Sejarah Bandar_Raya_Mexico

Zaman Aztek

Rencana utama: Tenochtitlan
Pasar di Tlatelolco, Diego Rivera

Kota yang kini bergelar Bandar Raya Mexico ini mula-mula diasaskan oleh kaum pribumi Mexica, juga dipanggik Aztek, pada tahun 1325. Kota lama Mexica ini kini dikenali dengan nama Tenochtitlan. Kaum Mexica merupakan antara golongan berbahasa Nahuatl yang berhijrah ke tempat ini di Lembah Mexico setelah kejatuhan Empayar Toltec. Kehadiran mereka ditentang oleh orang-orang asli yang sedia ada menduduki lembah itu, namun kaum Mexica berjaya mengasaskan sebuah kota di sebuah pulau kecil di sebelah barat Tasik Texcoco. Kaum Mexica sendiri juga membuat cerita tentang bagaimana kota mereka ditubuhkan, setelah dibimbing ke pulau tersebut oleh dewa utama mereka, Huitzilopochtli. Menurut cerita itu, dewa itu menandakan petempatan baru mereka dengan lambang berupa burung helang yang hinggap di atas kaktus nopal sambil menggondol seekor ular dengan paruhnya. Pada tahun 1325 hingga 1521, kota Tenochtitlan makin hari makin besar sehingga mendominasi negeri-negeri kota yang lain di keliling Tasik Texcoco, dan juga satu Lembah Mexico. Sewaktu ketibaan orang Sepanyol, Empayar Aztek sudah meliputi sebahagian besar Mesoamerika sejauh pantai Teluk Mexico dan Lautan Pasifik.

Sepanyol menawan Tenochtitlán

Setelah mendarat di Veracruz, Hernán Cortés mendapat khabar kewujudan sebuah kota agung yang menerima tentangan hebat dari orang ramai. Walaupun Cortés tiba di Mexico dengan bala tentera yang sedikit orangnya, namun beliau dapat memujuk ramai orang asli lain supaya membantunya menghancurkan Tenochtitlan.[13]Cortés mula-mula melihat Tenochtitlán pada 8 November 1519.[14] Sekali pandangnya, Cortés dan askar-askarnya tertawan oleh keindahan dan kebesarannya. Orang Sepanyol itu berarak di sepanjang tambak ke arah kota itu dari Iztapalapa. Walaupun Montezuma keluar dari pusat Tenochtitlán untuk menyambut kedatangan mereka sambil bertukar buah tangan, namun persahabatan antara mereka tidak kekal lama.[15]Cortés menahan Montezuma dalam rumahnya dengan tujuan merebut kekuasaan.[16] Ketegangan memuncak hingga malam 30 Jun 1520 – sewaktu perjuangan yang bergelar "La Noche Triste" – kaum Aztek memberontak terhadap penceroboh Sepanyol dan berjaya menangkap dan mengusir orang- Eropah itu dan sekutu Tlaxcaltec mereka.[17] Cortés berpakat semula di Tlaxcala. Orang Aztek menyangka orang Sepanyol sudah pergi buat selamanya. Mereka memilih seorang raja baru, Cuitláhuac, tetapi baginda mangkat selepas beberapa bulan akibat penyakit cacar, lalu diganti oleh Cuauhtémoc.[18] Cortés membuat keputusan untuk mengepung Tenochtitlán pada Mei 1521. Selama tiga bulan, warga kota itu menderita akibat kekurangan bekalan makanan dan air serta perebakan wabak cacar yang dibawa oleh orang Eropah itu.[13] Cortés dan sekutunya mendaratkan tentera mereka di selatan pulau itu lalu merempuh-rempuh ke arah kota itu, jalan demi jalan dan rumah demi rumah.[19] Akhirnya, Cuauhtémoc terpaksa menyerah kalah pada Ogos 1521.[13]

Pembinaan semula

Lukisan Bandar Raya Mexico dari tahun 1628

Kota Tenochtitlán teruk dibinasakan oleh pihak Sepanyol. Cortés mula-mula berdiam di Coyoacán, tetapi memutuskan untuk membina semula tapak kota Aztek itu untuk menghapuskan segala tinggalan kerajaan lama.[14] Cortés tidak menubuhkan sebuah wilayah taklukan yang bebas di bawah pemerintahan dirinya, sebaliknya beliau tetap taat setia kepada kerajaan Sepanyol. Wizurai pertama taklukan baru itu tiba di Bandar Raya Mexico 14 tahun kemudian. Ketika itu, kota itu bangkit sebagai sebuah negeri kota yang kuasanya menjangkau jauh ke luar sempadan kota yang ditetapkan itu.[20]Biarpun orang Sepanyol mengekalkan susun atur asas Tenochtitlán, namun mereka menggantikan kuil Aztek lama dengan gereja Katolik sambil menuntut istana-istananya sebagai hak milik mereka.[20] Tenochtitlán dinamakan semula sebagai "Mexico", sempena nama alternatif kota ini yang didapati lebih mudah disebut oleh orang Sepanyol.[14]

Kebangkitan kota kolonial

Torre Latinoamericana, salah sebuah pencakar langit terawal di Amerika LatinÁngel de la Independencia dibina sempena ulang tahun seabad kemerdekaan Mexico

Kota Mexico berkembang pesat serentak dengan jumlah penduduknya, sehingga kawasannya menemui perairan tasik. Abad ke-16 menyaksikan pembinaan gereja baru bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kebanyakannya masih terlihat di pusat bandaraya bersejarah.[20]Dari segi ekonomi, Bandar Raya Mexico makmur kerana kegiatan perdagangan. Berbeza dengan Brazil mahupun Peru, Mexico mudah dihubungi dengan dunia Atlantik dan Pasifik. Kerajaan Sepanyol cuba menguasai segala perdagangan dalam kota itu, namun tidak berjaya sungguh.[21]Salah satu cara yang diambil oleh Sepanyol untuk memerintah seluruh kota itu ialah agama, tetapi di sini pun kejayaannya tidak besar juga. Amalan orang pribumi masih dikekalkan dan diterapkan dalam amalan Katolik Rom oleh orang asli, khususnya kultus Dara Guadalupe, yang tercetus oleh bayangan Siti Mariam di Bukit Tepeyac di utara sempadan kota pada tahun 1531; sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa bayangan ini benar-benar berkesan kerana kewujudan kultus Aztek buat dewi ibunda Tonantzin sebelum peristiwa Penaklukan.[21]

Konsep kebangsawanan mekar di Sepanyol Baru dengan cara yang berbeza dengan tempat-tempat lain di benua Amerika. Orang Sepanyol bertembung dengan masyarakat yang seiras konsep kebangsawanan sesama mereka. Orang Sepanyol menghormati dan membesarkan darjah-darjah kebesaran pribumi. Dalam masa berabad-abad kemudian, seseorang yang membawa gelaran kehormat di Mexico tidak semestinya besar kuasa politiknya, kerana kuasanya terhad walaupun kaya dengan harta benda.[22] Konsep kebangsawanan di Mexico bukan berbentuk politik, bahkan berlandaskan sosial Sepanyol yang amat konservatif berasaskan pembuktian kelayakan keluarga. Kebanyakan keluarga ini membuktikan kelayakan mereka dengan menjadi sangat kaya di Sepanyol Baru di luar kota Mexico, kemudian membelanjakan pendapatannya di ibu kota, membina gereja, menyokong badan amal dan membina rumah agam yang mewah. Kegilaan membina-bina rumah yang paling mewah mencapai kemuncaknya pada separuh akhir abad ke-18. Kini masih kelihatan banyak rumah-rumah ini, maka Bandar Raya Mexico diberi jolokan “Kota Istana” oleh Alexander von Humboldt.[14][20][22]

Negara Mexico diisytiharkan merdeka oleh Agustín de Iturbide pada tahun 1821, setelah beliau bersama tenteranya berkawat ke dalam kota. Mula-mula, kerajaan Iturbide cuba mengekalkan sebanyak mana sistem lama yang boleh, tetapi akhirnya beliau terpaksa turun takhta, maka negara Mexico diisytiharkan sebagai republik pada tahun 1824, dengan Bandar Raya Mexico sebagai ibu negara.[23] Unrest followed for the next several decades, as different factions fought for control of Mexico.[24] Wilayah Persekutuan Mexico ditubuhkan oleh kerajaan baru menerusi penerimaan perlembagaan barunya, yang mana konsep Wilayah Persekutuan disesuaikan dari Perlembagaan Amerika Syarikat.[25] Sebelum ini, Bandar Raya Mexico berfungsi sebagai pusat kerajaan Negeri Mexico dan seluruh negara sekaligus. Peranan ibu negeri Mexico diambil alih oleh Texcoco, diikuti oleh Toluca.[26]Sewaktu berperang dengan Amerika Syarikat, tentera negara musuh itu berkawat ke arah Bandar Raya Mexico selepas menawan Veracruz.[27] Serangan ini memuncak dengan penggempuran Istana Chapultepec di ibu kota.[28] Peperangan ini berakhir dengan Perjanjian Guadalupe Hidalgo yang ditandatangani di utara jauh ibu negara.[29]Semenjak itu, Bandar Raya Mexico tidak terjejas oleh peristiwa-peristiwa seperti Perang Pembaharuan, sebaliknya ia terus mekar, terutama ketika negara ditadbir oleh Presiden Porfirio Díaz. Ketika ini, ibu kota Mexico membangunkan beraneka prasarana moden seperti jalan raya, sekolah, pengangkutan, dan sistem komunikasi. Walaupun begitu, pemerintah Mexico menumpukan sumber dan kekayaan negara ke dalam lingkungan kota, sehingga kawasan negara yang selebihnya dibiarkan merempat dalam kemiskinan, maka tercetusnya Revolusi Mexico.[24] Ketika ini, Bandar Raya Mexico meredah peristiwa La decena trágica (“10 Hari Tragis”), iaitu rampasan kuasa terhadap Presiden Francisco I. Madero dan Naib Presiden José María Pino Suárez. Victoriano Huerta, ketua jeneral Tentera Persekutuan mengambil kesempatan merampas kuasa dengan memaksa Madero dan Pino Suarez meletak jawatan. Kemudian, mereka berdua dibunuh dalam perjalanan ke penjara.[30]

Abad ke-20 hingga kini

Pada tahun 2003, terbinanya bangunan tertinggi di Amerika Latin ketika itu, iaitu Torre Mayor di Bandar Raya Mexico.Seni bina Mexico bergaya 1880-an–1920-an yang mudah dijumpai di seluruh ibu kota

Sejarah Bandar Raya Mexico sepanjang abad ke-20 hingga kini bertumpukan kepesatan pembangunan bandaraya ini serta kesannya terhadap persekitaran dan politik negara. Pada tahun 1900, Bandar Raya Mexico diduduki sekitar 500,000 orang.[31] Bandaraya ini mula meluas ke arah barat pada awal abad ke-20.[20] disusuli dengan pertumbuhan ke arah angkasa pada 1950-an, mulai pembinaan pencakar langit sulungnya, Torre Latinoamericana.[13] Temasya Sukan Olimpik 1968 menzahirkan pembinaan kemudahan sukan secara besar-besaran.[20] Pada tahun 1969, sistem Metro Bandar Raya Mexico dilancarkan.[13]Kependudukan bandaraya ini mulai meningkat secara mendadak pada 1960-an, apabila penduduknya melimpahi sempadan Wilayah Persekutuan hingga ke negeri jiran Mexico, terutama ke utara, barat laut dan timur laut. Dari tahun 1960 hingga 1980, jumlah penduduk bandaraya ini berlipat ganda hingga 8,831,079 orang.[20] Pada tahun 1980, separuh pekerjaan industri di seluruh Mexico terletak di Bandar Raya Mexico. Kerana pertumbuhan yang tak henti-henti itu, kerajaan Bandar Raya Mexico sukar menampung keperluan perkhidmatan warga kota. Para penduduk luar bandar pindah berduyun-duyun ke ibu kota demi melepasi kancah kemiskinan, tetapi mereka hanya merumitkan permasalahan ibu kota. Disebabkan ketiadaan projek perumahan, mereka mengambil alih kawasan tanah di keliling bandaraya dan membina kawasan melarat yang menjangkau berbatu-batu panjangnya[24], sehingga menyebabkan masalah pencemaran udara dan air yang cukup parah, di samping menyebabkan bumi kota makin terbenam kerana air bawah tanah digali secara berlebihan.[32] Walau bagaimanapun, pencemaran udara dan air dapat dikawal di sesetengah kawasan atas berkat rancangan kerajaan, pengubahsuaian kenderaan dan pemodenan pengangkutan awam.

Kerajaan autokrasi yang memerintah Bandar Raya Mexico sejak Revolusi ditoleransi ramai terutamanya kerana pembangunan ekonomi yang berterusan sejak Perang Dunia Kedua. Inilah hakikatnya sungguhpun kerajaan tidak mampu menguruskan masalah kependudukan dan pencemaran dengan sebaiknya. Meskipun demikian, perasaan tidak puas hati dan bantah-membantah tercetus pada 1960-an,membawa kepada pembunuhan tak terkira ramainya para mahasiswa yang membantah di Tlatelolco.[24]

Pada 19 September 1985, 7:19 pagi waktu tempatan, Bandar Raya Mexico dilanda oleh sebuah gempa bumi bermagnitud 8.1[33] pada skala Richter. Sungguhpun gempa bumi ini tidak sehebat yang seumpamanya di Asia dan kawasan Amerika Latin yang lain[34] namun ia membuktikan betapa teruknya sebuah kerajaan satu parti yang dilumpuhkan oleh kerenah birokrasi dan korupsi sendiri sehingga rakyat jelata bukan sahaja terpaksa menjalankan usaha mencari dan menyelamat sendiri, bahkan juga membina semula kawasan perumahan yang diranapkan jugaa.[35]Kemarahan rakyat ini akhirnya menyebabkan Cuauhtémoc Cárdenas, seorang ahli Parti Revolusi Demokratik, menjadi datuk bandar pertama yang diundi masuk oleh warga Bandar Raya Mexico pada tahun 1997. Cárdenas menjanjikan kerajaan yang lebih demokratik, sementara partinya mengakui sedikit sebanyak berjaya memerangi peperangan, pencemaran dan bermacam-macam masalah negara. Beliau meletak jawatan untuk merebut jawatan presiden negara pada tahun 1999.

Rujukan

WikiPedia: Bandar_Raya_Mexico http://www.sbg.ac.at/ipk/avstudio/pierofun/mexico/... http://www.aeropuertosmexico.com/DF/aptoDFes.htm http://banamex.com/esp/pdf_bin/esem/df-irae-0209.p... http://www.city-data.com/world-cities/Mexico-City-... http://www.citymayors.com/statistics/richest-citie... http://www.emporis.com/en/wm/ci/?id=101008 http://www.esmas.com/noticierostelevisa/mexico/443... http://www.esmas.com/noticierostelevisa/terremoto/... http://www.foreignpolicy.com/story/cms.php?story_i... http://www.lcbmexico.com/cm1.cfm?fid=107&lang=2