahasa Aramia yang ditulis dalam abjad Aramia, namun pepaku Neo-Assyria kekal digunakan dalam tradisi sastera hinggalah zaman Parthia (250 SM - 226 M). Catatan pepaku terakhir yang diketahui, iaitu sastera ilmu falak dikarang pada tahun 75 M.[6]

Keturunan

Kerumitan sistem tulisan pepaku mencetuskan penciptaan beberapa versi dipermudahnya. Bahasa Parsi Lama ditulis dalam subset aksara pepaku dipermudah yang kini bergelar tulisan pepaku Parsi Lama.Terbentuknya abjad suku kata separa alfabetik yang menggunakan jauh kurang coret daripada bahasa Assyria, di samping sebilangan kecil logogram untuk kata-kata yang kerap digunakan seperti "dewa" dan "raja". Bahasa Ugarit ditulis dengan abjad Ugarit yang berupa abjad ala Semitik yang ditulis dengan pepaku.