Perkembangan Upanishad

Pengarang

Sama seperti Veda, tidak ada sebarang catatan mengenai pengarang atau penulis Upanishad. Menurut S.Radhakrisnan[1], "tiada nama pengarang untuk hampir semua sastera awal India. Kita tidak tahu nama penulis-penulis Upanishad". Upanishad-Upanishad yang purba adalah sebahagian daripada Veda. Oleh itu, seperti Veda, Upanishad juga dianggap sebagai Apauruseya, yang bermaksud "bukan buatan manusia". Ayat-ayat suci Veda telah ditemui oleh para Rishi. Maka, kita boleh katakan bahawa Upanishad juga telah ditemui oleh para Rishi.

Teori-teori falsafah dalam Upanishad-Upanishad yang tertua boleh dikaitkan dengan Rishi-Rishi popular seperti Yajnavalkya, Uddalaka Aruni, Shvetaketu, Shandilya, Aitareya, Balaki, Pippalada, dan Sanatkumara. Rishi wanita seperti Maitreyi dan Gargi juga turut mengambil bahagian dalam dialog dalam Upanishad-Upanishad yang tertua.

Zaman Penulisan

Menurut tradisi, Upanishad ialah Wahyu. Ayat-ayat suci ini didedahkan oleh Tuhan pada permulaan setiap kitaran ciptaan kepada orang-orang yang berkelayakan. Maka, ayat-ayat suci ini adalah abadi.

Upanishad adalah suatu bahagian integral Veda. Oleh itu, Upanishad juga dipercayai didedahkan serentak dengan masa pendedahan Veda.

Tarikh-tarikh Rigveda adalah antara 4500 S.M. (oleh B.G.Tilak) dan 2400 S.M. (oleh Hang) dan 1200 S.M. (oleh Max Muller).

Para cendekiawan Eropah menyatakan bahawa kemungkinan Upanishad didedahkan antara 700 S.M hingga 600 S.M.

Menurut data astronomikal dalam Maitrayaniya Upanishad, B.G.Tilak mengandaikan bahawa Upanishad itu dihasilkan pada 1900 S.M. Maka, menurut Tilak dan para cendekiawan yang bersetuju dengannya, Upanishad dihasilkan antara tahun 2500 S.M. hingga 2000 S.M.

Kronologi

Para cendekiawan tidak dapat menentukan bilakah Upanishad dihasilkan. Menurut ahli falsafah dan sarjana Sanskrit, Stephen Phillips, adalah amat sukar untuk menentukan Upanishad-Upanishad yang paling tua kerana semua pendapat bergantung kepada bukti-bukti yang tidak mencukupi dan teks-teks kuno dalam bahasa yang kuno dan sukar difahami. Menurut ahli Indologi Patrick Olivelle, sebarang percubaan untuk menentukan tarikh teks-teks Upanishad yang tepat kepada beberapa kurun adalah sama seperti kestabilan rumah yang dibina dengan kad terup! Beberapa orang sarjana juga telah cuba untuk menentukan kronologi Upanishad dengan membuat perbandingan dengan teks-teks agama Buddha.

Patrick Olivelle telah memberikan kronologi Upanishad awal seperti berikut:

  • Brihadaranyaka dan Chandogya adalah dua Upanishad yang paling awal. Kedua-dua teks ini adalah sebelum teks-teks agama Buddha, iaitu lebih kurang antara kurun ke-7 hingga ke-6 S.M.
  • Taittiriya, Aitareya, dan Kausitaki adalah kumpulan kedua yang dihasilkan sebelum zaman Buddha, kemungkinan antara kurun ke-6 hingga kurun ke-5 S.M.
  • Kena, Katha, Isa, Svetasvatara, dan Mundaka kemungkinan dihasilkan pada kurun-kurun terakhir S.M.
  • Prasna dan Mandukya mungkin dihasilkan pada kurun pertama Masihi.

Stephen Phillips pula berpendapat bahawa Upanishad-Upanishad bertarikh antara 800 hingga 300 S.M. Menurutnya lagi, Brihadaranyaka, Chandogya, Isha, Taittiriya, Aitareya, Kena, Katha, Mundaka, dan Prasna Upanishad adalah ke semuanya teks-teks sebelum zaman Buddha dan Jain. Svetasvatara dan Mandukya pula mungkin serentak dengan zaman Buddha dan Jain.

Upanishad-Upanishad yang baru pula, yang juga dikenali sebagai Upanishad minor, kemungkinan dihasilkan antara kurun pertama hingga kurun ke-2 Masihi. Gavin Flood memberikan kebanyakan Yoga Upanishad tarikh antara 100 hingga 300 Masihi. Patrick Olivelle dan beberapa sarjana lain pula menandakan dua puluh Sannyasa Upanishad sebagai teks-teks kurun kurun pertama Masihi hingga 200 Masihi. Hampir separuh daripada Sannyasa Upanishad kemungkinan dihasilkan antara kurun ke-14 hingga ke-15 Masihi.

Geografi

Amnya, Upanishad dianggap sebagai dihasilkan di India utara. Kawasan ini dikelilingi lembah Indus di utara, lembah Ganges di timur, pergunungan Himalaya di utara, dan pergunungan Vindhya di selatan. Menurut para cendekiawan, Upanishad-Upanishad awal kemungkinan dihasilkan di pusat Brahmanisme purba, merangkumi kawasan Kuru-Panchala dan Kosala-Videha. Bahagian ini tersebat daripada Bihar, Nepal, Uttar Pradesh, Uttarakhand, Himachal Pradesh, Haryana, Rajasthan timur,dan Madhya Pradesh utara.

Menurut Witzel, Brihadaranyaka Upanishad kemungkinan dihasilkan di Videha, di mana rajanya, Janaka, merupakan watak utama Upanishad ini. Kemungkinan Chandogya Upanishad dihasilkan di bahagian barat India, merangkumi wilayah Kuru-Panchala.

Sebanyakan Muktikā Upanishad nampaknya berasal daripada India selatan. Dalam bab keempat Kaushitaki Upanishad, suatu lokasi bernama Kashi (Varanasi) disebut.

Bilangan & Klasifikasi

Pada masa ini, terdapat lebih 200 judul bercetak yang dikenali sebagai "Upanishad".

Di India Selatan, suatu senarai menurut Mukhya Upanishad yang diterbitkan dalam bahasa Telugu memberikan senarai 108 Upanishad. Senarai ini telah menjadi popular dan masih diikuti kini. Di India Utara pula, satu senarai 52 Upanishad lebih popular.

Sepuluh Upanishad Utama

Sankaracharya (788 - 820 M) telah memilih sepuluh Upanishad sahaja untuk menulis ulasannya. Sankaracharya juga merujuk kepada beberapa buah Upanishad lain dalam ulasan Brahmasutra. Ramanuja (1017-1137 M) pula telah menambah dua lagi Upanishad. Sekiranya kita menerima Upanishad-Upanishad ini sebagai yang paling purba dan utama, senarai berikut (menurut susunan abjad) dapat diberikan:

  • Aitareya Upaniṣad
  • Bṛhadāraṇyaka Upaniṣad
  • Chāndogya Upaniṣad
  • Īśāvāsya Upaniṣad
  • Jābāla Upaniṣad
  • Kaivalya Upaniṣad
  • Kaṭha Upaniṣad
  • Kauṣītaki Upaniṣad
  • Kena Upaniṣad
  • Māṇḍūkya Upaniṣad
  • Mahānārāyaṇa Upaniṣad
  • Muṇḍaka Upaniṣad
  • Praśna Upaniṣad
  • Śvetāśvatara Upaniṣad
  • Taittirīya Upaniṣad
  • Vajrasūcikā Upaniṣad

Klasifikasi Mukhya Upanishad

Mukhya Upanishad boleh dibahagikan kepada dua kelas menurut masa. Teks paling tua ialah Brihadaranyaka dan Chandogya.

Setiap Upanishad utama boleh dikaitkan dengan salah satu bahagian Veda yang dikenali sebagai Shakha. Pada masa ini, hanya beberapa Shakha sahaja masih wujud.

Upanishad-Upanishad baru pula kebanyakannya tidak berkaitan dengan Veda dan tidak disebut atau diulas oleh para ahli falsafah Vedanta. Bahasa Upanishad baru juga agak moden dan tidak sama dengan bahasa dalam Upanishad klasik. Oleh itu, Upanishad-Upanishad baru ini lebih mudah untuk difahami.

Hubungan Veda-Shakha-Upanishad
VedaShakhaUpanishad Utama
Rig VedaShakalaAitareya
Sama VedaKauthumaChāndogya
JaiminiyaKena
Ranayaniya
Yajur VedaKathaKaṭha
TaittiriyaTaittirīya dan Śvetāśvatara[2]
MaitrayaniMaitrāyaṇi
Hiranyakeshi (Kapishthala)
Kathaka
Vajasaneyi MadhyandinaIsha dan Bṛhadāraṇyaka
Kanva Shakha
Atharva VedaShaunakaMāṇḍūkya dan Muṇḍaka
PaippaladaPrashna Upanishad