Pengaruh Amir_Hamzah

Amir dibesarkan di dalam istana dan bertutur dalam bahasa Melayu sehingga "... mendjadi darah daging baginja."[68] Daripada usia kecil lagi beliau terdedah kepada sastera lisan serta pantun dan syair bertulis; beliau mendengar dan membuat sajaknya sendiri.[69] Seperti bapanya, Amir suka akan teks tradisional seperti Hikayat Hang Tuah, Syair Siti Zubaidah, dan Hikayat Panca Tanderan. Beliau akan mendengar pembacaan teks-teks ini semasa upacara-upacara awam,[68] dan pada zaman dewasanya, beliau memiliki himpunan besar teks-teks tersebut mahupun himpunan ini musnah semasa revolusi komunis.[69]

Sepanjang pendidikan formalnya, Amir membaca karya-karya sastera Arab, Parsi dan Hindu.[70] Beliau juga dipengaruhi karya negara-negara Timur lain:[71] puisi-puisi yang diterjemahkan beliau dalam Setanggi Timur, misalnya, memuatkan karya-karya oleh Omar Khayyám (Parsi), Du Fu (China), Fukuda Chiyo-ni (Jepun), dan Rabindranath Tagore (India).[34] Karya-karya ini tidak dibaca dalam bahasa asal, akan tetapi dalam terjemahan bahasa Belanda.[72] Pengkritik sastera, Muhammad Balfas, menulis bahawa berlainan dengan orang sezamannya, Amir tidak banyak dipengaruhi soneta mahupun pemuisi neoromantis Belanda, Tachtigers (Pergerakan (Lapan Belas) Lapan Puluh);[73] Johns juga sependapat dengan Muhammad Balfas dalam hal ini.[74] Walau bagaimanapun, sarjana kesusasteraan Australia, Keith Foulcher, berpendapat sebaliknya dan memerhatikan bahawa Amir memetik Lenteavond, tulisan Willem Kloos, dalam rencananya berkaitan dengan pantun; pada hemat Foulcher ini menunjukkan yang Amir berkemungkinan besar dipengaruhi Tachtigers.[75]

Ilik Sundari, gambar diambil oleh Amir Hamzah; Ilik dikatakan ilham Amir.

Ramai penulis mengulas tentang pengaruh doktrin Islam terhadap Amir. Penulis dokumen sastera Indonesia, HB Jassin[76] dan pemuisi Arief Bagus Prasetyo[77] antara lain, berpendapat bahawa Amir seorang Muslim jati dan hakikat ini dapat dilihat dalam karya-karya beliau. Arief Prasetyo menghujah bahawa ini ketara dalam cara Amir menggambarkan Tuhan; beliau tidak menyamakan dirinya sebagai setara dengan Tuhan, sebuah tema yang terjumpa dalam karya-karya pemuisi Sufi seperti Hamzah Fansuri, tetapi menggambarkan Tuhan sebagai Raja kepada Amir, dan Amir sebagai hambaNya.[77] Johns pula menulis bahawa mahupun Amir bukan seorang ahli sufi, Amir juga bukan hanya penulis yang amat patuh dan beliau mengetengahkan sejenis "Humanisme Islam".[78] Pengkaji lain, seperti sarjana sastera Indonesia berbangsa Belanda A Teeuw dan sarjana sastera berbangsa Indonesia Abdul Hadi WM, berpendapat bahawa Amir dipengaruhi Sufisme.[77] Aprinus Salam daripada Universitas Gadjah Mada, yang juga sehaluan, mengetengahkan saat Amir menggambarkan Tuhan seperti kekasih, dan pada hemat beliau, ini menandakan pengaruh sufi.[79] Akhir sekali, pemuisi Chairil Anwar menulis bahawa Nyanyi Sunyi Amir dapat disebut sebagai "puisi tersorok" memandangkan yang para pembaca tidak akan dapat memahami karya-karya Amir tanpa berbekalkan pengetahuan tentang sejarah Melayu dan Islam.[80]

Beberapa percubaan juga dibuat untuk mengaitkan karya-karya Amir dengan perspektif Kristian. Dalam analisisnya terhadap Padamu Jua, pengkritik Indonesia, Bakri Siregar, mencadangkan bahawa ternampak sedikit pengaruh daripada Bible Kristian dan menyatakan bahawa beberapa aspek puisi itu dapat dilihat sebagai menyokong pendapat ini, seperti gambaran Tuhan antropomorfik dan idea berkaitan dengan Tuhan yang cemburu. Beliau menulis bahawa konsep Tuhan yang cemburu tidak dibenarkan Islam, akan tetapi terdapat dalam Bible dan memetik Exodus 20:5 dan Exodus 34:14.[81] Dalam sebuah lagi puisi, Permainanmu, Amir Hamzah menggunakan ayat "Kau keraskan kalbunya"; HB Jassin mendapati kesamaan dengan Tuhan mengeraskan hati Firaun dalam Kitab Keluaran.[nota 4].[82]

HB Jassin menulis bahawa puisi-puisi Amir juga dipengaruhi cintanya terhadap satu atau lebih wanita, yang dalam Buah Rindu disebut "Tedja" dan "Sendari-Dewi". Beliau menawarkan pendapat bahawa wanita atau wanita-wanita tersebut tidak diberikan nama kerana yang pentingnya ialah kasih Amir terhadap mereka.[83] Husny menulis bahawa sekurang-kurangnya sembilan karya dalam Buah Rindu[nota 5] berilhamkan kerinduan Amir terhadap Aja Bun, menggambarkan perasaan dukacita selepas pertunangan mereka dibatalkan.[84] Berkaitan dengan dedikasi buku yang dibahagikan kepada tiga, "Kebawah peduka Indonesia-Raya / Kebawah debu Ibu-Ratu / Kebawah kaki Sendari-Dewi", dalam Ramayana bahasa Indonesia, Sendari (juga Sundari) ialah isteri pertama Abhimanyu.[85] Mihardja menulis bahawa Ilik Sundari dapat dikenali serta-merta oleh rakan sedarjah Amir; Mihardja menganggapnya sebagai inspirasi Amir sama dengan peranan Laura dengan Petrarch, Mathilde dengan Jacques Perk".[86] Pengkritik, Zuber Usman juga menjumpai pengaruh Sundari terhadap Nyanyi Sunyi, dan menyarankan bahawa pemisahan mereka membawa Amir lebih dekat dengan Tuhan,[87] satu pendapat yang diulangi Dini.[88] Burton Raffel mengaitkan sebuah kuplet yang terdapat pada penghujung buku, "Sunting sanggul melayah rendah / sekaki sajak seni sedih"[89] sebagai satu sapaan terhadap cinta terlarang.[90] Dini menyatakan bahawa cinta Amir terhadap Ilik Sundari menjadi penyebab Amir sering menggunakan perkataan bahasa Jawa dalam penulisannya.[43]

Rujukan

WikiPedia: Amir_Hamzah http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://php.ug.cs.usyd.edu.au/~jnot4610/bibref.php?... http://www.tempo.co/read/news/2010/06/28/161259138... http://books.google.com/?id=NbY3AAAAIAAJ http://books.google.com/?id=WV2YT6OuTmsC http://books.google.com/?id=YVSjHAAACAAJ&dq= http://books.google.com/?id=xXjiAAAAMAAJ http://books.google.com/books?id=4DHFijnwBk4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CWJMbS4NwhwC http://books.google.com/books?id=M6zs7VN9PnEC&pg=P...