Biografi Amir_Hamzah

Kehidupan awal

Amir dilahirkan sebagai Tengku Amir di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Utara, anak bongsu Naib Sultan Tengku Muhammad Adil dan isteri ketiganya, Tengku Mahjiwa. Amir bersaudara dengan Sultan Mahmud, Langkat, melalui bapanya. Sumber-sumber tidak sepakat tentang tarikh lahirnya dan tarikh yang diiktiraf rasmi oleh pemerintah Indonesia ialah 28 Februari 1911, tarikh yang digunakan Amir sepanjang hayatnya. Amir kemudian mengambil nama datuknya, Tengku Hamzah, sebagai nama kedua; justeru beliau dikenali sebagai Amir Hamzah. Dan walaupun beliau kelahiran kelas bangsawan, Amir sering bergaul dengan orang biasa.[2]

Diketahui bahawa Amir menerima pendidikan dalam bidang agama Islam seperti mengaji al-Quran, fikah, dan tawhid, dan belajar di Masjid Azizi Tanjung Pura semenjak usia kecil lagi.[3] Amir seorang yang warak sepanjang hayatnya. Sumber-sumber juga tidak sepakat tentang waktu beliau menamatkan pendidikan formal. Beberapa sumber, termasuk Pusat Bahasa Republik Indonesia, menyatakan bahawa beliau memulakan persekolahan dalam tahun 1916,[4] sementara penulis biografi, M. Lah Husny, pula berkata pemuisi ini memulakan persekolahannya dalam tahun 1918.[5] Amir mula menulis di sekolah pertamanya, sekolah rendah berbahasa Belanda[6] dan menerima markah tinggi;[7]. Nh. Dini ("Dini") menulis dalam biografinya yang Amir digelar "abang" oleh rakan yang sedarjah dengannya kerana beliau lebih tinggi daripada mereka.[3]

Amir lulus daripada sekolah di Langkat dalam tahun 1924[8] atau 1925,[9] dan berpindah ke Medan untuk menghadiri sekolah Meer Uitgebreid Lager Onderwijs (MULO; sekolah menengah) di sana.[10] Selepas menamatkan pendidikannya dua tahun kemudian, beliau bertunang dengan sepupu sebelah ibunya, Aja (atau Aje) Bun.[11] Husny menulis bahawa perkahwinan itu diatur oleh ibu bapa masing-masing,[12] sementara Dini pula mengatakan perhubungan itu lebih mirip perjanjian yang masing-masing akan saling setia.[13] Oleh sebab beliau telah dibenarkan untuk melanjutkan pelajaran di Jawa, Amir berpindah ke ibu negeri kolonial di Betawi (sekarang Jakarta) untuk tujuan tersebut.[12]

Pulau Jawa

Pelayaran Amir ke pulau Jawa, yang beliau lakukan seorang diri dengan kapal Plancus, mengambil masa tiga hari.[14][15]. Sebaik sahaja tiba di Betawi, beliau memasuki MULO Kristian di sana dan menamatkan pengajian tahun terakhir sekolah menengah rendah.[12] Anthony H. Johns daripada Universiti Nasional Australia (Australian National University) menulis bahawa Amir mempelajari beberapa konsep dan nilai Kristian.[16] Juga, semasa di Betawi, Amir melibatkan diri dengan organisasi sosial bergelar Jong Sumatera.[17] Orang muda ini mula menulis puisi-puisi pertamanya pada waktu ini. Husny mempercayai bahawa beberapa buah puisi diilhamkan perasaan dukacita yang dirasai Amir selepas beliau mendapat berita yang Aja Bun telah berkahwin dengan orang lain tanpa pengetahuannya (kedua-duanya tidak saling menegur selepas ini), [18] sementara Dini pula mencanangkan bahawa puisi Tinggallah ditulis tidak lama selepas Amir menaiki kapal Plancus, sambil Amir masih merindui ibu bapanya.[19]

Amir mengasaskan Poedjangga Baroe bersama-sama Armijn Pane (atas) dan Sutan Takdir Alisjahbana.

Selepas pulang ke Sumatera buat seketika, Amir meneruskan pendidikan yang dikendalikan Boedi Oetomo, iaitu sekolah Algemene Middelbare School (AMS; sekolah menengah tinggi) di Surakarta, Jawa Tengah, di mana beliau mengkaji kesusasteraan Timur dan bahasa, termasuk bahasa-bahasa Jawa, Sanskrit dan Arab.[20] Amir lebih suka berseorangan daripada terlibat dengan kesibukan asrama dan beliau memilih untuk tinggal di rumah persendirian seorang warga Surakarta.[21] Beliau kemudian berkesempatan untuk bertemu beberapa bakal penulis, termasuk Armijn Pane dan Achdiat Karta Mihardja.[22] Mereka mendapatinya sebagai seorang penuntut peramah dan rajin, yang memiliki nota lengkap, dan kain cadar yang putih melepak (kain cadar yang dilipat sungguh rapi, yang Mihardja kemudiannya memerhatikan bahawa, "... lalat jang kesasar akan dapat tergelintjir atasnja". Namun demikian, Amir juga seorang romantis yang mudah berfikiran sayu sambil diterangi lampu dan menjauhkan dirinya daripada rakan-rakan sedarjah dengannya.[23]

Amir menyertai pergerakan nasionalis di Surakarta. Beliau bertemu dengan rakan-rakan senegerinya dan membincangkan keadaan pahit getir penduduk-penduduk kepulauan Melayu di bawah pemerintahan kolonial Belanda. Mahupun kebanyakan pemuda yang berpendidikan lebih senang menggunakan bahasa Belanda, beliau tetap menggunakan bahasa Melayu.[24] Dalam tahun 1930 Amir menjadi ketua pergerakan Indonesia Muda cabang Surakarta, dan menyampaikan ucapan kepada Kongres Pemuda tahun 1930 sambil berkhidmat sebagai penyunting Garuda Merapi, majalah pertubuhan itu.[25] Beliau bertemu dan jatuh cinta dengan Ilik Sundari, seorang wanita keturunan Jawa yang sebaya dengannya di sekolah.[26] Ilik Sundari, anak gadis Raden Mas Kusumodihardjo, merupakan seorang daripada segelintir penuntut wanita yang bersekolah di sekolah Amir, dan rumahnya berdekatan dengan rumah tumpangan Amir. Mengikut Dini, mereka menjadi rapat dengan Amir mengajar Ilik bahasa Arab sementara gadis itu mengajarnya bahasa Jawa.[27] Tidak lama kemudian mereka bertemu setiap hari dan berbual tentang pelbagai perkara.[28]

Ibu Amir meninggal dunia dalam tahun 1931, dan bapanya pula meninggal dunia setahun kemudian. Ini bermaksud, dari segi kewangan, pendidikannya tidak dapat ditampung lagi. Beliau berhajat untuk menyambung pendidikan di sekolah perundangan di Betawi selepas menamatkan pendidikan di AMS. Justeru, beliau menulis surat kepada abangnya, Jakfar, yang menguruskan pembayaran yuran pendidikan Amir oleh Sultan. Dalam tahun 1932, Amir dapat pulang ke Betawi dan memulakan pendidikan undang-undangnya,[29] sambil bekerja sebagai guru sambilan.[30] Mula-mulanya perhubungan beliau dengan Ilik diteruskan melalui surat walaupun tidak lama kemudian Ilik meneruskan pelajarannya di Lembang, sebuah bandar yang lebih dekat dengan Surakarta. Ini membolehkan kedua-dua mereka bertemu secara rahsia[31] – akan tetapi apabila perhubungan ini diketahui ibu bapa Ilik, kedua-duanya ditegah daripada bertemu lagi.[32]

Dalam tahun ini (1932) dua puisi pertama Amir, Sunyi dan Mabuk..., diterbitkan dalam majalah Timboel edisi bulan Mac. Lapan buah karya lain yang diterbitkan tahun ini termasuk sebuah syair berlandaskan Hikayat Hang Tuah,[33] tiga buah puisi, dua buah prosa berlirik, dan dua cerpen. Sekali lagi puisi diterbitkan dalam Timboel, sementara karya-karya prosa pula diterbitkan dalam majalah Pandji Poestaka.[34] Sekitar bulan September 1932, setelah digalakkan Sutan Takdir Alisjahbana, penyunting "Memadjoekan Sastera" (bahagian kesusasteraan Pandji Poestaka), Armijn Pane menjemput Amir untuk sama-sama menubuhkan majalah kesusasteraan bebas.[35] Amir menerima pelawaan dan ditugaskan untuk menulis surat permintaan sumbangan karya;[35] sebanyak lima puluh surat dikirim kepada penulis-penulis ternama, termasuk empat puluh yang dikirim kepada para penyumbang "Memadjoekan Sastera".[36] Selepas beberapa bulan membuat persiapan, edisi sulung diterbitkan pada bulan Julai 1933,[37] di bawah judul Poedjangga Baroe. Majalah baharu dibiarkan di bawah kawalan editorial Amir, Armijn dan Sutan Takdir,[38] dan Amir menerbitkan hampir semua penulisannya dalam majalah tersebut.[34]

Pada pertengahan tahun 1933, Amir diarah pulang ke Langkat, di mana Sultan memaklumkannya tentang dua syarat yang perlu ditepati sekiranya beliau mahu melanjutkan pelajaran: menjadi seorang penuntut yang tekun belajar dan meninggalkan pergerakan kemerdekaan.[39] Namun demikian, beliau melibatkan diri lebih lagi dengan pergerakan kemerdekaan dan menarik perhatian pihak berkuasa Belanda.[40] Beliau masih menerbitkan karya dalam Poedjangga Baroe, termasuk sebuah siri lima rencana berkaitan dengan kesusasteraan Timur antara Jun dan Disember 1934, dan terjemahan Bhagavad Gita antara tahun 1933 dan 1935.[34] Walau bagaimanapun, pengajian undang-undangnya tergendala dan menjelang tahun 1937, beliau masih belum menamatkan kajian.[41]

Pulang ke Langkat

Amir dan Tengku Puteri Kamiliah semasa majlis perkahwinan mereka, tahun 1937

Pemerintah kolonial Belanda, yang sudah menjadi resah dengan Amir yang berkecimpung dengan pergerakan nasionalis dan kemerdekaan, berjaya meyakinkan Sultan agar memanggil Amir pulang ke Langkat, suatu titah yang tidak dapat ditolak pemuisi muda itu. Dalam tahun 1937, Amir, bersama-sama dua orang pegawai Sultan yang ditugaskan untuk mengiringinya pulang, menaiki kapal Opten Noort dari Tanjung Priok, dan pulang ke Sumatera. Sebaik tiba di Langkat, Amir dimaklumkan bahawa beliau akan dinikahkan dengan puteri sulung Sultan, Tengku Puteri Kamiliah, seorang wanita yang tidak dikenalinya.[41] Sebelum majlis perkahwinan, Amir sempat pulang ke Betawi untuk menduduki peperiksaan terakhir – dan bertemu buat kali terakhir dengan Ilik.[42] Beberapa minggu kemudian, beliau pulang ke Langkat dan berkahwin dengan Kamiliah dalam satu majlis mewah.[41] Sepupunya, Tengku Burhan, kemudiannya berkata bahawa Amir tidak mengambil endah akan majlis tujuh hari itu kerana asyik memikirkan Ilik Sundari.[43]

Amir sekarang berpangkat "pangeran",[41] dan diberi gelaran Tengku Pangeran Indra Putera.[44] Beliau tinggal bersama Kamiliah di dalam rumah mereka sendiri. Mengikut laporan Kamiliah seorang isteri yang solehah dan menyayangi, dan dalam tahun 1939 pasangan itu dikurniakan seorang puteri bernama Tengku Tahura.[nota 2][45] Mengikut Dini, Amir mengaku kepada Kamiliah bahawa beliau tidak dapat mencintainya seperti mana beliau mencintai Ilik dan hanya mengahwininya kerana berasa terhutang budi dan terpaksa, sesuatu yang nampaknya diterima baik oleh Kamiliah. Pemuisi ini menyimpan album gambar-gambar buah hatinya, Ilik, di rumah[46] dan kerap mengasingkan dirinya daripada keluarga sambil melamun, berfikiran seorangan.[47] Sebagai seorang pangeran Langkat, Amir menjadi pagawai istana dan mengendalikan hal-hal pentadbiran dan perundangan, dan kadangkala menghakimi kes-kes jenayah.[48] Beliau juga menwaikili Sultan pada majlis pengebumian Pakubuwono X di Jawa – kunjungannya yang terakhir ke pulau itu.[49]

Walaupun Amir tidak banyak berhubung dengan rakan-rakannya di Jawa,[50] puisi-puisi beliau – yang kebanyakannya ditulis di Jawa – masih diterbitkan dalam Poedjangga Baroe. Himpunan puisi pertamanya, Nyanyi Sunyi, diterbitkan dalam edisi November 1937 majalah tersebut. Hampir dua tahun kemudian, pada bulan Jun 1939, majalah itu menerbitkan sebuah himpunan puisi yang diterjemahkan Amir, berjudul Setanggi Timur. Pada bulan Jun 1941, himpunan terakhirnya, Buah Rindu diterbitkan. [34] Kesemuanya kemudian diterbitkan semula sebagai buku.[51] Satu buku terakhir, Sastera Melayu Lama dan Raja-Rajanya, diterbitkan di Medan dalam tahun 1942 — buku ini berlandaskan sebuah ucapan radio yang dibuat Amir.[34]

Selepas serangan Jerman terhadap Belanda dalam tahun 1940, pemerintah kolonial Hindia Belanda membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan serangan oleh Jepun. Di Langkat, sebuah pasukan Askar Wataniah atau Stadswacht ditubuhkan bagi mempertahankan Tanjung Pura. Amir dan sepupunya Tengku Harun menjadi ketua — orang bangsawan, yang dipercayai masayarakat am, dipilih bagi memudahkan perekrutan orang awam. Apabila serangan Jepun menjadi kenyataan pada awal tahun 1942, Amir antara anggota tentera yang dihantar ke Medan untuk mempertahankan kota tersebut. Beliau dan tentera sekutu Belanda ditawan Jepun dengan cepat. Amir ditawan sebagai tawanan perang sehingga tahun 1943, apabila pengaruh Sultan berjaya membebaskan beliau daripada tahanan Jepun. Sepanjang tempoh penaklukan oleh Jepun yang berlarutan sehingga tahun 1945, Amir bekerja sebagai seorang pengulas radio dan penapis di Medan.[52] Sebagai seorang pangeran, beliau ditugaskan bagi mengumpul beras untuk kegunaan tentera penakluk Jepun.[50]

Pascakemerdekaan dan kematian

Selepas kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945, keseluruhan Sumatera diisytihar sebagai sebahagian republik baharu itu secara de facto. Pemerintah pusat menetapkan Teuku Muhammad Hasan sebagai gabenor pulau Sumatera, dan pada 29 Oktober 1945 Teuku Muhammad Hasan memilih Amir sebagai wakil pemerintahn di Langkat (kemudian disamakan dengan jawatan bupati; di Tanah Melayu, "temenggong"), dengan pejabat di Binjai;[53] Amir tidak ada masalah untuk menyetujui pelantikan itu,[54] dan seterusnya menangani pelbagai tugasan yang diberikan pemerintah pusat, termasuk merasmikan bahagian tempatan pertama Tentara Keamanan Rakjat (pelopor tentera darat Indonesia),[53] merasmikan mesyuarat cabang-cabang tempatan parti-parti politik kebangsaan,[55] dan menggalakkan pendidikan —khususnya celik huruf abjad Rumi.[54]

Revolusi Nasional Indonesia yang masih berterusan dengan beberapa pertempuran di Jawa bermakna republik yang baru ditubuh itu tidak stabil.[56] Pada awal tahun 1946, khabar angin yang Amir dilihat menjamu selera dengan wakil-wakil kerajaan Belanda yang baru pulang merebak;[57] para bangsawan kawasan menyedari akan pergolakan yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk awam.[58] Pada 7 Mac 1946, semasa revolusi sosial yang diketuai puak-puak Parti Komunis Indonesia, sebuah kumpulan yang keras menentang feudalisme dan bangsawan, kuasa Amir dilucutkan daripadanya dan beliau ditahan;[59] Kamiliah dan Tahura terlepas.[60] Bersama-sama dengan para bangsawan Langkat yang lain, Amir dihantar ke sebuah ladang yang dipegang Komunis di Kuala Begumit, lebih kurang 10 kilometer (6 mi) di luar bandar Binjai.[59] Pengakuan yang dinyatakan kemudian menggambarkan yang mereka dibicara oleh penawan mereka, dipaksa menggali lubang, dan diseksa.[61]

Penulisan terakhir Amir, sebuah cebisan daripada puisi tahun 1941, Buah Rindu, dijumpai di dalam bilik kurungannya kemudian:[62]

Wahai maut, datanglah engkau
Lepaskan aku dari nestapa
Padamu lagi tempatku berpaut
Disaat ini gelap gulita.

Pada pagi 20 Mac 1946, Amir dibunuh bersama-sama 26 orang lain dan dikebumikan di dalam kubur sama yang digali oleh orang-orang tahanan itu sendiri.[nota 3][63] sebilangan adik-beradiknya juga terbunuh semasa revolusi berjalan.[64] Selepas revolusi dipatahkan angkatan nasionalis, ketua-ketua revolusi disoal oleh sebuah pasukan yang diketuai Adnan Kapau Gani: beliau dilaporkan bertanya berkali-kali, "Mana Amir Hamzah?" semasa sesi soal-siasat.[65] Dalam tahun 1948 kubur di Kuala Begumit digali semula dan mayat dikenal pasti oleh ahli keluarga; tulang-tulang Amir dikenal pasti dengan ketiadaan gigi palsu.[66] Pada bulan November 1949 jenazah beliau disemadikan semula di Masjid Azizi di Tanjung Pura, Langkat.[67]

Rujukan

WikiPedia: Amir_Hamzah http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://www.tempo.co/read/news/2010/06/28/161259138... http://books.google.com/?id=NbY3AAAAIAAJ http://books.google.com/?id=WV2YT6OuTmsC http://books.google.com/?id=YVSjHAAACAAJ&dq= http://books.google.com/?id=xXjiAAAAMAAJ http://books.google.com/books?id=4DHFijnwBk4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CWJMbS4NwhwC http://books.google.com/books?id=M6zs7VN9PnEC&pg=P...