Karya Amir_Hamzah

Kulit Poedjangga Baroe tahun 1937; majalah ini menerbitkan kebanyakan karya Amir.

Amir menulis lima puluh buah puisi kesemuanya: lapan belas prosa lirik, dua belas rencana, empat cerita pendek, tiga himpunan puisi, dan satu buku asli. Beliau juga menterjemahkan empat puluh empat puisi, sebuah puisi lirik, dan sebuah buku.[34] Terjemahan-terjemahan ini, mengikut Johns, mencerminkan tema-tema penting dalam karya-karya aslinya.[91]

Sebahagian besar daripada penulisan Amir diterbitkan dalam Poedjangga Baroe, walaupun sebilangan kecil karya-karya awalnya diterbitkan dalam Timboel dan Pandji Poestaka.[34] Tidak ada satupun puisinya diberikan tarikh, dan tidak ada kata sepakat tentang bila puisi-puisi individu ditulis.[92] Walaupun demikian, terdapat sepakatan am yang karya-karya yang dimuatkan dalam Nyanyi Sunyi ditulis selepas puisi-puisi yang terkandung dalam Buah Rindu, mahupun himpunan yang kedua itu diterbitkan kemudian.[93] Johns menulis bahawa puisi-puisi yang terkandung dalam buku-buku himpunan itu secara amnya diatur mengikut masa; beliau mengetengahkan hujah tentang peningkatan kematangan penulisan yang ditunjukkan Amir seiring dengan pengembangan penulisannya sebagai alasan.[94]

HB Jassin menulis bahawa Amir mengekalkan identiti Melayu dalam penulisannya walaupun beliau menghadiri sekolah-sekolah kendalian orang Eropah. Berlaianan dengan rakan penulis sezaman dengannya seperti Sutan Takdir Alisjahbana atau Sanusi Pane, puisi-puisinya tidak mengandungi lambang-lambang moden terbitan budaya orang Eropah seperti kuasa elektrik, kereta api, telefon, dan jentera, dan dengan itu menunjukkan yang "Alam dunia Melaju masih utuh...". Pada puncaknya, mengikut HB Jassin, apabila "Membatja sadjaknja diruang fantasi kita tidak terbajang lukisan seorang jang berpantalon, berdjas dan berdasi, melainkan seorang muda jang berpakaian setjara Melaju."[95] AK Mihardja memerhatikan yang Amir menghasilkan karyanya pada waktu rakan sedarjahnya, malah para pemuisi di mana-manapun "... mentjurahkan isi hati dan buah pikiran" dalam bahasa Belanda, ataupun, jika mampu "... melepaskan dirinja dari belenggu Bahasa Belanda", dalam bahasa tempatan.[96]

Karya-karya Amir sering berkaitan dengan cinta (kedua-dua cinta erotik dan sempurna), dan pengaruh agama dapat dilihat dalam karya-karyanya.[73] Mistisisme (tasawuf) merupakan bahan penting dalam banyak karyanya, dan puisi-puisi Amir sering mencerminkan konflik dalaman yang tebal.[97] Dalam sekurang-kurangnya satu cerpen, Amir mengkritik pandangan tradisional terhadap kelas bangsawan dan "menggugat pandangan tradisional tentang watak-watak wanita".[98] Terdapat juga beberapa pebezaan tema antara dua himpunan puisi beliau,[99] yang dibincangkan dengan lebih mendalam di bawah.

Nyanyi Sunyi

Rencana utama: Nyanyi Sunyi

Nyanyi Sunyi, himpunan puisi Amir pertama, diterbitkan dalam Poedjangga Baroe edisi November 1937,[100], dan kemudiannya diterbitkan sebagai sebuah buku oleh Poestaka Rakjat dalam tahun 1938.[51] Himpunan ini terdiri daripada dua puluh empat buah pantun berjudul dan sebuah kuatrin (sajak berangkap empat) yang tidak diberi judul,[101] termasuk puisi termasyhur Amir, Padamu Jua. HB Jassin mengklasifikan lapan daripada karya-karya ini sebagai puisi berlirik dan bakinya sebagai puisi biasa.[100] Walaupun himpunan ini merupakan koleksi yang pertama diterbitkan, berpandukan sifat pembentukan puisi-puisi yang terkandung dalamnya,[102] kesepakatan am adalah karya-karya yang terkandung dalam Buah Rindu ditulis lebih awal.[103] Pemuisi Laurens Koster Bohang menganggarkan puisi-puisi yang dimuatkan dalam Nyanyi Sunyi ditulis antara tahun 1933 dan 1937,[104] sementara Teeuw pula menganggarkan penulisan antara tahun 1936 dan 1937.[105]

Pembacaan-pembacaan Nyanyi Sunyi cenderung tertumpu kepada perasaan keagamaan yang terpendam. Mengikut Muhammad Balfas, agama dan Tuhan sentiasa hadir dalam keseluruhan koleksi, bermula dengan puisi pertama, "Padamu Jua".[106] HB Jassin menulis bahawa dalam puisi ini, Amir mempamerkan perasaan kurang puas hati dengan keadaannya yang tidak berkuasa dan memprotes Kemutlakan Tuhan,[107] akan tetapi sedar akan kekerdilannya di hadapan Tuhan dan hakikat yang beliau hanya bertindak sebagai pelaksana kehendak Tuhan.[108] Teeuw merumuskan yang Amir menyedari bahawa beliau tidak akan wujud jika Tuhan tidak wujud.[109] HB Jassin mendapati bahawa tema agama sebenarnya satu jalan keluar daripada kesedihan duniawi yang dialami Amir.[110] Walau bagaimanapun, Johns mencadangkan yang pada akhirnya Amir mendapati bahawa Tuhan tidak dapat mententeramkan jiwanya oleh sebab Amir "tidak memiliki keimananan unggul untuk membuat pengorbananan besar dan menerima padahnya"; dan kelihatan yang beliau semacam berasa kesal yang beliau memilih untuk pulang ke Sumatera, dan kemudian membantah Tuhan.[111]

Buah Rindu

Rencana utama: Buah Rindu

Himpunan puisi Amir kedua, Buah Rindu, diterbitkan dalam Poedjangga Baroe edisi bulan Jun 1941,[112] dan kemudiannya diterbitkan sebagai buku oleh Poestaka Rakjat pada lewat tahun yang sama.[51] Koleksi ini mengandungi dua puluh lima buah puisi berjudul dan sebuah kuatrin yang tidak berjudul; satu daripadanya, "Buah Rindu", terdiri daripada empat bahagian, sementara satu lagi, "Bonda", mengandungi dua bahagian. Sekurang-kurangnya sebelas daripada karya yang terkandung dalam himpunan ini sudah diterbitkan dahulu, sama ada dalam Timboel atau Pandji Poestaka.[112] Kendatipun himpunan ini diterbitkan selepas penerbitan Nyanyi Sunyi, anggapan umum adalah himpunan ini ditulis lebih awal.[103] Puisi-puisi dalam Buah Rindu bertarikh antara tahun 1928 dan 1935, iaitu pada waktu awal Amir di Jawa;[104] himpunan ini menyatakan kedua-dua tahun tersebut dan juga lokasi penulisannya di Jakarta–Solo (Surakarta)–Jakarta.[17]

Teeuw menulis bahawa koleksi ini disatukan dengan perasaan kerinduan,[113] dan pendapat ini dikembangkan HB Jassin: kerinduan untuk ibunya, kerinduan kekasih-kekasihnya, (di Sumatera dan Jawa), dan kerinduan kampung halamannya. Semua dirujuk sebagai "kekasih".[114] Teeuw juga menulis bahawa kerinduan ini tidak seperti perasaan keagamaan terpendam yang terdapat dalam Nyanyi Sunyi : perasaan kerinduan ini lebih bersifat duniawi, dan bertapak dalam kenyataan;[99] HB Jassin memerhatikan satu lagi perbezaan tema antara kedua-dua himpunan: tidak macam Nyanyi Sunyi dengan gambaran jelasnya tentang satu tuhan, Buah Rindu secara tersurat menampilkan beberapa dewata, termasuk dewa Hindu Shiva dan Parvati, dan dewata mujarad seperti dewa dan dewi cinta.[114]

Rujukan

WikiPedia: Amir_Hamzah http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://www.tempo.co/read/news/2010/06/28/161259138... http://books.google.com/?id=NbY3AAAAIAAJ http://books.google.com/?id=WV2YT6OuTmsC http://books.google.com/?id=YVSjHAAACAAJ&dq= http://books.google.com/?id=xXjiAAAAMAAJ http://books.google.com/books?id=4DHFijnwBk4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CWJMbS4NwhwC http://books.google.com/books?id=M6zs7VN9PnEC&pg=P...